Misha Omar, melangsai sebuah hajat - Utusan Malaysia

Misha Omar, melangsai sebuah hajat

Misha Omar pada Konsert Orkestra Simfoni bersama Misha Omar di Istana Budaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA, pada tahun ini, penyanyi ini mungkin sedang tersenyum simpul membawa perkhabaran kepada semua bahawa dirinya kini kembali berbadan dua.

Maklumlah, barangkali ramai sudah tahu, dirinya sudah berusaha melakukan rawatan kesuburan sebelum ini sekali gus menyaksikan Misha seakan sudah bersedia untuk menambah cahaya mata, bagi menyerikan lagi kemeriahan keluarga kecilnya.

Namun, Allah SWT itu Maha Mengetahui. Diterpa dengan pelawaan untuk beraksi di pentas berprestij Istana Budaya (IB), sekitar beberapa bulan lalu, peluang itu amat sukar untuk ditolak olehnya.

“Sejujurnya, sepanjang meniti usia kerjaya yang diam tidak diam sudah menjengah ke angka 19 tahun ini, saya ada menyimpan satu hajat besar dalam hati.

“Kalau boleh, sekali dalam hidup ini begitu teringin untuk membuat satu persembahan istimewa, konsert besar yang diadakan secara solo. Kalau ditanya pada mana-mana artis pun, itu juga adalah satu daripada impian mereka.

“Jadi, apabila IB datang mempelawa ruang itu untuk saya, masakan saya mahu menolak? Inilah peluangnya. Inilah masanya sedangkan sebelum itu, saya hampir saja menganggap bagai sudah tiada peluang,” katanya.

Jelas Misha, ada ketika keadaan itu dibayangkan olehnya memandangkan sudah dua tahun pandemik berlaku, dan ia telah mematahkan impian bukan sahaja dirinya, bahkan ramai lagi daripada pelbagai sudut perancangan.

“Pandemik benar-benar mengajar kita semua untuk bersabar. Kena rasional, kena fikir apa yang baik dan buruk. Walaupun buruk, kita tetap kena nampak ia dari sudut yang baik kerana jika tidak, pandemik akan meragut semua nilai positif dalam hidup kita.

“Itu yang saya praktikkan. Maka mungkin, setelah sekian lama bersabar dan tidak putus-putus berdoa dan berharap, Allah SWT itu memakbulkan hajat saya untuk buat persembahan berskala besar menerusi Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di IB pada 30 Oktober lalu,” katanya.

Lalu, bagaimana pula dengan hasratnya untuk menimang cahaya sebelum itu?

Memberi penjelasan, Misha tahu, dia perlu berkorban untuk salah satunya. Lalu dia memilih untuk menangguhkan dahulu hasrat untuk hamil meski tahu, dirinya sudah separuh jalan berusaha ke arah itu.

Baginya, tidak mengapa. Rezeki anak itu pasti akan datang pada bila-bila masa. Ini juga adalah satu pengorbanan besar yang dilakukan olehnya sebagai seorang wanita dan ibu.

Sedar bahawa barangkali ada yang mempertikaikan keputusannya, penyanyi berusia 40 tahun ini mengaku tidak semberono membuat pilihan dalam hidup.

“Seiring dengan usia, kita tentunya akan seiring melakukan pengorbanan walaupun sekecil hal cuma. Saya rasa memang semulajadinya manusia itu begitu.

“Saya pilih untuk teruskan dengan projek konsert ini dahulu kerana tidak mahu menjejaskan reputasi di mata peminat dan pengikut yang selama ini telah banyak menyokong kerjaya seni.

“Allah SWT itu Maha Mengerti. Dia tahu dilema yang saya lalui ini.Tak mengapa, saya tangguh dahulu urusan pencarian Khadijah (nama yang diberi untuk cahaya mata baru). Tidak mengapa, bersabar dahulu,” katanya.

Umpama sebutir bintang
Menyorot gemilangnya penganjuran konsert OSK di IB yang diadakan pada hujung minggu lalu, Misha berjaya membuktikan bahawa dia sememangnya layak berada di pentas itu.

Tempohnya cuma satu malam. Tetapi kenangan yang terbuai dengan seleksi lagu-lagu hits nyanyiannya pada malam itu umpama kekal malar segar dalam ingatan setiap penonton yang menyaksikannya.

