100,000 veteran ATM hidup miskin - Utusan Malaysia

100,000 veteran ATM hidup miskin

Shahruddin Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kira-kira 100,000 veteran tentera sebelum dan pasca merdeka sehingga 2004 berada dalam kategori miskin kerana hanya memperoleh kadar pencen berdasarkan gaji lama mereka.

Biarpun berlaku kenaikan gaji sebagai contoh antara yang terbesar pada 2004, veteran terbabit tetap memperoleh pencen pada kadar gaji lama.

Situasi ini sekali gus mewujudkan jurang besar antara veteran tentera sebelum 2004 dan selepas tahun tersebut disebabkan tiada penyelarasan pencen dibuat kerajaan.

Sebagai contoh, seorang tentera berpangkat koperal apabila berpencen hanya mendapat sekitar RM2,000 sebulan berbanding kategori paras kemiskinan negara RM2,500.

Jika dilaksanakan penyelarasan pencen, ia bermakna pendapatan mereka mampu melepasi paras kemiskinan tetapi sebaliknya berlaku, malah ada veteran tentera sehingga kini hanya memperoleh pencen sebanyak RM900 sebulan.

Kerajaan menetapkan bayaran pencen meningkat dua peratus setiap tahun sejak 2013 dan ia tidak dinikmati oleh veteran tentera sebelum 2004.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten (B) Datuk Shahruddin Omar berkata, rungutan pelarasan pencen itu bukan sahaja dalam kalangan anggota lain-lain pangkat, malah bekas Jeneral pun merungut berhubung perkara itu.

Ini kerana katanya, jurangnya terlalu besar jika hendak dibandingkan antara bekas tentera berpencen sebelum 2004 dan selepas tahun itu biarpun menjawat jawatan tinggi dalam ATM.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan pencen yang lebih munasabah kepada bekas-bekas tentera selaras dengan peningkatan taraf hidup semasa.

Beliau berkata, persatuan tersebut tidak mempunyai statistik tepat jumlah anggota tentera zaman berkenaan namun dianggarkan bawah 100,000 orang.

Katanya, jumlah itu berkurangan setiap tahun disebabkan faktor kematian.

“Skim pencen ATM di bawah Akta Veteran 1972 berbanding kakitangan awam lain telah menikmati beberapa kali kenaikan.

“Ramai veteran zaman itu hidup miskin, ada saya temui pegawai waran berusia 76 tahun hanya menerima pencen kira-kira RM900 tanpa sebarang kenaikan pencen tahunan.

“Jadi, kerajaan perlu memandang serius isu veteran ATM hidup dalam taraf kemiskinan termasuk anggota rendah ATM ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan pemberian elaun bulanan atau tahunan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

”Isu ini bagaikan bermain tarik tali dan tidak selesai sedangkan penerimanya semakin kurang saban tahun tetapi hasrat mendapat elaun tidak kesampaian,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan wajar mengenang jasa pengorbanan penerima PJM kerana mereka terlibat secara langsung mempertahan negara dan memerangi pengganas komunis serta konfrantasi dengan Indonesia.

Tegasnya, jika kerajaan tidak mampu membayar elaun bulanan RM500 sebulan atas faktor implikasi kewangan, ia boleh diberikan mengikut kemampuan.

“Kos pembayaran elaun keseluruhan yang ditanggung kerajaan berkurangan setiap tahun atas faktor jangka hayat penerima. Elaun ini pula tidak boleh diwarisi,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, seramai 121,000 veteran tentera menerima bantuan one-off RM500 membabitkan peruntukan sebanyak RM60 juta tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN