Covid-19: Nasib anak yatim dapat pembelaan - Utusan Malaysia

Covid-19: Nasib anak yatim dapat pembelaan

covid-19
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Covid-19 menjadi antara pembunuh utama di negara ini apabila ia meragut 28,912 nyawa sejak pandemik melanda negara, kira-kira dua tahun lalu.

Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan, sehingga 13 September 2021, seramai 4,422 kanak-kanak menjadi yatim apabila kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.

Menjadi yatim atau yatim piatu sekelip mata memberi impak kepada psikologi dan personaliti bayi, kanak-kanak dan remaja.

Malah ia turut membelenggu kebanyakan keluarga apabila terpaksa mengambil alih tugas menjaga anak-anak yang masih kecil ekoran ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Banyak kisah pilu berkaitan anak-anak yang ditinggalkan ibu dan ayah dek virus membunuh itu.
Antaranya, di Negeri Sembilan, lima beradik yatim piatu apabila ayah, Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 31 Mei lalu, diikuti ibu mereka, Nazita Idris, 45, meninggal dunia enam hari kemudian.

Prof. Kehormat di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Datuk Dr. Madeline Berma, menyifatkan Bajet 2022 memberi kebaikan dwi faedah termasuk memulihkan ekonomi negara dan memberi peluang kepada rakyat memperbaiki ekonomi dan kehidupan akibat pandemik Covid-19.

“Anak-anak yang kehilangan penjaga utama mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan mental dan mengalami kekerasan fizikal, emosi serta kemiskinan,” katanya mengulas mengenai peruntukan Bajet 2022 terhadap kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Madeline berkata kajian Pasukan Bertindak Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS, mendedahkan kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat lalu berkata kerajaan memperuntukkan RM25 juta ringgit kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dalam usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini.

Sementara itu, suri rumah dan juga peniaga dalam talian, Norazlin Md Zeen berpendapat, Bajet 2022 sebagai prihatin nasib anak yatim.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman apabila ada dalam kalangan rakan-rakan yang meninggal dunia akibat Covid-19. Masa itu, saya terbayang bagaimana nasib anak-anaknya. Justeru, bantuan dan saranan kerajaan dalam bajet kali ini untuk membantu golongan ini sesuatu yang baik.

“Secara tidak langsung nasib mereka terbela dan masa depan terjamin kerana ada kes anak-anak kehilangan ibu bapa ketika usia mereka masih kecil,” katanya.

YAYASAN KELUARGA MALAYSIA
Yayasan Keluarga Malaysia akan membantu kanak-kanak yang menjadi anak yatim piatu akibat pandemik Covid-19, khasnya dalam aspek pendidikan sehingga mereka berusia 18 tahun.

Ia akan melebarkan sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

Yayasan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Oktober lalu diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Gerak kerja saluran bantuan akan dilaksanakan oleh Skuad Keluarga Malaysia yang merupakan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negara, di bawah satu jentera.

Sehingga kini, skuad ini telah mempunyai 10,000 anggota yang bersedia membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN