Dunia meramalkan antara pekerjaan bakal pupus ialah percetakan. Kebergantungan masyarakat terhadap teknologi dan isu berhubung kelestarian alam sekitar antara faktor memendekkan lagi usia antara sektor tertua dunia itu.
Dalam kemelut itu, nama Mohamad Hafizan Kamarulzaman antara kelibat gigih meneruskan dunia percetakan selaku pengasas dan Pengurus Komunikasi di Gatenbej Printworks.
Katanya, dalam sisa kemajuan teknologi, dunia percetakan masih ada tempat yang istimewa. Cuma ia mungkin tidak serancak 20 tahun yang lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, lulusan Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Sains Kemanusiaan (komunikasi) Pengkhususan dalam Perhubungan Awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata, pembabitannya dalam dunia percetakan secara tidak dirancang.
Katanya, usai tamat pengajian, dia terus melibatkan diri bidang perhubungan awam dan media di beberapa organisasi.
“Saya bertuah kerana dikelilingi individu yang hebat sepanjang tempoh saya bekerja. Tidak dinafikan kesemua bekas majikan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan bukan sahaja berkaitan perhubungan awam dan media, malahan saya juga diberi tugasan dalam percetakan dan rekaan grafik.
“Daripada pengalaman dan pendedahan itu, saya menjadi amat berminat dengan industri perkhidmatan pencetakan, penerbitan dan rekaan grafik,” katanya mengulas mengenai penglibatan awalnya dengan kerja belakang tabir itu.
Gatenbej Printworks terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Namanya diinspirasi daripada nama Johannes Gutenberg pengasas industri percetakan pada tahun 1450-an yang berasal dari Mainz, Jerman.
Gatenbej Printworks mahu menjadi pilihan utama pelanggan dalam mendapatkan perkhidmatan percetakan penerbitan, rekaan grafik dan juga pembinaan laman web.
Selain pencetakan, Gatenbej Printworks turut terlibat dalam mereka, membangun laman web dan sebagainya. Mereka dibantu pekerja belakang tabir yang mempunyai kepakaran dalam bidang komputer dan teknologi maklumat dibawa khas dari Chennai, India.
10 TAHUN
Dalam melakar kejayaan, Mohamad Hafizan sentiasa tekankan kepada pekerja kepentingan komunikasi dan khidmat pelanggan selain kualiti kerja yang luar biasa yang melampaui jangkaan pelanggan.
Tegasnya, ia tidak mudah namun kegigihan, bertahan dan kesabaran menjadi elemen dipegang sejak mula membabitkan diri dalam perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.
Kata Mohamad Hafizan, industri percetakan sebenarnya luas, bukan sekadar cetak semata-mata. Sebaliknya menerusi perniagaan itu, telah menambah ilmunya terhadap perniagaan lain.
“Sebagai contoh buku Teroka Sains. Kami tidak sekadar mencetak tetapi turut terdedah dengan ilmu pengurusan stok dan pembungkusan untuk pengeposan.
“Industri percetakan sebenarnya luas, bukan sekadar cetak semata-mata,” katanya yang menjelas syarikatnya turut terlibat dalam penerbitan semula kandungan daripada media sosial dalam format cetakan buku dengan rekaan grafik menarik.
“Inisiatif ini saya mulakan pada 2018 lagi. Sejak itu saya lihat ramai dalam kalangan selebriti sosial media berpengaruh telah mula menerbitkan kandungan mereka dalam format buku dan diedarkan kepada peminat masing-masing,” katanya penuh semangat.
Apa yang menyeronokkan Mohamad Hafizan, inisiatif dimulakan itu menjadi ikutan ramai. Secara tidak langsung ia kembali merancakkan lagi industri penerbitan dan percetakan negara ini.

PERLU KREATIF
Akur dengan perkembangan semasa yang berkiblatkan alam maya, namun Mohamad Hafizan optimis ia bersifat sementara kerana yakin dunia percetakan akan kembali dicari.
“Internet amat membantu manusia, itu saya akui. Walaubagaimanapun, kita perlu ingat bahawa teknologi sentiasa berubah dan tidak kekal. Contohnya, dahulu kita ada MIRC, MySpace Friendster dan sebagainya.
“Kita boleh menyimpan cerita dan kenangan menerusi aplikasi, tetapi ia tidak bertahan lama lalu digantikan dengan aplikasi sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Bagaimana nasib aplikasi ini untuk beberapa tahun akan datang?. ICT akan terus berubah begitu juga dengan teknologi. Tetapi dengan cetakan segala-galanya kekal,” katanya.
KEJAYAAN KLIEN JADI INSPIRASI
Mohamad Hafizan menjelaskan, dirinya adalah pendorong untuk dia terus berada dalam industri.
“Saya sangat terinspirasi melihat mereka yang berjaya dalam perniagaan yang bermula daripada kosong, hingga menjadi empayar perniagaan yang disegani. Klien saya antara inspirasi untuk saya menjadi seperti mereka atau lebih baik daripada mereka,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan wanita pilihannya, Nor Hidayati Mohd. Kamal, 36, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata bernama Maryam, 8, Ibrahim, 6 dan Kalsom, 2.
Isterinya mengusahakan perniagaan berasaskan kek dan pastri.
Selain gemar meluangkan masa bersama keluarga, Mohamad Hafizan turut menjinakkan diri dengan aktiviti riadah berkuda pada setiap hujung minggu bersama ahli keluarga.
Dalam kesibukan itu, Mohamad Hafizan kini sedang menyiapkan tesis kajian beliau untuk Ijazah Sarjana Komunikasi Teknologi di salah sebuah universiti awam membabitkan komunikasi cetakan dalam era digitalisasi.










