Isteri diuji dengan suami lumpuh - Utusan Malaysia

Isteri diuji dengan suami lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARLAH ungkapan kesetiaan seorang isteri diuji ketika suami tidak punya apa-apa, kesetiaan suami pula diuji ketika memiliki segalanya.

Minggu ini saya berkongsi kisah Ainul (bukan nama sebenar) seorang isteri yang menjaga suami terlantar sakit sejak hampir empat tahun lalu.

Akuinya, tidak ada niat mahu membangga diri atas kesetiaan dan pengorbanannya itu.

Sebaliknya, kesediaan berkongsi kisah hidup dan pengalaman dengan para isteri terutama yang senasib agar lebih sabar saat diuji dan paling penting memahami tujuan asal perkahwinan.

Selain kejujuran, kesetiaan antara perkara paling utama dalam mengekalkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Dalam perkahwinan, setiap isteri seperti juga Ainul mengharapkan suami mereka bukan sahaja menjadi pelindung tetapi juga penjaganya hingga ke akhir hayat.

Namun siapa menduga, pasangan ini hanya sempat menikmati saat-saat manis berumahtangga dalam tempoh kurang empat tahun.

Menceritakan coretan takdir yang menimpa, segala-galanya bermula apabila suaminya, Azman (bukan nama sebenar) diberhentikan kerja pada pertengahan Jun 2017.

Ainul yang ketika itu sarat mengandung anak keduanya, Ayu (bukan nama sebenar) buntu memikirkan masa depan mereka.

Tidak terhenti di situ sahaja, malang bertimpa. Hanya selepas tiga bulan diberhentikan, Azman terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mencari pekerjaan.

Pada awalnya, agak sukar Ainul menerima apa yang berlaku kepada Azman.

Mindanya mula diterobos pelbagai persoalan. Bagaimana masa depan anak-anak dan keluarga apabila suami yang menjadi tonggak diuji sedemikian rupa.

Masih adakah sinar di hujung terowong untuk keluarganya?

Namun Ainul cuba memujuk hati kerana sedar dia tidak sewajarnya terus bersedih. Dia perlu kuat dan membujuk hati untuk reda menerima takdir yang tertulis.

Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan seseorang.

TULANG BELAKANG KELUARGA

Dia kini perlu bertindak sebagai tulang belakang kepada keluarganya kerana Azman yang disahkan lumpuh separuh badan tidak mampu melakukan pekerjaan seperti biasa.

Ainul mengakui pada awalnya dia terpaksa berhadapan dengan cabaran yang amat menguji dirinya. Bukan mudah menjaga suami terlantar sakit. Semua itu menagih kekuatan dan kesabaran tinggi.

Sebelum keluar bekerja, dia harus memastikan segala keperluan makan minum, ubat-ubatan dan tugas membersih serta memandikan Azman disempurnakan.

Selepas semuanya selesai, tanggungjawab Ainul beralih pula menguruskan dua anak mereka. Masing-masing ketika itu berusia dua tahun dan tiga bulan setengah.

Semasa keluar bekerja, jiran lelaki mereka diamanahkan untuk melihat Azman, manakala anak-anak dihantar ke pusat asuhan berhampiran.

Begitulah rutin harian Ainul setiap hari. Menceritakan detik awal perkenalan dengan suaminya, ia bermula melalui rakan sepejabatnya.

Ketika itu, Ainul baru kehilangan cinta pertamanya. Kesedihan lantaran episod cinta pertama yang gagal terubat apabila Ainul diperkenalkan dengan Azman.

Cinta Ainul dan Azman yang merupakan sepupu rakan sepejabatnya itu akhirnya terpateri dengan ikatan perkahwinan.

Ijab kabul tanda sahnya mereka sebagai sepasang suami isteri diharap memberi kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Namun tiada siapa mampu menelah hari esok. Ujian mendatang dirasa seperti menokhtahkan segala kebahagiaan yang selama ini didambakan Ainul.

Apabila malang menimpa Azman, Ainul tidak berputus asa. Pelbagai usaha dilakukan oleh Ainul sama ada melalui perubatan moden dan tradisional untuk memulihkan Azman, namun keadaan suaminya masih tidak berubah.

Merandai cabaran menjaga suami yang lumpuh di samping terpaksa memikul tanggungjawab menjadi tonggak keluarga terkadang menumbuhkan dilema di jiwa Ainul.

Apatah lagi apabila bekas teman lelakinya, Rahman (bukan nama sebenar) kembali hadir dalam hidupnya. Usaha Rahman cuba ‘menangguk di air yang keruh’ terkadang hampir mencair kekuatan hati perempuannya.

Tapi Ainul bersyukur dia masih mampu berfikir secara waras. Gelombang cinta pertama yang cuba dicetuskan kembali oleh Rahman masih mampu ditepisnya.

Kepada Allah, Ainul pasrah berdoa agar diberi kesabaran dan kekuatan untuk mengharungi dugaan ini. Ainul juga tidak lupa menitip doa agar jodohnya dengan Azman berpanjangan.

Bagi Ainul, waima keadaan Azman sekarang tidak seperti dulu itu bukan bermakna dia harus meninggalkan suaminya itu.

Ainul sentiasa mengingatkan dirinya betapa segala ujian itu adalah ruang dan peluang yang diberikan Allah untuk mendidiknya menjadi seorang yang tabah dan ikhlas.

Baginya mungkin saja apa yang terjadi adalah anugerah Allah kepadanya untuk mengutip ganjaran buat bekalan di akhirat nanti.

Ketabahan dan keredaan Ainul menerima ketentuan takdir menyebabkan tiada siapa menyangka di sebalik keceriaan dan senyuman di wajahnya terselit satu dugaan yang mungkin tidak semua orang mampu menghadapinya.

Semoga Allah meletakkan Ainul sebagai isteri yang solehah serta menghitung segala pengorbanannya sebagai amal saleh dan mengganjarinya dengan syurga di akhirat kelak.

Kisah Ainul membuktikan adalah manifestari kejujuran dan keikhlasan cinta seorang perempuan. Bagi Ainul kesetiaannya kepada suami serta keredaan Allah adalah lebih utama.

Allah berfirman bermaksud: Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang yang berbuat baik. (al-‘Ankabut: 69)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya