Setiap seorang daripada kita mesti memiliki telefon bimbit, bukan satu tetapi mungkin dua atau tiga.
Itu belum dikira lagi dengan beberapa gajet lain seperti tablet, laptop dan sebagainya bagi melengkapi keperluan mahupun aktiviti seharian.
Tambahan pula, ketika ini norma baharu seperti bekerja dari rumah dan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan dek pandemik Covid-19 meningkatkan lagi keperluan gajet bagi setiap isi rumah.
Jadi, tidak hairanlah sisa buangan elektronik (e-sisa) akan terus meningkat dari semasa ke semasa memandangkan permintaan yang semakin tinggi saban hari.
Syarikat pasaran alat elektronik diperbaharui, Reebelo turut melaporkan terdapat peningkatan sebanyak 364 kiloton sisa buangan bahan teknologi berkenaan di negara ini.
Pertambahan membimbangkan itu sekaligus menarik perhatian syarikat berkenaan untuk mengambil langkah segera bagi mengelakkan lambakan yang hanya akan memberi impak negatif kepada hidupan dan alam sekitar.
Menjenamakan syarikat sebagai mesra alam, Reebelo mempunyai misi teknologi lestari untuk menyelamatkan kira-kira 60 tan e-sisa menjelang tahun 2022.
Antara misi yang dijalankan adalah membolehkan pengguna membeli peranti pintar yang diperbaharui (refurbished) seperti telefon pintar dan tablet pada harga yang berpatutan.
Selain itu, syarikat e-dagang berkenaan baru sahaja melancarkan program pembelian semula yang membolehkan pengguna untuk menjual semula peranti lama atau yang tidak digunakan kepada rakan kongsi syarikat.
Peranti tersebut seterusnya akan diperbaharui dan diberi ‘nafas baharu’ untuk pengguna yang seterusnya.
Pengarah Reebelo Malaysia, Shen Ong berkata, masalah ini dilihat berkembang dengan pesat dan sehingga kini ia masih belum diuruskan dengan baik.
“Lambakan sisa ini seterusnya hanya akan menjadi gunung yang akan mendatangkan kesan merbahaya. Reebelo ditubuhkan untuk mengatasi krisis ini sekaligus mengubah semula cara semua orang menggunakan teknologi.
Kami percaya pada masa depan semua orang akan mempunyai akses kepada barangan elektronik yang berpatutan dan berkualiti dengan cara yang mampan serta mesra alam,” katanya.
Menurut Reebelo, di Malaysia hanya 25 peratus e-sisa yang dikitar semula sekaligus memerlukan langkah lebih proaktif diambil untuk mengelakkan ancaman besar terhadap landskap semula jadi negara.
Malah, menurut penyelidikan yang dipetik daripada laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menjangkakan sebanyak 24.5 juta unit e-sisa akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.
Perkara yang paling dibimbangi ialah sekiranya lambakan sisa ini tidak diuruskan dengan baik seperti dibuang ke dalam tong sampah begitu sahaja atau dicampak ke sungai akan membahayakan nyawa masyarakat, memberi kesan kepada kesihatan serta menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar.
Hal ini kerana, komponen dalam bahan buangan itu mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium dan pelbagai lagi yang akan meresap ke dalam bumi dan sumber air.
Proses itu kemudiannya boleh mengancam hidupan akuatik dan manusia sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Ubah persepsi pengguna
Kepesatan teknologi turut memainkan peranan penting dalam isu ini.
Kehadiran peranti-peranti baharu yang laju mengikut peredaran zaman membuatkan pengguna terkejar-kejar untuk memiliki sesuatu yang in trend sehingga memberi impak negatif kepada aliran buangan.
Sehinggakan ada yang memandang negatif kepada peranti yang diperbaharui sebagai sesuatu yang kurang berkualiti dan tidak patut dimiliki.
Oleh itu, Reebelo mahu mengubah persepsi sedemikian dengan menawarkan peranti yang diperbaharui berkualiti tinggi kepada pengguna.
Peranti yang diperbaharui adalah alat berkualiti yang telah dipulihkan kepada keadaan asal. Antara pembaikan dilakukan adalah daripada segi kosmetik dan skrin serta penyahpepijat yang diuji dan dinilai sepenuhnya sebelum dipasarkan semula.
Justeru, pembeli dapat menikmati peranti yang berkualiti dengan harga diskaun serta tanpa caj tersembunyi.
“Kami memberi e-sisa ‘kehidupan semula’ dengan menghidupkan semula elektronik, mengubahnya menjadi aset baharu.
“Matlamat kami adalah untuk mengubah cara orang menggunakan gajet dan persepsi mereka mengenai peranti yang diperbaharui. Kami mahu memperkasakan pengguna untuk mengamalkan tabiat mesra alam dalam jangka masa panjang ketika membeli teknologi,” tambah Shen.
Dalam usaha mengubah persepsi pengguna, syarikat turut membekalkan peranti yang diperbaharui dalam keadaan premium.
Ia turut menjalani proses semakan 40 peringkat bagi mengelakkan risiko masalah fungsi merangkumi kesihatan bateri, keadaan skrin, butang kerja dan pelbagai lagi.










