Kepentingan beriadah dalam kalangan kanak-kanak - Utusan Malaysia

Kepentingan beriadah dalam kalangan kanak-kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan kanak-kanak dan remaja melakukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana sehingga kuat setiap hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh: MOHD. AL ADIB SAMURI

Pengumuman kerajaan untuk membenarkan aktiviti pelancongan, rekreasi dan sukan adalah suatu yang perlu disambut baik dengan penuh tanggungjawab.

Kebenaran itu dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai aspek kesihatan awam, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kelonggaran untuk bersukan dan beriadah seharusnya diambil peluang oleh ibu bapa dan keluarga dengan membawa kanak-kanak keluar rumah dengan turut sama bersenam dan beriadah dengan pemantauan ketat.

Ini kerana sukan dan riadah adalah suatu bentuk strategi daya tindak bagi individu yang ingin menguruskan stress akibat tekanan bekerja, belajar dan berkurung di rumah.

Kajian di beberapa negara menunjukkan perintah berkurung bagi pengawalan wabak berisiko memberikan impak negatif kepada psikologi manusia, termasuklah kanak-kanak.

Kanak-kanak adalah golongan rentan yang boleh mengalami kesan negatif akibat berkurung dalam rumah dalam suatu tempoh masa lama.

Tambahan lagi, perintah kawalan pergerakan juga secara tidak langsung mengurangkan pergerakan fizikal kanak-kanak.

Kesan kepada si cilik
Perintah berkurung dan penutupan sekolah dilaksanakan di pelbagai negara sebenarnya berisiko memberi impak kepada kesihatan fizikal dan psikologi kanak-kanak.

Kajian mendapati daripada psikologi kanak-kanak boleh mengalami ketakutan, ketidakpastian dan keterasingan secara fizikal dan sosial.

Selain itu, mereka turut dilaporkan mengalami gangguan tidur, mimpi ngeri, kurang selera makan, tidak dapat memberikan perhatian dan rasa bimbang apabila berpisah.

Apabila tidak bersekolah, fizikal mereka menjadi kurang aktif. Mereka lebih banyak menonton skrin di gajet dan televisyen, corak tidur tidak teratur dan mengamalkan diet kurang berkhasiat.

Ini sekali gus mengakibatkan kanak-kanak mengalami kenaikan berat badan dan kehilangan kecergasan kardiorespiratori.

Kesan negatif kesihatan itu cenderung menjadi lebih teruk apabila anak-anak berada di rumah tanpa aktiviti luar dan tidak berinteraksi dengan rakan sebaya ketika penularan wabak.

Impak terhadap psikologi kanak-kanak ini dapat dilihat menerusi kajian Orgilés et al. pada 2020 yang mengutip data soal selidik daripada 1,143 ibu bapa kanak-kanak berusia tiga hingga 18 tahun di Itali dan Sepanyol.

Kajian itu mendapati 85.7 peratus ibu bapa mendapati berlaku perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak mereka semasa tempoh kuarantin di rumah.

Gejala paling kerap berlaku ialah kesukaran menumpukan perhatian (76.6%), kebosanan (52%), mudah marah (39%), resah (38.8%), kegelisahan (38%), perasaan kesunyian (31.3%), perasaan tidak senang (30.4%) dan kebimbangan (30.1%).

Keperluan kanak-kanak
Maka, terdapat keperluan untuk mengurangkan risiko kesan kawalan pandemik ini terhadap kanak-kanak.

Salah satu cara mengurangkan impak negatif kepada psikologi kanak-kanak ialah memberi peluang mereka bermain, beriadah, membaca, berehat dan melakukan aktiviti fizikal.

Adalah lebih baik ahli keluarga bermain bersama anak daripada membiarkan mereka bermain permainan video di gajet dan komputer.

Ibu bapa tidak wajar membiarkan mereka mengamalkan gaya hidup tidak aktif dan menghadap skrin terlalu lama.

Ibu bapa dan keluarga perlu membawa anak bermain, melakukan aktiviti fizikal dan beriadah sepanjang tempoh PKP, demi kesejahteraan diri kanak-kanak.

Demi kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak, ibu bapa perlu kreatif memikirkan cara terbaik bergerak dan aktif, sejajar kebenaran diberikan pihak berkuasa dan mematuhi SOP ditetapkan.

———
PENULIS ialah Prof. Madya di Institut Islam Hadhari dan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×