PROSEDUR intubasi atau ditidurkan seringkali menjadi omokan yang menakut-nakut ramai orang bahawa kaedah itu menyakitkan dan petanda maut.
Pengarah filem sambilan, Mohd. Zulkarnain Mohd. Azhar, 39 positif Covid-19 kategori lima, diintubasi sebanyak dua kali, bagaimanapun menyifatkan pengalaman itu sebagai proses kelahiran semula.
Isterinya, Nor Lela Abdul Ghani, 38, berkata dia tak tahu daripada mana punca jangkitan kerana mereka berdua bekerja dari rumah sejak Jun lalu dan hanya keluar apabila perlu.
“Semuanya bermula apabila saya demam selama tiga hari. Kemudian anak pertama kami berumur sembilan tahun pula demam. Jadi, kami sekeluarga ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan melakukan saringan Covid-19. Keputusan mendapati kami positif Covid-19.

“Ketika itu kami sangat terkejut sebab sudah buat langkah berjaga-jaga sehabis baik dengan memakai dua lapis pelitup muka, sentiasa sanitasi malah anak-anak pun tidak keluar dan kami juga bekerja dari rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia. Nor Lela bercerita mewakili suami yang suaranya terganggu dek throat palsy.
Beliau seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Petaling untuk membuat janji temu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Stadium Melawati Shah Alam, Selangor.
Disebabkan Nor Lela dan Mohd. Zulkarnain mempunyai anak autisme, mereka dinasihati terus ke hospital dan ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
WAD SAMA
“Saya dan dua anak ditempatkan di dalam wad sama, manakala suami di wad berlainan. Setelah tiga hari berada di hospital, kami dibenarkan terus menjalani kuarantin di rumah tetapi tidak untuk suami,” katanya.
Nor Lela, berkata pada peringkat awal, suami hanya ada gejala ringan seperti selsema dan batuk. Namun apabila di hospital, keadaannya makin hari makin merosot hingga perlu memakai oksigen.
“Tiga hari selepas itu, suami perlu memakai ventilator mask dan kemuncaknya adalah pada hari kelapan selepas dimasukkan ke hospital apabila dia perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana memerlukan oksigen yang lebih tinggi.
“Paru-paru suami juga dijangkiti virus Covid-19 dan bakteria. Pagi itu dia dimasukkan ke ICU dan malamnya pada pukul 12.45 tengah malam saya menerima panggilan PPUM. Doktor memaklumkan keadaan suami saya kritikal dan perlu ditidurkan supaya boleh rehat,” katanya.
Nor Lela berkata, dia dan Mohd. Zulkarnain sepatutnya mendapat suntikan vaksin AstraZeneca pada awal Julai namun tidak sempat mendapatkannya kerana disahkan positif Covid-19 pada 14 Jun lalu.
Trauma intubasi
Bercerita mewakili suaminya, Pengurus Komunikasi Korporat di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) ini memberitahu, Mohd. Zulkarnain telah diintubasi atau ditidurkan dua kali selama lapan hari.
“Dia ditidurkan pada 25 Jun, dan disedarkan (extubate) 29 Jun apabila keadaan dilihat stabil. Tetapi selepas disedarkan, oksigen menurun dan keadaannya menjadi kritikal semula. Kemudian, doktor melakukan intubasi sekali lagi pada hari sama sehingga 2 Julai.
“Namun, ketika itu saya hanya berfikir positif dan serahkan kepada doktor untuk buat yang terbaik. Alhamdulillah dia berjaya mengharungi keadaan ini,” katanya yang menjelaskan waktu itu Mohd. Zulkarnain tidak boleh bercakap cuma kedengaran seperti berbisik.
Nor Lela berkata, sebelum diintubasi, dia dapat melihat perubahan Mohd. Zulkarnain melalui panggilan video apabila memberi reaksi lemah, tidak boleh bercakap seperti kebiasaaan dan keadaannya juga khayal.
“Saya faham keadaan dia ketika itu kerana apabila kurang oksigen, akan berlaku gangguan pada otak yang menyebabkan sesiapa sahaja hilang fokus,” katanya.
Tambahnya, suaminya memberitahu, selepas dibangunkan daripada intubasi, ia merupakan keadaan yang amat traumatik untuk pesakit Covid-19 dan pengalaman paling trauma sepanjang hidup kerana ketika itu mula berasa sangat sakit.
