Helen Keller ikon golongan buta, pekak - Utusan Malaysia

Helen Keller ikon golongan buta, pekak

HELEN KELLER memegang tulisan Braille, 1956. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKURANGAN bukan satu halangan untuk berjaya. Asalkan ia dipasak dengan kegigihan, keazaman dan kerja keras, segala rintangan di depan mata dapat diatasi.

Benarlah kata pepatah Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Itulah yang dibuktikan seorang pendidik dari Amerika Syarikat (AS), Helen Keller.

Walaupun mengalami masalah penglihatan dan pendengaran, wanita itu tidak pernah menyalahkan takdir.

Bahkan, beliau menerimanya sebagai satu rahmat untuk membuktikan kemampuannya menjadi salah seorang tokoh kemanusiaan abad ke-20.

Dikenali dengan sifat kegigihannya, wanita itu akhirnya bergelar seorang aktivis kemanusiaan yang dihormati dan disegani di seluruh dunia.

Semasa hayatnya, beliau menerima pelbagai penghormatan dan pengiktirafan termasuk Theodore Roosevelt Distinguished Service Medal pada 1936, Presidential Medal of Freedom (1964) dan pemilihan bagi Hall of Fame Wanita (1965).

Keller menerima ijazah doktor kehormat dari Universiti Harvard serta universiti di Glasgow, Berlin, New Delhi dan Johannesburg.

Beliau turut dinobatkan sebagai Felo Kehormat Institut Pendidikan Scotland.

Disunting daripada laporan Biography.com, mari kita kenali sosok wanita cekal yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam hidupnya.

BUTA, PEKAK SEJAK KECIL

Helen Keller adalah pendidik dari AS yang disahkan buta dan pekak sejak berusia dua tahun.

Pada 1887, guru Keller, Anne Sullivan membantunya bertutur dalam bahasa isyarat sehingga beliau menamatkan pembelajaran di kolej pada 1904.

HELEN KELLER (kiri) dan guru bahasa isyaratnya, Anne Sullivan, 1888. – AGENSI

Dilahirkan pada 27 Jun 1880 di Tuscumbia, Alabama, Keller merupakan anak pertama dari dua adik beradik kepada pasangan Arthur H.Keller dan Katherine Adams Keller.

Ayah Keller berkhidmat sebagai pegawai tentera bersekutu semasa Perang Sivil.

Beliau bukanlah berasal dari sebuah keluarga yang kaya-raya dan mereka sekeluarga membesar dengan meraih pendapatan daripada perladangan kapas.

Sejak berusia enam bulan, Keller sudah mula pandai bertutur dan mula berjalan semasa berusia setahun.

Namun, takdir tuhan menentukan Keller kehilangan kedua-dua nikmat penglihatan dan pendengaran semasa meniti usia 19 bulan.

Pada 1882, beliau disahkan menghidap penyakit ‘demam otak’ yang menyebabkannya mengalami peningkatan suhu badan.

Punca kejadian sebenar penyakit itu masih kekal misteri sehingga hari ini. Namun, beberapa pakar mempercayai ia berkemungkinan adalah meningitis.

PENDIDIKAN

Pada 1890, Keller mengikuti kelas pertuturan bagi individu pekak di Horace Mann School, Boston.

Beliau berusaha bersungguh-sungguh selama 25 tahun mempelajari bahasa tersebut supaya dapat difahami dengan baik.

Dari 1894 hingga 1896, Keller belajar di Wright-Humason School di New York. Beliau mempelajari untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan mempelajari subjek akademik.

Pada 1896, Keller terpilih mengikuti sekolah persediaan bagi wanita di Cambridge School for Young Ladies.

Sejak kisahnya mula diketahui ramai, nama Keller mula meniti popular dan menjadi individu berpengaruh.

Penulis, Mark Twain sangat mengagumi wanita itu sehingga mereka berdua menjadi rakan baik.

Twain memperkenalkan Keller kepada rakannya, Henry H. Rogers, seorang eksekutif di syarikat Standard Oil.

