Kecil-kecil cili padi. Itulah peribadi sebenar pakar motivasi dan aktivis Malaysia, Dr. Azuraida Shahadan, 37, atau lebih dikenali sebagai Dr. Azu.
Wanita ini membuktikan anak tempatan mampu bersaing di persada antarabangsa. Ini apabila beliau menempatkan diri sebaris nama besar dalam bidang motivasi, kejurulatihan dan mentor sejak beliau muncul rakyat Malaysia pertama dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada California State University, Fullerton (CSUF).
Dr. Azuraida juga adalah pencipta peranti The Mind Tune yang diiktiraf peranti Kesihatan Mental Keluarga Malaysia.
Tidak ketinggalan, beliau diiktiraf sebagai Pakar Motivasi Pilihan 2021 (Pa&Ma) oleh majalah tempatan. Kini ia adalah portal panduan lengkap keibubapaan dan prasekolah. Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Persidangan Pendidikan Global di California.
Perjalanan anak kelahiran Kuala Lumpur ini bermula sebagai pakar motivasi selepas bangkit daripada kekecewaan hidup kira-kira 12 tahun lalu.

Berkahwin pada usia muda menjadikan wanita ini berdepan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pada awal perkahwinan, segalanya berjalan lancar sehinggalah beliau melanjutkan pelajaran di California, Amerika Syarikat (AS).
Ternyata perkahwinan itu diuji apabila dia dan bekas suaminya ketika itu terpaksa berjauhan. Akhirnya tidak dapat diselamatkan hingga membawa kepada penceraian.
“Saya bercerai pada usia 25 tahun dan ketika itu saya mengandung. Saya sangat berputus asa masa itu dan melalui fasa kemurungan. Saya mengembara hingga ke Eropah bersama bayi saya untuk mencari ketenangan tetapi saya tidak menemuinya. Lebih teruk, saya pernah terfikir membunuh diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
UBAH PERSEPSI MINDA
Bercerita lanjut, beliau berjaya mengubah persepsi minda apabila bertemu rakannya yang disahkan kanser. Seperti satu keajaiban, rakannya sembuh sepenuhnya hanya dengan mengubah minda bahawa kanser itu akan sembuh dan hilang.
“Sejak peristiwa itu, saya belajar mengenal diri dan mengubah minda dan tindakan saya menjadi lebih positif. Perlahan-lahan saya berjaya bangkit. Saya tidak berhenti menuntut ilmu di AS.
“Pada 2013, saya memenangi anugerah Ibu Bapa Pelajar Cemerlang oleh California State University, Fullerton (CSUF) dan Anugerah Cemerlang Ibu Bapa Tunggal daripada National Alliance of Taiwan Women’s Associations (NATWA), California,” katanya.
Bercerita lanjut, berbekalkan semangat tersebut, Dr. Azuraida meneruskan impiannya menjadi pakar motivasi dan pakar kepemimpinan diri, keluarga dan organisasi.
“Saya mahu membantu orang lain bangkit daripada kejatuhan, kemurungan dan putus asa. Jika saya boleh, mereka pun boleh.
“Secara sains telah dibuktikan mengenai kehebatan minda separa sedar yang berada dalam keadaan aplha wave atau gelombang ketenangan ini. Ia mampu membantu kita mengatasi masalah tekanan hidup, gusar dan gelisah.
“Jadi kepada mereka yang memerlukan terapi minda, jangan lupa mencari waktu tenang di mana otak berada dalam gelombang ketenangan dan sewaktu itu, berdoalah kepada Allah,” katanya.

Beliau yang tinggal di AS hingga 2015, turut aktif menjalankan aktiviti kebajikan. Dr. Azuraida pernah menjadi sukarelawan di Pusat Perkhidmatan Sukarelawan Universiti Pittsburgh dan California State University ketika menuntut di sana.
Selain mengendalikan kerja amal di Rumah Kebajikan Orange County Social Service, beliau bertugas mengagih makanan kepada gelandangan Mary’s Soup Kitchen dan sukarelawan Islamic Relief dan Disaster Assistance Relief Team (DART).
Mula terlibat sebagai sukarelawan sejak 2006 menerusi Islamic Relief ketika gempa bumi di Yogjakarta, Indonesia.
Berkongsi pengalaman di Pittsburgh, komuniti Melayu hanya ada lapan orang, Dr. Azuraida melakukan kerja sukarelawan seperti membantu anak terbuang.

TINGGALKAN GAJI LUMAYAN
Demi mengejar impian bergelar sukarelawan sepenuh masa, beliau meletakkan jawatan pensyarah institut pengajian tinggi awam untuk memberi tumpuan kepada kerja amal.
“Waktu itu gaji saya sudah tiga angka tetapi saya nekad berhenti walaupun keluarga tidak setuju dengan tindakan saya.
“Bayangkan selepas berhenti, saya hanya ada RM1 dalam akaun bank. Masa itu, saya tawakal dan saya set minda saya untuk saya berubah dan dibuka rezeki untuk saya membantu orang lain.
“Saya tidak pernah menyesal dan menoleh ke belakang. Apabila berhenti kerja, saya memberi tumpuan sepenuhnya menguruskan aktiviti sukarelawan dengan lebih lancar,” ujarnya.
Malah, Dr. Azuraida berbangga dapat meneruskan minatnya sejak sekian lama.
Katanya, bertugas sebagai ahli akademik, beliau ‘terikat’ dengan tanggungjawab sebagai pensyarah di universiti.
“Pernah satu ketika saya sudah merancang program di perkampungan Orang Asli namun terpaksa dibatalkan saat akhir kerana ada tugas di universiti yang tidak dapat dielakkan.
“Melihat keadaan itu, saya buat keputusan meletak jawatan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti sukarelawan,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengasas Kembara Amal Ventures (Kave) berkata, keputusan itu memberi peluangnya membantu lebih ramai golongan memerlukan.
Beliau berterima kasih atas dorongan arwah ibu yang sentiasa memberi semangat kepadanya menjalankan kerja amal.
MENGEMBARA
Sekembalinya ke tanah air pada hujung 2015, Azuraida turut menjalankan kerja sukarela, tetapi tidak sepenuhnya kerana terikat dengan komitmen tugas.
Sebagai pensyarah, selain mencurahkan ilmu, beliau turut mendedahkan kepada pelajar menjadi pemimpin dengan meletakkan diri sama rendah dengan mereka di bawah.
Justeru, apabila ada program amal, beliau membawa pelajar merasai pengalaman istimewa ini.
“Sambil mengembara, kita berpeluang melihat kesusahan orang lain dan beramal,” katanya yang sudah mengembara ke lebih 30 negara. Antaranya United Kingdom, Jerman, Perancis, Denmark, Belanda, Mexico, Sepanyol, Portugal, Turki, Australia, New Zealand, Thailand dan Jepun.
Kesempatan itu memberi peluang kepadanya menyaksikan kehidupan masyarakat setempat. Melihat kehidupan sebagai sebuah kebajikan.
“Pengalaman ini menjadikan saya lebih bermuhasabah dengan mensyukuri nikmat, mempelajari budaya dan sifat sabar serta semangat setia kawan,” katanya.
Ditanya cabaran yang dihadapi, Dr. Azuraida berkata, sebagai wanita dia perlu bijak membahagikan masa sebagai ibu, isteri, pakar motivasi dan tugasnya sebagai sukarelawan.
“Saya bersyukur kerana suami, Nazrin Ridhwan dan anak sangat memahami. Dia memahami jadual saya dan sentiasa menyokong kerjaya saya.
“Sebagai pakar motivasi, bukan semata-mata wang yang kita cari. Dengan memberi aura positif kepada orang lain bermakna semakin ramai kita tolong orang, kita akan rasa gembira dan bahagia,” katanya.

Dr. Azuraida juga adalah individu yang tidak boleh duduk diam kerana banyak perkara yang dilakukan tanpa kenal erti penat.
Bukan hanya aktif dengan kerjaya dan NGO, dia juga penulis buku dan pengamal keibubapaan.
“Saya ni semua benda nak buat sebab berpegang kepada prinsip hidup hanya sekali dan kalau Allah bagi keupayaan kita perlu cuba semua benda.
“Apa pun saya bersyukur kerana semua urusan sentiasa dipermudahkan dan diberi ruang lakukan pelbagai perkara yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.










