Ruzita bertahan buat daun rokok - Utusan Malaysia

Ruzita bertahan buat daun rokok

Ruzita Sabu mengusahakan daun rokok nipah sebagai sumber pendapatan di rumahnya di Kampung Almarhum Kayang, Kuala Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSILA di ruang depan rumah sambil melurut daun nipah menjadi rutin Ruzita Sabu sebagai sumber pendapatannya yang menghasilkan daun rokok.

Malah, sejak berusia 12 tahun, Ruzita membantu ibunya membuat daun rokok dan meneruskan usaha tersebut bagi memenuhi permintaan yang masih tinggi.

Ibarat seperti sebuah industri kecil yang masih aktif khususnya di kawasan Kuala Perlis, wanita berusia 44 tahun dari Kampung Almarhum Kayang itu adalah salah seorang daripada lebih 30 pengusaha pembuatan daun rokok di sekitar kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, pembuatan daun rokok daripada pucuk nipah itu hanya ada di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Proses pembuatan daun rokok bukannya terlalu mudah di mana ia memerlukan minat, kesabaran serta ketelitian bermula daripada proses memotong pucuk nipah, lurut seterusnya dijemur sekitar dua atau tiga jam sebelum dijadikan sebagai daun rokok.

Ummi Zulaikha Matzuki sering membantu ibunya melakukan proses melurut daun nipah sebelum dijemur dan dijadikan rokok daun.

Bagi Ruzita, dia mampu menjual 500 hingga 600 ikat daun rokok di kedai-kedai runcit sekitar negeri ini dengan memperoleh pendapatan RM800 sebulan.

Ia sekali gus membantu suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menampung kehidupan harian mereka bersama dua cahaya mata tersayang.

Katanya, dia belajar membuat daun rokok dari ibunya yang melakukan kerja tersebut sejak tahun 1978 dan kini, ia menjadi sebagai sumber rezekinya.

Jelasnya, dia juga dibantu oleh anak sulungnya, Ummi Zulaikha Matzuki, 22, bermula dari pukul 11 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Ujarnya, dalam sehari mereka mampu menyiapkan sekitar 50 ikat daun rokok bergantung kepada bekalan pucuk nipah yang ketika ini semakin sukar diperolehi di negeri ini.

“Pucuk nipah itu diambil dari Pahang atau Perak dengan bekalan di Perlis dilihat semakin berkurangan.

“Harga bagi sebatang pucuk nipah sekitar RM6. Dahulu, mendapatkan pucuk nipah mudah di sepanjang sungai sekitar negeri ini.

Ruzita terpaksa mendapatkan bekalan pucuk nipah dari Pahang dan Perak berikutan sumber itu semakin kurang di Perlis.

“Sekarang bekalan pucuk nipah khususnya di Perlis semakin berkurangan menyebabkan kami perlu membelinya khususnya dari Pahang. Hasil pendapatan menjual daun rokok inilah menjadi sumber rezeki saya.

“Sekurang-kurangnya hasil pendapatan ini dapat membantu suami memandangkan kami bukannya terdiri daripada golongan berada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

MASIH RAMAI PEMINAT DAUN ROKOK

Tambah Ruzita, meskipun dalam suasana serba moden namun permintaan terhadap daun rokok sebenarnya masih tinggi khususnya dalam kalangan warga emas serta penduduk-penduduk kampung.

Katanya, berikutan itu, dia juga pernah membuat pinjaman RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tahun lalu bagi mengembangkan perniagaan daun rokok tersebut.

“Saya jual daun rokok di kedai-kedai runcit satu ikat hanya RM1.50 dan ada juga yang datang beli di rumah khususnya bagi mereka yang gemar daun rokok asli nipah itu.

“Sebenarnya menghasilkan daun rokok ini memerlukan pengalaman dan agak sukar jika tidak biasa. Malah, anak saya yang sering membantu setiap hari sejak dahulu juga sudah semakin mahir,” katanya.

Sementara itu, Ruzita berkata, industri daun rokok boleh berkembang menjadi industri besar jika mendapat bantuan daripada kerajaan sekali gus mampu memberi pendapatan kepada penduduk-penduduk kampung khususnya.

Katanya, sebagai contoh di Kuala Perlis, ramai pengusaha daun rokok namun kebanyakannya dilakukan dalam skala yang kecil.

Ruzita Sabu menunjukkan daun rokok yang sedia untuk dijual dengan harga RM1.50 seikat

Namun katanya, jika mendapat sokongan daripada kerajaan khususnya daripada segi peruntukkan tidak mustahil Kuala Perlis mampu menjadi salah satu kawasan tumpuan industri penghasilan daun rokok.

“Secara tidak langsung, penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan daun rokok ini dapat mengembangkan perniagaan sekali gus membantu menjana lebih pendapatan,” katanya.

Kata Ruzita lagi, dia akan meneruskan pembuatan daun rokok yang sudah sebati dengan dirinya sejak turun temurun lagi.

“Insya-Allah selagi pucuk nipah tidak pupus, saya akan terus membuat daun rokok. Meskipun pendapatan tidak seberapa namun ia memberi kepuasan kepada saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini