Jaga standard agama dalam kerja dakwah - Utusan Malaysia

Jaga standard agama dalam kerja dakwah

FIRDAUS Wong Wai Hung menjalankan aktiviti dakwah jalanan MRM kepada golongan bukan Islam di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Tugas berdakwah kepada bukan Muslim sering disalah ertikan oleh sesetengah golongan yang bukan Islam sebagai usaha ‘menyerang’ agama asal mereka. Walhal dalam Islam, tugas dakwah adalah iaitu menjelaskan kebenaran Islam sebagai agama yang diterima oleh Allah.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi. (ali-Imran: 85)

Dalam berdakwah, kita disuruh melakukannya secara berhikmah. Menurut Sayyid Qutb (1996), dakwah secara berhikmah ialah meneliti dan memahami situasi dan realiti semasa sasaran dakwah serta mampu mempelbagaikan teknik berdakwah ke atas mereka. Ia mengikut kesesuaian dengan penjelasan dan kefahaman yang tidak membebankan juga tidak dibina atas semangat dan keghairahan yang melampau sehingga terkeluar daripada ruang lingkup hikmah itu sendiri.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pendakwah bebas, FIRDAUS WONG WAI HUNG bagi mengupas isu ini. Beliau juga adalah Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM).

————————————————————————————————————————–

Dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi, penguasaan ilmu alat dakwah adalah sangat perlu selain faktor kepetahan berhujah semata-mata. Apakah ilmu alat yang perlu ada pada pendakwah masa kini?

Pada zaman sekarang, hidup kita tidak dapat dipisahkan daripada internet. Penggunaan alat teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu keperluan dalam hidup kita. Kita boleh kira berapakah akaun sosial media yang kita miliki, Facebook, Instagram, Twitter, Telegram, TikTok, WeChat dan banyak lagi.

Jadi dengan berubahnya zaman kepada zaman teknologi maklumat dan komunikasi, metodologi dakwah kita sebagai daie juga perlu diubah. Memang tidak dinafikan seseorang daie perlu memiliki kepetahan berhujah.

Namun, kemahiran ini tertumpu pada dakwah dalam talian. Untuk membuat dakwah secara dalam talian, kemahiran alat teknologi dan komunikasi sangat penting pada zaman sekarang.

FIRDAUS WONG WAI HUNG

Daie zaman sekarang perlu celik ICT. Sebagai contoh, mereka perlu belajar cara menggunakan sosial media untuk berdakwah. Di sinilah wujudnya satu istilah baru yang dipanggil sebagai ‘Tekno Daie’ perkataan tekno merujuk kepada teknologi dan komunikasi manakala daie merujuk kepada pendakwah.

Jadi ‘Tekno Daie’ ini mereka perlu mempelajari strategi media, bagaimana membuat perancangan melalui sosial media, bagaimana mencipta kandungan yang boleh menarik perhatian orang awam dan sebagainya.

Namun, dalam mempelajari ilmu ICT ini, para pendakwah perlu berhati-hati supaya tidak menyalahgunakannya dengan perbuatan yang tidak patuh syariah. Sebagai contoh memuat naik gambar yang tidak senonoh dan membuat hantaran (posting) yang menghina agama lain.

Berdakwah di negara yang mempunyai masyarakat pelbagai bangsa dan agama pasti lebih mencabar. Lebih mencabar kerana ada umat Islam sendiri yang gagal menunjukkan contoh yang baik kepada bukan Islam. Dalam keadaan begini apa pendekatan terbaik yang juga disebut dakwah dengan hikmah untuk menarik golongan sasaran kepada Islam?

Allah berfirman yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (an-Nahl: 16)

Jadi antara cara dakwah dengan hikmah adalah dakwah bil hal iaitu dakwah melalui akhlak. Kita sebagai Muslim akan membawa imej Islam.

Apabila seseorang Muslim melakukan suatu kesilapan, orang lain akan kaitkannya dengan agama Islam itu sendiri.

Jadi cara dakwah kita kepada golongan belum Muslim adalah dengan menunjukkan imej Islam yang baik melalui akhlak kita. Jadi persoalannya dari mana kitab oleh belajar akhlak ini?

