Kajian kanser sistem jarum panas pemacu laser untuk prosedur biopsi tisu perkutan yang lebih selamat dan menjimatkan oleh Prof. Madya Dr. Yeong Chai Hong dari Fakulti Perubatan, Taylor’s University, muncul pemenang Anugerah Saintis Muda Persatuan Antarabangsa Fizik Tulen dan Gunaan (IUPAP) 2021 dalam bidang Fizik Perubatan, baru-baru ini.
Beliau yang diiktiraf sebagai saintis tempatan pertama memenangi anugerah berprestij itu menyifatkan kemenangannya sebagai peluang untuk memberi sumbangan lebih besar kepada masyarakat.
“Saya berbesar hati sebagai orang pertama dan orang Asia Tenggara pertama menerima anugerah ini.
“Minat, semangat dan tekad menambah baik rawatan kanser melalui radiologi seimbang dengan pelbagai sumbangan penyelidikan, perkembangan dan peranan kepimpinan dalam fizik perubatan, membawa saya ke sini, hingga ke peringkat ini dan juga peluang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Yeong yang juga pakar dalam perubatan nuklear dan radiologi intervensi berkata, menariknya, kajian itu turut berjaya merangkul anugerah berprestij sekali gus mampu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan komplikasi pendarahan semasa prosedur biopsi jarum.
“Untuk membentuk masa depan perawatan barah dengan memberi alternatif kepada pesakit, pasukan kami berusaha menaik taraf prototaip ini sehingga dapat digunakan serentak untuk ablasi tisu rawatan kanser invasif minimum,” katanya yang juga Ahli Fizik Perubatan berkelayakan dan Pegawai Perlindungan Sinaran berlesen di negara ini.
Dengan kemenangan itu Dr. Yeong memperoleh wang tunai RM4,838 (1,000 euro), pingat dan sijil Organisasi Antarabangsa untuk Fizik Perubatan (IOMP). Malah biografinya turut diterbitkan dalam buletin e-Medical Physics World.
Anugerah berkenaan diwujudkan dan dibiayai IUPAP. Ia adalah sekutu dalam Suruhanjaya Antarabangsa bagi Fizik Perubatan. Manakala ia dianugerahkan oleh IOMP, suatu badan yang mewakili lebih 27,000 ahli fizik perubatan di seluruh dunia dengan 87 organisasi anggota nasional serta dua organisasi gabungan.
KAJIAN PENTING
Mengenai kepentingan kajian itu, Dr. Yeong menjelaskan, ketumbuhan yang tidak boleh dibuang melalui pembedahan atau apabila kondisi pesakit tidak sesuai untuk pembedahan, terapi invasif minimum seperti terapi hipertermia adalah digalakkan.
Katanya, terapi hipertermia semasa menggunakan frekuensi radio, gelombang mikro, laser atau tenaga sejuk (cryoablation) yang sangat sejuk untuk mendorong kematian sel pada tisu yang disasarkan, sambil meminimumkan kerosakan pada tisu sihat di sekitarnya.
“Pesakit tidak memerlukan pembedahan terbuka malah ia menawarkan kadar kejayaan memberangsangkan.
Perkembangan ini membantu menjadikan rawatan kanser lebih berpatutan, kurang invasif dan lebih selamat.
“Ia sekali gus meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser secara keseluruhannya,” katanya yang turut menyasarkan menghasilkan impak dan kesinambungan dalam industri penyelidikan, terutama penyelidikan fizik perubatan dan kanser.
Dr. Yeong sebelum ini terlibat dalam kajian pengembangan formulasi oral dengan kos efektif dan radiasi rendah untuk kajian transit gastrousus.
Penyelidikan itu menunjukkan dos radiasi sekitar 100 kali lebih rendah berbanding Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan).
Pada 2012, beliau turut menang Sijil Merit, dianugerahkan persatuan radiologi kedua terbesar didunia, Persatuan Radiologi Eropah.
Dr. Yeong menamatkan Latihan Klinikal IAEA Fizik Perubatan Khusus dalam Radiologi Diagnostik pada 2014. Beliau pernah merangkul anugerah prestij Anugerah Presiden dalam Penyelidikan dan Inovasi oleh Taylor’s University pada 2019.










