Segala-galanya bermula tahun lalu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Duduk di rumah dengan pergerakan terhad, mendorong Pengasas jenama Royal Premium, Rozita Jaafar, 57 mendekati seni pembuatan sabun.
Namun sabun sentuhannya, bukan calang-calang kerana bentuknya menyelerakan, bagaikan sebiji kek.
“Saya sudah lama teringin memulakan perniagaan menjual sabun buatan sendiri, namun dia tidak mempunya kesempatan untuk berbuat demikian.
“Memandangkan pandemik ini masyarakat perlu kerap membasuh tangan, saya melihat situasi itu sebagai petanda untuk saya memulakan perniagaan yang tertangguh itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menariknya, jenama dibangunkan sejak Oktober tahun lalu, menunjukkan prestasi baik apabila ia mendapat sambutan dari banyak pihak. Sementalah Rozita yang lebih dikenali sebagai Rosita juga adalah pereka fesyen dan penulis buku dikenali.
Kreatif idea ditampilkan menjadikan produk itu bukan sahaja diterima baik dalam kalangan mereka yang gemarkan sabun, tetapi bagi individu yang mahu menjadikan sabun cantik itu sebagai bingkisan untuk dihadiahkan kepada sanak saudara pada majlis istimewa seperti perkahwinan dan pertunangan.
IDEA KREATIF
Sabun dihasilkan tidak sekadar unik daripada segi bentuknya, tetapi ramuan di dalamnya berupaya memberi manfaat kepada pengguna.
“Bila Covid-19, bermula saya tertanya-tanya bagaimana ia boleh terjadi, banyak penyakit berjangkit yang memerlukan kita untuk sentiasa mencuci tangan.
“Dari situ saya tertarik menjual sabun. Sambil membersihkan tangan, sabun itu juga perlu mampu bertindak mencantikkan diri kerana khasiat ramuan di dalamnya,” katanya berterus terang mengenai ideanya.
Bertitik tolak daripada itu, sesuai dengan norma baharu, Rosita mengambil keputusan mengikuti kursus pembuatan sabun secara dalam talian selama enam bulan bersama School of Natural Skincare, United Kingdom.
“Saya tidak mahu sekadar jadi pembuat sabun tetapi lebih jauh lagi, saya ingin tampil sebagai individu berkelayakan dalam membangunkan formula produk penjagaan tubuh badan secara semulajadi atau Formulator Natural Skin Care berlesen,” katanya.
Mengikuti kelas secara dalam talian, bukan masalah bagi Rosita kerana dia turut membuka kelas jahitan dan kraftangan secara langsung di Facebook, RJ POLA.
BAHAN SEMULAJADI
Menggunakan 100 peratus bahan semulajadi, bermaksud ia bebas daripada sebarang bahan kimia yang boleh merosakkan dan mengurangkan kelembapan kulit.
“Antara bahan saya gunakan ialah minyak kelapa, zaitun dan bunga matahari serta pelbagai jenis minyak. Beberapa jenis buah, bunga dan sayur turut saya gandingkan bagi membangkitkan aroma semulajadi, seperti lobak, bunga mawar dan lavender.
“Malah, sabun badam dan castile diperbuat sepenuhnya dari minyak zaitun, saya cipta khas dengan konsep mesra alam. Ia amat sesuai buat kanak-kanak yang berdepan masalah kulit sensitif,” katanya.
TEMPAHAN
Mementingkan selera pengguna, kata Rosita dia memberi peluang pengguna memilih sendiri reka bentuk dan tema digemari, pada tawaran harga antara RM15 hingga RM25.
“Namun bergantung juga kepada kuantiti. Pelanggan juga tidak perlu risau kerana setiap tempahan akan datang bersama kotak dan tulisan bagi setiap biji sabun.
Bagaimanapun tempahan perlu dibuat sebulan sebelum sesuatu majlis diadakan, bagi menjamin kualiti sabun.
“Saya tidak menggalakkan tempahan pada saat akhir kerana dikhuatiri sabun tersebut belum cukup keras kerana ia adalah buatan tangan,” katanya memberikan pesanan.
Cabaran mematangkan diri
Tidak kira apa jua bidang diceburi mahupun perniagaan dibina, sudah pasti mempunyai ujian tertentu, namun itulah yang mematangkan individu.
Beliau turut mengakui memperkenalkan sesuatu baharu buat dirinya yang bergelumang dengan dunia fesyen sejak 20 tahun lalu, sesuatu amat luar biasa.
Namun dia tidak dapat menolak keinginan dirinya yang senitasa dahagakan ilmu baharu untuk dikongsi dengan orang ramai.
“Bila kita ingin memperkenalkan sesuatu yang berbeza, tidak semua orang boleh terima dan memahami produk itu. Lebih-lebih lagi bagi individu yang belum faham dengan konsep ingin kita bawakan. Ada yang suka produk timbang kilo hingga mereka kurang menghargai sabun buatan tangan. Walaupun harganya agak mahal tetapi ia lebih memberikan manfaat. Bagi yang kurang faham, mereka mungkin terdorong ‘pukul rata’ bahawa semua sabun adalah sama,” katanya.
Mengimpikan kedai sendiri dengan nama The Soap Shop, katanya sejurus Covid-19 reda, dia akan menunaikan impiannya membuka kedai sabun bagi kemudahan pelanggan. Buat masa ini produk itu hanya ditawarkan di www.rositajaafar.com.