Tidak lain tidak bukan adalah daripada baginda Rasulullah SAW. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzaab: 21)

Maka, kita sebagai Muslim perlu hidup mengikut sunnah Baginda SAW. Sebagai contoh, apabila kita makan dan minum, kita menggunakan tangan kanan kita.

Apabila orang belum Muslim bertanya, kita perlu jawab ini adalah sunnah Nabi di dalam Islam. Namun, kadang-kadang kita boleh nampak orang Islam selepas makan akan mengambil cawan menggunakan tangan kiri dengan alasan tangan kanan kotor. Namun, ini bukan sunnah nabi kita.

Jika tangan kanan kita kotor, apa salahnya kita mengambil cawan menggunakan tangan kanan kerana selepas makan kita akan basuh juga cawan tersebut.

Jadi, sebagai Muslim, kita perlulah tunjukkan akhlak yang diajarkan di dalam Islam sebagai cara berdakwah kepada golongan belum Muslim

Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada 14 November lalu mengumumkan tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi nombor 4D di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta dijadikan polemik oleh sebilangan orang bukan Islam. Betulkah judi dan masyarakat Cina ini memang tidak boleh dipisahkan?

Sebenarnya masyarakat Cina ini menjadikan judi sebagai hiburan dalam kehidupan. Kita boleh lihat pada perayaan Tahun Baru Cina, terdapat masyarakat Cina yang akan berkumpul bersama dan berjudi.

Mereka menjadikan judi ini sebagai cara mengeratkan tali silaturahim. Dalam pepatah Cina ada disebut, “judi kecil hiburkan, judi besar mudaratkan”. Jadi bagi golongan ini, mereka menganggap judi dengan kadar yang sederhana adalah dibenarkan.

Satu lagi fakta yang menarik adalah, masyarakat Cina suka pada nombor. Mereka suka kaitkan sesuatu perkara dengan nombor.

Sebagai contoh, masyarakat Cina tidak suka nombor empat kerana bunyinya si sama dengan bunyi perkataan mati di dalam bahasa Mandarin. Mereka suka nombor lapan kerana bunyi nombor lapan (ba) hampir dengan bunyi perkataan fa yang bermaksud untung.

Jadi, terdapat masyarakat Cina yang menjadikan nombor ini sebagai pembawa tuah dan seterusnya mereka membeli nombor ekor atau lebih dikenali sebagai 4D, dengan percaya bahawa nombor-nombor ini boleh membawa keuntungan kepada mereka.

Judi sering disinonimkan dengan masyarakat Cina walaupun di negara China sendiri tiada pusat perjudian dan diharamkan perjudian. Alasannya, judi akan meruntuhkan institusi kekeluargaan akibat masalah yang berpunca daripada judi.

Perjudian adalah satu kesalahan di China sejak Parti Komunis berkuasa pada 1949. Semua jenis perjudian oleh penduduknya sama ada dalam talian, judi di luar negara, membuka kasino di luar negara untuk menarik warga China sebagai pelanggan utama adalah salah mengikut undang-undang negara itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan carta aliran judi dalam talian dalam OP Dadu Kontinjen Johor dalam sidang akhbar di IPK Johor Bahru, 2 Ogos lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Kedudukan Islam sebagai agama bagi negara sudah dijamin dalam Perlembagaan. Namun, sering berlaku serangan terhadap usaha dakwah yang dilakukan kepada golongan bukan Islam. Ini termasuk usaha dakwah oleh Dr. Zakir Naik. Adakah ini salah faham atau satu bentuk provokasi terancang oleh golongan terbabit?

Kita boleh nampak pada masa kini, usaha dakwah Muslim sering dijadikan satu isu dalam kalangan golongan belum Muslim sehingga terdapat golongan yang mempersoalkan status agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini boleh disebabkan salah faham dan juga merupakan bentuk provokasi terancang. Untuk salah faham, terdapat golongan yang menganggap agama ini sebagai isu sensitif dan peribadi yang tidak boleh dibincangkan.

Maka, mereka beranggapan bahawa golongan Muslim yang berdakwah kepada bukan Muslim adalah tindakan yang melanggar hak asasi mereka.

