Nurhafiz mahu jadi pembekal daging halal berkualiti - Utusan Malaysia

Nurhafiz mahu jadi pembekal daging halal berkualiti

Muhammad Nurhafiz Zainal, usahawan muda yang gigih menjalankan perniagaan haiwan ternakan kambing dan lembu di Kampung Batu 10 Cheras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejarah Islam ada menyatakan kebanyakan pekerjaan dilakukan para Anbiya adalah penggembala kambing. Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang penggembala terhebat dan
terulung di muka bumi ini.

Mengambil itu sebagai contoh, mendorong pemilik ladang ternak Tanjung Maju Agro Farm Muhammad Nurhafiz Zainal, 33 bergelar gembala kambing biarpun pada usia yang masih muda belia.
“Saya bermula secara secara kecil-kecilan sekitar 2016. Bermula hanya sembilan ekor, kini ada lebih 100 kor kambing dan lapan ekor lembu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tanjung Maju Agro Farm terletak di Kampung Batu 10 Cheras, Selangor, kira-kira lima kilometer dari Kuala Lumpur. Ladang ternakan itu menternak aneka jenis kambing, biri-biri dan lembu. Antara kambing yang ada ialah baka Dopper, Santa, Long Tail, Damara, Jamnapari, Cross Boer dan Boer. Ia diperoleh serata Pahang dan Perak. Manakala lembu pula adalah jenis baka tempatan.

Berpegang dengan falsafah di mana ada kemahuan di situ ada jalan, Muhammad Nurhafiz memberanikan diri membuka ladang sungguhpun ilmu di dada belum penuh sepenuhnya.

Katanya selain kerjaya, objektif utama membuka ladang berkenaan ialah mahu menjadi pusat hub utama pembekal daging mentah kambing dan lembu halal di Lembah Klang.

Produk berkualiti ditawarkan juga adalah sebagai memenuhi fardhu kifayah umat Islam yang direalisasikan dalam amalan ibadah aqiqah atau qurban serta kenduri kendara bagi pengguna dan
pembekal daging di negara ini.

BERBINCANG
Jelas Muhammad Nurhafiz, urusan jual beli haiwan ternakannya dijalankan menerusi perbincangan dan khidmat nasihat bersama pelanggan, merangkumi penilaian dan pemilihan haiwan sebelum sebarang
keputusan bersama dicapai.

Menariknya pelanggan turut berpeluang menyembelih sendiri haiwan dibeli di pusat ternakannya dengan bantuan peralatan penyembelihan yang lengkap dan mesra alam.

“Dalam merealisasikan hub pembekal daging, selain khidmat penyembelihan, kami turut menawarkan servis memasak juadah dan penghantaran terus ke rumah pelanggan,” katanya.

Sebagai nilai tambah, perkhidmatan logistik pengangkutan lori dan 4×4 turut disediakan untuk kemudahan pengguna.

Tidak pernah lupa menunaikan tanggung jawab khidmat sosial kepada mereka yang kurang berkemampuan, katanya ladangnya ternakannya itu turut menyalurkan pemberian daging kambing
berserta sumbangan asas kepada badan kebajikan terpilih.

“Kami turut didatangi individu berhati mulia yang berhajat untuk bersedekah dan berinfaq sumbangan daging kepada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal dan warga emas. Setidak tidaknya kami menjadi orang tengah bagi merealisasikan hasrat para dermawan,” katanya.

Beliau dibantu dua orang pekerja untuk melancarkan operasi di ladang ternakannya. Antara tugasan dilakukan ialah menyelenggara kandang, membantu proses penyembelihan dan urusan stok dan
penghantaran daging.

CARI ILMU
Berbeza dengan gembala lembu tradisional, Muhammad Nurhafiz, berkata dia gemar mengikuti pelbagai kursus atau program berkaitan penjagaan dan pemakanan ternakan, anjuran pihak berwajib.
Katanya, ia berikutan setiap ilmu ditimba tidak sama antara satu sama lain malah lebih banyak ilmu dipelajari membantu dirinya untuk lebih matang dalam dunia penternakan itu.

“Saya suka tekankan aspek pemakanan pelbagai untuk ternakan saya. Di mana saya beri haiwan makan rumput jenis nappier, hampas soya, palet dan kernel. Kepelbagaian perlu untuk kualiti daging
yang baik.

“Pada masa sama, penjagaan ternakan dengan kaedah betul dan piawaian ketat yang kami lakukan, turut berperanan besar memastikan ternakan ini mendapat sumber gizi seimbang. Ia sekaligus
membantu haiwan untuk mencapai tumbesaran yang baik,” katanya bersungguh-sungguh.

PEMBEKAL SAH
Muhammad Nurhafiz tidak putus-putus melahirkan rasa kesyukuran kerana sejak lebih enam tahun berkecimpung dalam bidang penternakan, dia tidak pernah mengalami masalah serius hingga
menjejaskan kualiti haiwan ternakannya.

Sebaliknya, dirinya yakin bahawa peka dan cakna dalam aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan haiwan, antara resipi ladang ternakannya terhindar daripada penyakit berbahaya hingga boleh
mengancam nyawa ternakan terbabit.

“Saya kira paling mustahak, ialah pada peringkat awal iaitu sewaktu mengambil stok. Kami hanya memilih pembekal yang ada sijil kesihatan daripada Jabatan Veterinar yang disahkan,” katanya.

Keluarga dorong semangat
Sokongan isteri Nur Syuhada Semin, 33 tahun dan ahli keluarga mendorong semangat mudanya untuk membangunkan ladang ternakannya itu.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata berusia antara tiga hingga enam tahun ini, berkata mereka adalah peniup semangat buat dirinya berusaha lebih keras demi merealiasasikan impian menjadi pusat hub utama pembekal daging mentah kambing dan lembu.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Permata hati Nurhafiz, Aisyah Humairah dan Muhammad Harraz Naufal kini menunjukkan minat terhadap haiwan ternakan.

“Anak saya suka membantu saya di kandang. Saya turut biasakan mereka dengan rutin seperti memberi makanan kambing, membersihkan kandang dan sebagainya. Saya kira setidak-tidaknya perniagaan ini boleh diwarisi oleh mereka apabila sudah dewasa kelakanti,” katanya.

Muhammad Nurhafiz berkata, selain keluarga, dia turut berpegang teguh kepada keikhlasan, kesyukuran dan keberkatan. Jelasnya tanpa izin daripada Allah SWT, semuanya tidak boleh diperolehi dalam sekelip mata.

Luahannya itu ada benarnya. Kala negara berselubung pandemik Covid-19, ladangnya ternakannya turut terjejas apabila kos makanan haiwan ternakan meningkat secara mendadak.

“Permintaan juga berkurangan kerana sebarang majlis tidak dapat dilakukan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun saya percaya ada hikmahnya yang Allah SWT akan
kurniakan kepada hambaNya yang bersabar,” katanya mengakhiri pertemuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×