MUMBAI : Mengejutkan ramai pihak dengan kontroversi dadah melibatkan anaknya, Aryan Khan, pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan, kini berdepan pula dengan khabar angin bahawa situasi kontrak iklannya dibatalkan.
Menurut laporan media antarabangsa, kontroversi dadah anaknya itu menyebabkan sebuah syarikat besar di India berasa tergugat dan bertindak membatalkan kontrak iklan dengan aktor popular tersebut.
“Terdapat laporan yang mendakwa syarikat perusahaan teknologi pendidikan tersebut sebelum ini juga telah membayar kontrak dengan Shah Rukh Khan pada harga yang tinggi.
“Difahamkan, syarikat tersebut juga telah menghentikan sementara semua kerja-kerja promosi yang berkaitan dengan aktor itu. Semuanya ada kemungkinan berkaitan dengan kontroversi melibatkan Aryan,”kata sumber.
Bagaimanapun, setakat ini, pihak Shah Rukh Khan masih belum tampil menjelaskan situasi sebenar sama ada berita itu benar atau sekadar desas-desus yang dicipta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Untuk rekod, pada 3 Oktober lalu, Aryan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita ditahan anggota polis dari Biro Kawalan Narkotik (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada Ahad.
Menurut The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.
Mahkamah Mumbai menolak permohonan jaminan ke atas Aryan dan pemuda itu terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur di Mumbai.