Tidak keterlaluan jika diandaikan konsert itu bagai satu lakaran sejarah buat Misha sementelah apa yang dihajatinya selama ini telah menjadi satu realiti.

Diiringi seramai 80 pemuzik orkestra dan dipimpin oleh konduktor Nasran Nawi, Misha membuka tirai persembahan dengan medley lagu Cinta Adam & Hawa dan Terimaku Seadanya.

Pilihan lagu pembuka itu dilihat sangat bertepatan untuk mengunci mata dan telinga penonton yang tentunya juga sudah lama mengharapkan Misha tampil memukau pada malam itu.

Persembahan diteruskan dengan lagu berjudul Jawapanmu dan Sembunyi sekali gus menjadikan peminat semakin hangat didakap alunan suaranya yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Sesekali, Misha akan berkomunikasi dengan penonton dan peminat yang berada di bawah menerusi usikan-usikan manjanya yang mencuit hati.

Pendek kata, sebagaimana dirinya di luar, begitulah jua Misha ketika berada di pentas. Si genit molek ini memang gemar berbual dan ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan.

Pancingan Misha itu boleh dikatakan menjadi kerana ternyata, penonton juga terhibur dengan celotehnya.

Namun ada satu kisah yang didedahkan oleh Misha mengenai kisah cinta tak kesampaian dengan seorang lelaki yang dirahsiakan identitinya.

Kata Misha, dia menaruh hati terhadap lelaki tersebut, tetapi dirinya telah di ‘friendzone’ sebelum dia menyanyikan lagu seterusnya, berjudul, Dedebu Cinta ciptaan Azlan Abu Hassan.

Berbalik kepada gelagatnya yang suka bercerita, Misha juga berkongsi nostalgia memorinya bersama komposer Allahyarham, Datuk Adnan Abu Hassan bersama peminat.

Cerita Misha, Allahyarham adalah individu yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dunia seni hiburan usai dirinya menyertai pertandingan Bintang RTM 2001.

Masih jelas diingatan Misha, bagaimana Allahyarham menyuntik semangat pada dirinya dengan mengatakan bahawa suaranya cuma biasa sahaja dan jika ingin kelihatan berbeza, dia harus membuktikan dirinya kepada semua.

Berjaya membuktikan hal itu, Misha bagaimanapun mengaku hairan, entah mengapa kebanyakan lagu-lagu nyanyiannya sarat dengan jiwa sedih dan mempunyai unsur melankolik.

Mungkin itulah juga rezeki buat empunya diri. Meskipun lagu-lagunya disifatkan begitu dalam sendu muzik balada, Misha meraih populariti dan berupaya mengekalkan reputasinya sehingga kini.

Sepanjang malam yang sama, Misha melarutkan halwa telinga pendengar dengan seleksi lagu-lagu lain dengan antaranya termasuk Hingga Akhir nanti, Tiada Lagi Tangisan, Riwayat Cinta, Pulangkan, Tanpa Rela.

Segmen tribute juga disediakan oleh Misha sebagai dedikasi buat tiga individu kesayangan rakyat Malaysia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Sharifah Aini dan rakan baiknya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Bagaimanapun, di sebalik gemersik suara Misha yang memukau, rata-rata penonton sebenarnya seakan dapat merasai bagaimana tidak selesanya Misha saat berada di pentas dalam dua persalinan busana yang disarung.

Dua busana dengan setiap satunya berona kuning dan merah hati seakan tidak membuatkan Misha selesa untuk beraksi di pentas dan ia dapat ditebak menerusi keresahannya tingkah lakunya yang sering membetulkan pakaiannya.

Tetapi, tidaklah ingin dikritik teruk kerana rata-rata juga memahami, persediaan konsert juga dalam masa yang singkat. Jadi, masih boleh dimaafkan.

Mengakhiri persembahan dengan lagu Sampai Bila, Misha terharu menerima tepukan gemuruh daripada semua penonton yang hadir sekali gus menyerap segala kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat dirinya selama ini.

Menerusi konsert tersebut, Misha berjaya membuktikan dirinya sudah ada di kelas yang tersendiri. Tahniah Misha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.