Rogers sangat mengagumi bakat, tekad serta keazaman Keller sehingga bersetuju menanggung kos pengajian wanita itu di Radcliffe College.

Keller ditemani Sullivan yang akan menterjemah sesi pengajaran dan teks pengajian semasa sesi pembelajaran.

Ketika itu, Keller sudah menguasai beberapa kaedah komunikasi seperti Braille, menaip, ejaan jari dan bacaan sentuhan bibir.

Wanita itu berjaya menamatkan pengajian di Radcliffe College pada 1904 ketika mencecah usia 24 tahun.

Keller mencipta sejarah apabila menulis buku pertama, The Story of My Life yang diterbitkan pada 1905 dengan bantuan Sullivan dan suaminya, Macy.

Buku itu mengandungi kisah transformasi kehidupan kanak-kanak Kelly sehingga bergelar pelajar kolej ketika 21 tahun.

AKTIVIS SOSIAL

Selepas menamatkan pembelajaran di kolej, Keller berazam mempelajari lebih banyak mengenai dunia dan bagaimana beliau boleh membantu meningkatkan kehidupan orang lain.

Sebagai aktivis kemanusiaan pada abad ke-20, Keller memperjuangkan masalah sosial, politik termasuk hak berkaitan wanita seperti kawalan kelahiran, sosialisme dan pasifisme.

Berita mengenai kisahnya mula tersebar di Massachusetts dan New England.

HELEN KELLER (kanan) menderita strok pada 1961. – AGENSI

Keller akhirnya menjadi pensyarah popular kerana kerap berkongsi pengalaman dengan orang ramai serta bekerja dengan golongan kurang upaya lain.

Beliau lantang bersuara di hadapan Kongres dengan menyatakan sokongan kuat untuk meningkatkan kesejahteraan golongan buta.

Pada 1915, beliau mengasaskan Helen Keller International bersama perancang bandar, George Kessler untuk mengatasi punca dan kesan hilang daya penglihatan serta kekurangan zat makanan.

Lima tahun selepas itu, wanita itu membantu mengasaskan American Civil Liberties Union (Kesatuan Kebebasan Rakyat Amerika).

Semasa Persekutuan Amerika bagi Orang Buta ditubuhkan 1921, Keller bergiat aktif dengan menjadi ahli pada 1924 serta menyertai banyak kempen bagi memupuk kesedaran, kewangan serta sokongan tanpa berbelah bahagi.

Keller turut menyertai organisasi lain membantu individu kurang bernasib baik termasuk Permanent Blind War Relief Fund.

MENGELILINGI DUNIA

Keller menjadi ahli Parti Sosialis disebabkan hubungan rapat sebagai rakan dengan John Macy.

Beliau menulis beberapa artikel mengenai sosialisme antara 1909 hingga 1921, serta memberikan sokongan kepada calon presiden parti itu, Eugene Debs.

Beberapa siri penulisan mengenai sosialisme bertajuk Out of the Dark menjelaskan mengenai pandangannya terhadap sosialisme dan hal ehwal dunia.

Pada 1946, Keller dilantik sebagai kaunselor hal ehwal antarabangsa bagi American Foundation of Overseas Blind.

HELEN KELLER semasa mengadakan pertemuan dengan penulis buta Mesir, Taha Hussein, 25 April 1952 di Kaherah. – AFP

Wanita itu pernah mengelilingi 35 negara di lima benua.

Pada 1955, Keller memulakan perjalanan terpanjang dan paling melelahkan dalam hidupnya walaupun sudah berusia 75 tahun.

Beliau sanggup meredah perjalanan sejauh 64,373 kilometer yang mengambil masa selama lima bulan mengunjungi benua Asia.

Keller ternyata menyuntik inspirasi dan memberi galakan kepada jutaan penduduk dunia menerusi siri ucapan dan kemunculannya di khalayak ramai.

KEMATIAN

Keller menderita penyakit strok sejak 1961 dan menghabiskan saki baki kehidupan di rumahnya di Connecticut.

Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika sedang nyenyak tidur pada 1 Jun 1968, hanya beberapa minggu sebelum ulang tahun kelahirannya ke-88.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×