Setiap makanan yang dimakan akan menghasilkan tenaga dikenali sebagai kalori dan ia boleh diukur dengan unit kilokalori atau Kcal.
Kalori diperlukan oleh tubuh untuk melakukan pelbagai aktiviti harian termasuk aktiviti-aktiviti fizikal.
Keperluan kalori akan meningkat jika seseorang individu tersebut mengamalkan aktiviti fizikal aktif berbanding yang kurang aktif.
Namun, pengambilan kalori lebih daripada keperluan boleh menyumbang kepada masalah berlebihan berat badan dan obesiti. Sebagai contoh makanan ringan seperti aiskrim.
Berat badan berlebihan dan obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan sebagainya.
Bagi membolehkan pengguna menikmati makanan manis seperti aiskrim tanpa perlu bimbang mengenai kenaikan kalori secara berlebihan dalam badan, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Nor Zalina Mat Saad menghasilkan satu produk inovasi dikenali sebagai Aiskrim Kelapa Kurang Kalori.

“Inovasi baharu produk aiskrim kelapa kurang kalori ini dibangunkan bagi memenuhi cita rasa penggemar aiskrim agar dapat menikmati makanan sedap dan lazat serta bernutrisi tanpa menambah kandungan kalori yang banyak dalam pemakanan mereka,” katanya.
AISKRIM KELAPA
Menurut Zalina, manfaat kesihatan kelapa muda telah banyak dibuktikan melalui kajian.
Walau bagaimanapun, kebanyakan pengguna hanya menikmati faedah kesihatannya melalui pengambilan kelapa segar. Ini kerana tidak banyak produk berasaskan kelapa yang tahan lama terdapat di pasaran.
“Aiskrim adalah produk pencuci mulut sejuk beku digemari oleh semua lapisan masyarakat. Sehubungan dengan itu, tercetuslah idea teknologi pembangunan produk aiskrim kelapa.
“Ia membolehkan pengguna menikmati rasa produk yang lazat, bernutrisi dan menyegarkan.
“Selain itu, kelapa pandan dipilih kerana ia mempunyai aroma wangi perisa pandan asli tanpa menggunakan perisa sintetik tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KEISTIMEWAAN PRODUK
Kongsi Zalina, meskipun terdapat banyak aiskrim kurang kalori di pasaran, aiskrim hasil ciptaan beliau ini ada keistimewaan tersendiri. Sebabnya ia dirumus dengan menggunakan kelapa muda pandan.
“Inovasi ini turut menggunakan ramuan bercirikan makanan-makanan sihat. Malah aiskrim kelapa kurang kalori ini mempunyai kandungan kalori 144.0 kcal atau 100g dan ia rendah lemak, iaitu 1.06 peratus serta karbohidrat 30.58 peratus dan jumlah serat diet 1.75 peratus.
“Kandungan tersebut boleh dicadangkan kepada mereka yang menitikberatkan mengenai pengambilan jumlah kalori dalam diet harian,” katanya.
Menurut Zalina, aiskrim tersebut mempunyai kandungan lemak yang rendah. Oleh itu, pengambilannya mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, kolesterol dan lain-lain seperti mana dikaitkan dengan aiskrim biasa.
BUAH KELAPA DITERIMA RAMAI
Tambahnya, penilaian uji rasa produk oleh panel sensori mendapati aiskrim kelapa tersebut boleh diterima ramai apabila dipasarkan.
Apabila ditanyakan mengenai adakah produk tersebut akan muncul di pasaran, Zalina berkata, ia sudah bersedia untuk dipindahkan kepada usahawan atau pengusaha yang berminat.
“Setakat ini kajian di peringkat makmal dan kajian penerimaan pengguna telah selesai dijalankan, oleh itu usahawan-usahawan yang berminat, boleh menghubungi MARDI untuk perbincangan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Zalina turut berkongsi, buah kelapa dipilih bagi teknologi ini kerana ia merupakan tanaman industri sumber kekayaan baharu bagi mempelbagaikan produk makanan.
“Tanaman buah ini telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara, khususnya dalam pembasmian kemiskinan di kalangan pekebun kecil kelapa.
“Dengan adanya teknologi ini, permintaan terhadap buah kelapa akan meningkat dan dengan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“Ia juga adalah teknologi penghasilan produk nilai tambah bagi mempelbagaikan jenis makanan berasaskan kelapa berkhasiat dan berkualiti tinggi dalam pasaran,” kongsinya.

Dari segi kekerapan pengambilan, Zalina berkata, aiskrim tersebut boleh diambil dalam kuantiti 120ml atau dua sudu sederhana bagi setiap hidangan.
“Menurut International Dairy Foods Association, 2018 (IFDA) aiskrim kurang kalori hendaklah mengandungi 150 kalori atau kurang bagi setiap hidangan, iaitu setengah cawan atau 125ml aiskrim.
“Ini bermakna, pengguna boleh mengambil aiskrim kelapa kurang kalori ini sebanyak 120ml atau 2 skop sederhana aiskrim setiap hidangan.
“Malah tidak ada had umur bagi mereka yang ingin menikmati aiskrim tersebut, ia sesuai dihidangkan kepada golongan yang gemar memakan aiskrim.
“Namun, memandangkan aiskrim ini dicipta dengan kalori yang rendah, mereka yang menitik berat tentang pengurusan berat badan juga merupakan antara fokus sasaran pengguna produk ini,” katanya mengakhiri bicara.