Dari sudut provokasi pula, terdapat golongan yang cuba menanam perasaan takut terhadap Islam dalam kalangan masyarakat umum. Keadaan ini disebut sebagai Islamofobia.

Golongan yang anti-Islam cuba memasukkan agenda mereka melalui pelbagai saluran termasuk media dan politik untuk mempengaruhi masyarakat awam supaya mereka mempunyai persepsi buruk terhadap Islam.

Perancangan golongan Islamofobia ini bukan sahaja merosakkan imej Islam, mahupun telah menjejaskan keharmonian negara Malaysia yang berbilang bangsa ini.

Berdasarkan pengalaman dalam Multiracial Reverted Muslim (MRM), apakah bentuk susulan yang perlu diberi perhatian kepada golongan mualaf dan apakah tahap penentangan yang mereka hadapi selepas memeluk Islam terutama daripada keluarga yang belum Islam?

Berdasarkan pengalaman kami di MRM, antara perkara yang kami titik beratkan selepas seseorang memeluk agama Islam adalah keupayaan untuk belajar ilmu tentang Islam.

Sebagai contoh di MRM, kami akan mengadakan kelas fardu ain kepada mualaf dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Bagi mualaf, ilmu adalah benteng yang kuat bagi mempertahankan mereka daripada pengaruh-pengaruh negatif di luar sana.

Kami ingin mempersiapkan diri mereka supaya mereka tidak diambil kesempatan oleh golongan-golongan tertentu. Satu lagi perkara yang kami tumpukan perhatian adalah dari segi kebajikan mereka.

Sebagai contoh, kami akan cuba fahami pandangan ahli keluarga mereka terhadap pengislaman mereka. Ini juga cabaran yang dihadapi seseorang mualaf. Memang tidak dinafikan, ada ahli keluarga mualaf yang menerima pengislaman mualaf tersebut dengan hati terbuka.

Namun, terdapat juga mualaf yang mendapat tentangan ahli keluarga mereka. Ada mualaf yang dihalau dari rumah atas pengislaman mereka. Malah, ada juga yang dipukul secara fizikal oleh ahli keluarga.

Jadi antara kes yang pernah kami tangani di MRM, ada mualaf yang memilih untuk merahsiakan pengislaman mereka daripada ahli keluarga mereka sebagai langkah menjaga keselamatan diri.

Untuk kes sebegini, kami akan menghormati keputusan mereka untuk merahsiakan pengislaman mereka dan jika perlu kami akan menziarahi keluarga mereka yang belum Muslim.

Ada juga segelintir mualaf yang menjadikan status mereka sebagai tiket memohon sumbangan dan meraih simpati umat Islam. Apa nasihat saudara kepada golongan begini?

Seperti kita sedia maklum, mualaf adalah antara lapan golongan yang berhak mendapat bantuan zakat. Di mana-mana Lembaga Zakat negeri, mualaf boleh memohon bantuan zakat. Contohnya, bantuan kewangan bulanan, bantuan bayaran sewa rumah, bantuan pelajaran dan sebagainya. Malah ada yang dapat elaun apabila mereka menghadiri kelas-kelas fardu ain.

Namun, terdapat segelintir mualaf yang menggunakan status mereka sebagai mualaf untuk mengambil kesempatan untuk mendapat wang mudah.

Kalau mengikut undang-undang negeri Selangor contohnya, mualaf boleh mendapat bantuan di bawah kategori mualaf bagi tempoh lima tahun pertama memeluk agama Islam.

Jadi, mualaf yang memeluk Islam sepatutnya menggunakan masa lima tahun ini untuk belajar tentang Islam sebanyak yang mungkin dan belajar untuk berdikari dalam tempoh masa tersebut.

Bukannya mengambil kesempatan atas status mereka sebagai mualaf.

Ada juga mualaf yang mempermainkan emosi orang awam dengan mereka cerita sedih supaya mendapat simpati daripada orang awam.

Jadi di sini, golongan sebegini sepatutnya bertanya pada diri sendiri apakah niat mereka memeluk agama Islam. Dan untuk apa mereka membuat cerita sebegini. Adakah mereka hanya memeluk Islam untuk kepentingan diri sendiri? Wallahu a’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×