Dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mencipta minyak wangi jenama Dr.Azri’s Perfume yang mampu bertahan selama 72 jam berbanding minyak wangi biasa.
Ia adalah inovasi membanggakan kerana minyak wangi jenama terkenal atau biasa hanya mampu bertahan selama lapan hingga sembilan jam.
Menurut Pensyarah Kanan Bidang Kimia Fakulti Sains Gunaan UiTM, Dr. Mohd. Azri Ab. Rani, 37, inspirasi utama beliau adalah mencipta minyak wangi yang boleh dipakai semasa beribadah, beriadah dan tahan lama baunya.
“Inovasi ini bermula dari latar belakang saya dalam bidang bateri dan kimia. Semasa itu saya membuat bahan elektrolit dalam bateri bagi melengkapkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) saya.
“Dari situ saya mendapat idea untuk membuat minyak wangi impak dari bahan lekat di dalam kajian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Fakulti Sains Gunaan UiTM di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Mohd.Azri berkata, minyak wangi biasanya hanya mampu bertahan untuk tempoh yang terhad dan ini memerlukan pemakainya mengulangi semula penggunaannya.
Keadaan itu katanya, berlaku disebabkan pemeruapan berlaku dengan cepat dalam minyak wangi tersebut.
“Sebaliknya minyak wangi ciptaan saya dan Dr. Syahrul Imran Abu Bakar mampu bertahan selama 72 jam disebabkan inovasi bahan lekat yang ‘memegang’ bau tersebut.
“Hasil kajian kami mendapati dengan adanya bahan lekat dalam kandungan minyak wangi, pemeruapan akan berlaku beransur-ansur dan bau wangi lebih bertahan lama,” katanya.

Mohd. Azri berkata, jika minyak wangi bertahan lebih lama, keyakinan diri seseorang pengguna untuk berhadapan dengan orang ramai lebih tinggi walaupun kadar semburan dalam kuantiti kecil.
Katanya lagi, setelah seharian bekerja proses perpeluhan badan akan berlaku dan jika bekerja dalam situasi berhadapan orang ramai sudah pasti akan terbit bau yang tidak menyenangkan.
“Ini akan menjejaskan prestasi pekerja pejabat yang memerlukan mereka tampil wangi dan yakin berurusan secara dekat.
“Oleh yang demikian kewujudan minyak wangi tersebut lebih bersifat lebih nilai untuk wang untuk seseorang pengguna,” katanya.
Mengulas tentang ujian makmal minyak wangi tersebut, Mohd.Azri berkata, ujian saintifik yang dibuat menunjukkan sampel minyak wangi yang ‘dipegang’ oleh bahan lekat mampu bertahan selama tiga hari atau 72 jam sebelum ia dijadikan produk.
Jelasnya, kadar pemeruwapan yang tinggi di tempat panas di bawah terik matahari mungkin tidak dapat dielakkan hingga menyebabkan tempoh berdaya lekat minyak wangi tersebut berkurang.
“Namun hasil eksperimen kami tempoh minyak wangi Dr. Azri’s Perfume dalam keadaan tersebut mungkin mampu bertahan melepasi tempoh satu hari atau lebih,” katanya.
Menyentuh tentang pemasaran produk tersebut, Mohd.Azri berkata, ia telah dipasarkan September tahun lalu selepas minyak wangi jenama Dr.Azri’s Perfume berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
Jelasnya, disebabkan negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 kaedah pemasaran produk adalah menerusi secara atas talian dan di Shopee.
“Setakat ini lebih 4,000 botol sudah dipasarkan. Harga kami adalah mampu milik iaitu RM39.90 dan memiliki pelbagai varian seperti Crush, Founder Fav. dan My Subject.
“Fokus kami adalah untuk mencipta minyak wangi yang mampu bertahan lama dengan harga yang tidak membebankan,” katanya.

Beliau menambah, jualan minyak wangi tersebut turut dipasarkan secara sistem agen atau dropship.
Orang ramai juga boleh mendapatkan produk unik ini dan membuat pesanan dengan melayari Facebook Dr.Azri’s Perfume, Instagram drazrisperfume dan WhatsApp 6013-8836684.