“Seksa pakai oksigen disebabkan gas yang kuat melekap di mulut dan hidung. Tekak dia juga rosak dan mengalami throat palsy selepas intubasi. Hilang suara dan tidak boleh menelan makanan pepejal mahupun air. Terdapat ulser dalam perut kerana tiub makan yang dimasukkan daripada lubang hidung terus ke perut.
“Malah dia juga sukar tidur dan batuk tidak henti pada waktu malam. Dia juga menerima drip antibiotik untuk paru-paru yang disuntik pada tangan dan juga suntikan ubat cair darah serta kencing manis. Tangan dan kaki lebam serta bengkak kerana berpuluh kali disuntik untuk diambil darah sepanjang berada di hospital. Kaki dia juga menjadi sangat lemah dan tidak boleh berjalan.
“Selepas berada di ICU selama 14 hari dan lapan hari diintubasi, akhirnya suami dipindahkan ke wad biasa. Tujuh hari selepas itu berpindah ke wad pemulihan pada 15 Julai dan di sinilah dia mendapat terapi sebaiknya,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Zulkarnain memberitahu Nor Lela, dia bersyukur diberi peluang kedua oleh Allah SWT dan berjaya melalui proses pemulihan sehingga akhirnya dapat bangun semula terutama dibenarkan keluar dari hospital tanpa memakai oksigen pada 3 Ogos.
“Suami tidak merokok walaupun paru-paru rosak 50 peratus akibat Covid-19 tetapi berpeluang untuk sembuh kerana dia bukanlah perokok. Jadi, doktor berpesan untuk kuatkan semangat menjalani fasa pemulihan.
“Kesan traumatik juga menyebabkan dia masih takut untuk berjumpa orang sehingga hari ini. Ada masa dia rasa rendah diri sebab suara tidak seperti dahulu dan masih belum boleh mula bekerja.
Walaupun bekerja sebagai pengarah filem sambilan, dia juga ada terlibat dengan projek filem yang masih tertangguh kerana memerlukan suaranya. Itu yang melemahkan semangat dia. Namun saya pesan kepadanya, kita sudah berusaha, paling penting tidak perlu memakai tiub dan oksigen lagi,” katanya.
Peluang kedua hidup semula
Seperti orang lain, Nor Lela juga tidak terlepas dalam memikirkan bahawa suaminya berkemungkinan akan ‘pergi’ meninggalkan dia dan seluruh ahli keluarga, namun dia sudah bersedia.
“Masa doktor cakap, ‘Zulkarnain, awak perlu ditidurkan dan suami terus jawab ok. Saya pun terkejut sebab tak sangka dia begitu positif sekali,” katanya yang berkesempatan membuat panggilan video sebelum 30 minit suaminya diintubasi.
Nor Lela mendapat panggilan daripada hospital pada 3 Julai memaklumkan suami telah disedarkan dan berada dalam keadaan stabil.
“Ketika itu saya terus sujud syukur. Keadaan jadi begitu syahdu. Anak-anak paling gembira. Allah SWT bagi peluang kedua untuk hidup kepada suami. Pengalaman yang saya tidak boleh lupakan adalah keluarga dan orang sekeliling memberi sokongan. Yang tidak kenal pun tanya khabar. Itu yang membuatkan saya tidak berputus asa dan ia menjadi kekuatan untuk saya yakin suami akan sembuh,” katanya.
Ujarnya, ujian diterima itu amat menginsafkan dan ia mengajar mereka berdua erti kesihatan dan hubungan kekeluargaan.
Dalam pada itu, kata Nor Lela, dia ingin memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang tiga perkara iaitu pertama, proses intubasi bukan death sentence (hukuman mati) tetapi ia sebagai pilihan atau ikhtiar perubatan.
“Keduanya, walaupun sudah vaksin tetap perlu menitikberatkan konsep berjaga-jaga dan ketiga, perlu ketahui kepentingan fasa pemulihan untuk bekas pesakit Covid-19 semua kategori,” katanya.
Fasa pemulihan dengan terapi
Akui Nor Lela, Long Covid ini wujud.
Antara perlu dilalui ialah Terapi Pertuturan (Speech Therapy), Terapi Pemulihan Cara Kerja (Occupational Therapy) dan Terapi Pemulihan Anggota (Physiotherapy) di PPUM.
