Elly Arifin pilih sukan badminton - Utusan Malaysia

Elly Arifin pilih sukan badminton

ELLY Arifin bersama wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN orang memilih aktiviti sukan dan rekreasi sebagai hobi mengisi waktu lapang.

Bagi pelakon Elly Arifin, sukan badminton adalah hobi yang istimewa yang sangat diminati.

Kata pelakon drama Semusim Rindu ini, sukan tersebut yang diminati sejak dibangku sekolah tidak pernah dilupakan malah sering diamalkan untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

“Saya memang minat badminton sejak kecil lagi. Tetapi dahulu saya tidak aktif sangat bermain memandangkan sibuk dengan sukan mempertahankan diri seperti taekwando dan silat.

“Bila dah dewasa, saya banyak masa untuk badminton,” katanya yang sering bermain badminton di Bukit Kiara.

Kata Elly, antara sebab dia menggemari badminton kerana sukan tersebut mudah dan tidak melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar.

“Tentunya apa sahaja sukan ada kelengkapan-kelengkapannya yang tertentu. Bagi saya badminton ini mudah. Tak perlu pun berbelanja terlalu besar, cukup sekadar mengikut keperluan.

“Bagi yang bermain badminton sekadar untuk riadah mahupun suka-suka tentunya kita tak perlu sangat kelengkapan-kelengkapan khusus.

“Cukup sekadar pakaian bersesuaian dan kasut sukan yang sesuai untuk aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan.

“Raket pun saya tak beli yang mahal. Yang saya pakai sekarang ini pun pemberian rakan. Harganya sekitar RM1,000. Tetapi kalau saya tak perlu berbelanja begitu sekali untuk raket. Cukup sekadar yang mampu,” katanya lagi.

ELLY ARIFFIN

Dalam pada itu, Elly mengakui meskipun hanya bermain untuk sihat dan mengisi waktu lapang, dia menjadikan atlet badminton negara sebagai inspirasi dalam sukan berkenaan.

Ujarnya dia amat menyanjungi wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan atlet kebangsaan, Lee Zii Jia kerana kesungguhan dan kepakaran mereka dalam sukan diminati ramai itu.

“Bagi saya mereka berdua mempunyai kebolehan dan kepakaran tersendiri. Contoh seperti Zii Jia yang hebat dengan pukulan belakang (back hand).

“Walaupun saya bermain bukan untuk menyertai kejuaraan dalam dan luar negara, melihat dua atlet ini bermain sudah banyak memberi inspirasi dan ilmu yang mungkin kita perlukan ketika bermain badminton,” ceritanya.

ERAT PERHUBUNGAN

Kata empunya nama sebenar Nurul Elyana Kamalul Arifin, 31, ini, sukan badminton sebenarnya banyak kelebihannya selain memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan.

Katanya, menerusi sukan badminton, dia bertemu ramai kenalan baharu yang berkongsi minat yang sama.

“Sukan ini banyak manfaatnya. Kalau nak kurus, mainlah badminton. Sebab melibatkan banyak pergerakan yang fokus kepada otot-otot utama tubuh manusia.

“Selain itu, badminton dapat melatih minda kita untuk cekap berfikir dan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan,” katanya.

Namun katanya, yang lebih menyeronokkan adalah apabila kita bertemu rakan-rakan, baharu dan lama yang berkongsi minat yang sama.

“Saya dan rakan-rakan artis lain seperti Erra Fazira, Ara Johari, Afiq Shazwan sering meluangkan masa bermain badminton,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×