Beri peluang NGO, CSO wanita sebagai penggerak ekonomi - Utusan Malaysia

Beri peluang NGO, CSO wanita sebagai penggerak ekonomi

Beri peluang kepada wanita muda untuk cemerlang, menjadi pemimpin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOKUS kerajaan kepada wanita dalam intipati Bajet 2022 memberi peluang penglibatan untuk golongan itu dalam menggerakkan ekonomi negara.

Justeru, Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA), Nuraizah Shamsul Baharin mencadangkan kerajaan memberi peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) agar menjadi penggerak bersama dalam memastikan kaum wanita dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

“Saya setuju dan berpuas hati apabila kerajaan memberi fokus kepada wanita, namun apakah cara atau proses seterusnya perlu untuk mengimplementasikan (melaksanakan) bajet ini agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Nuraizah Shamsul Baharin.

“Ini kerana apa yang saya lihat, peruntukan semuanya masuk kepada kerajaan sahaja. Tetapi kerajaan tidak tahu siapa yang memerlukan. Saya mencadangkan perlu ada peruntukan khusus untuk NGO, agar wanita dapat bersama-sama bergerak dengan kerajaan untuk merancakkan ekonomi,” katanya dalam reaksi selepas mendengar intipati Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau turut memuji langkah positif kerajaan mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua senaraian awam melalui Suruhanjaya Sekuriti.

Namun katanya, perlu ada perubahan dalam tampuk kepimpinan sedia ada.

“Beri peluang kepada wanita muda. Bukan membabitkan pelantikan individu yang sama memegang lima hingga enam jawatan.

“Sebelum ini projek di bawah NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW) telah melatih 300 wanita untuk menjadi pengarah. Saya berpendapat, mungkin boleh hidupkan kembali projek seperti itu dan beri peluang kepada wanita yang sudah dilatih untuk menjawat jawatan tinggi yang tersenarai,” katanya.

Mengulas mengenai kepimpinan wanita, Nuraizah mengakui pembabitan wanita dalam politik masih jauh ketinggalan berbanding lelaki.

“Kerajaan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi melatih kepimpinan muda dan program keusahawanan. Kami sangat berharap kerajaan dapat memberi fokus untuk memperbanyakkan wanita menyertai politik selain sektor kepimpinan ekonomi. Yayasan ini juga melaksanakan federasi usahawan wanita. Mengumpulkan usahawan wanita dalam satu kumpulan yang ada bersama,” katanya.

Menyentuh aspek keusahawanan wanita, beliau turut berharap kerajaan dapat mempermudahkan proses permohonan dana usahawan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Kami banyak menghantar permohonan pinjaman usahawan di PUNB tetapi sukar untuk mendapatkannya.

“Saya berharap peruntukan RM4.8 bilion diberikan untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah PUNB, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera dalam Bajet 2022 dapat memudahkan proses usahawan membuat permohonan dana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×