Mohd. Zulkarnain yang mengalami Throat or Vocal Chord Palsy juga menjalani Terapi VitalStim (VitalStim Therapy) dan perlu menjalani pembedahan di klinik pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) sekiranya keadaan tekaknya masih tidak berfungsi baik.
“Jika selepas 10 sesi terapi ini, suara dia masih tidak kembali seperti asal, dia perlu menjalani pembedahan pada Disember nanti (enam bulan selepas jangkitan Covid-19),” katanya.
Akui Nor Lela, Long Covid ini wujud.
“Perlu bertolak-ansur, memahami dan membantu bekas pesakit Covid-19 untuk sembuh. Janganlah ada yang melabel mereka ‘mengada-ngada’ atau menambah beban terhadap masalah yang dihadapi,” katanya.
Vaksin elak risiko pesakit diintubasi
Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Yazli Yuhana, intubasi atau ditidurkan bermaksud pesakit diberi ubat penenang supaya tenaga yang ada digunakan untuk membantu memulihkan paru-paru.

“Peratusan pesakit Covid-19 kategori lima yang boleh hidup atau sihat semula bergantung kepada banyak faktor antaranya awal atau lambat mereka datang (mendapatkan rawatan) ke hospital.
“Jika pesakit lambat mendapat rawatan di hospital, maka kebarangkalian untuk peratusan paru-paru rosak adalah amat tinggi menyebabkan lagi sukar untuk diselamatkan. Ini berikutan ubat-ubatan mengambil masa sekurang-kurangnya 72 jam untuk menunjukkan kesan,” katanya.
Manakala bagi pesakit yang sudah divaksin, lebih 90 peratus tidak perlu diintubasi atau ditidurkan kerana paru-paru tidak akan mengalami kerosakan melampau yang banyak (akibat daripada tindak balas imun bada melampau).
“Manusia menderita dan mati akibat Covid-19 berpunca daripada hasil tindak balas sistem pertahanan badan yang bercelaru serta langsung tidak berkadaran dengan hanya jangkitan ‘ringan’ yang pada mulanya hanya bermula pada kerongkong (seperti penyakit sakit tekak yang lain). Kecelaruan imun badan inilah yang menyebabkan kerosakan badan melampau badan makan tuan,” katanya.
Amnya, semua jenis penyakit yang melibatkan kerosakan teruk pada paru-paru (bukan sekadar Covid-19) perlu diintubasi atau ditidurkan.
“Tanpa rawatan khusus, hampir semua pesakit berisiko tinggi akan memasuki fasa seterusnya iaitu kategori lima yang mana bukan sahaja paru-paru akan rosak teruk tetapi komplikasi juga berlaku di seluruh anggota badan lain seperti jantung, buah pinggan dan komposisi darah yang tidak normal contohnya paras platlet rendah (seolah-olah denggi).
“Kita dapati banyak pesakit muda mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk. Tanpa mengira usia, Covid-19 boleh merebak dan mengacau paru-paru sehingga mereka sukar bernafas dan terpaksa ditidurkan,” katanya.
Jelasnya, lazimnya paru-paru manusia mempunyai alveoli (kantung udara kecil) yang berfungsi untuk menukarkan molekul oksigen dan karbon dioksida daripada atau ke aliran darah.
“Alveoli adalah bahagian penting sistem pernafasan yang berfungsi menukar molekul oksigen dan karbon dioksida ke dan dari aliran darah. Bagi pesakit Covid-19, hanya separuh alveoli sahaja berfungsi yang menyebabkan masalah pernafasan berlaku,” katanya.
Bagi sesetengah pesakit walaupun telah dibenarkan keluar dari hospital, mereka masih tidak berasa normal seperti sebelum jangkitan Covid-19.
“Keadaan ini adalah normal dan tidak berbahaya. Begitupun, setelah keluar dari wad, pesakit perlu ingat mereka sudah tidak dijangkiti dan tidak akan berjangkit kepada kepada orang lain malah virus Covid-19 juga sudah tidak ada dalam badan.
“Apabila mereka masih berasa tidak selesa seperti dahulu, ini adalah kerana kesan antibodi itu sendiri. Antibodi yang sangat tinggi ketika itu menyebabkan pesakit menjadi kritikal. Lama-kelamaan antibodi akan menjadi rendah. Selagi antibodi tidak rendah mereka akan mengalami keadaan yang tidak normal,” katanya.









