Natiman buat parang kerana ‘dendam’ - Utusan Malaysia

Natiman buat parang kerana ‘dendam’

NATIMAN Samikon menunjukkan koleksi reka bentuk dengan ukiran kayu unik yang dihasilkannya di Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson. Negeri Sembilan baru- baru ini.– UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah berdendam disebabkan tidak mampu membeli sebilah parang di sebuah pasar, menyebabkan seorang lelaki membuat parang sendiri. Malah, ia menjadi detik permulaan buatnya memiliki sebuah kedai kraftangan.

Menurut Natiman Samikon, 65, harga parang yang dijual itu disifatkannya sebagai tidak masuk akal. Ia mendorongnya berusaha untuk membuat parang bagi kegunaan sendiri.

“Saya hanya mahu membeli sebilah parang untuk kegunaan sendiri. Namun penjual itu meletakkan harga yang tinggi dan saya tidak mampu membeli parang berkenaan.

“Sebilah parang itu berharga RM250 namun saya hanya meminta harga itu dikurangkan namun penjual itu berkeras tidak mahu mengurangkan harga. Selepas itu saya terus berdendam dan mahu membuat parang sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson baru-baru ini.

Menurut Natiman, bagaimanapun peristiwa itu membangkitkan semangatnya dan tiada siapa menyangka pembuatan parang sudah menjadi kerjayanya. Malah mempunyai kedai kraf sendiri iaitu Kampung Jawa Kraf atau lebih dikenali sebagai KJ Kraf.

Tambahnya, dia kini dibantu oleh anaknya, Mohd. Ezam Natiman, 32, yang bersama mengusahakan kedai tersebut selain bagi memastikan kemahiran dan seni pembuatan parang itu tidak hilang.

“Saya sememangnya terkilan kerana tidak ramai yang ber­minat meng­usahakan pembuatan parang atau pisau di negeri ini.

“Jika saya menyertai mana-mana pameran, saya dapati hanya seorang dua yang mempamerkan warisan tradisi Melayu seperti parang, keris dan lembing.

“Dahulu, parang mungkin senang dijum­pai namun kini parang dan pisau boleh didapati di mana-mana kedai perkakasan.

“Bagaimanapun, seni pembuatan pisau itu tidak ada dan tidak seperti dahulu ada corak warisan yang sukar dicari,” katanya.

ANTARA koleksi parang, pedang dan keris yang dihasilkan oleh anak Natiman, Mohd. Ezam ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson baru-baru ini.

Cari ilham menerusi Reader’s Digest

Natiman yang turut mempunyai bakat mengukir kayu menambah, hasil rekaan kraftangan yang dihasilkannya seperti parang, keris tongkat dan ukiran dinding banyak mendapat inspirasi daripada pembacaan majalah terutama majalah kegemarannya iaitu Reader’s Digest.

“Inspirasi saya diambil melalui kisah-kisah lama dan pembacaan melalui majalah berkenaan yang mempunyai maklumat. Saya pernah membuat gari menggunakan kayu sebagai kraftangan dan ia dibeli oleh seorang pesara tentera.

“Saya juga ada membaca mengenai kasut yang dipakai oleh bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr. M.Jegathesan dan saya ada mengukir kasut spike (kasut trek) yang dipakainya ketika menyertai pertandingan pecut. Setiap ukiran tersebut mempunyai pelbagai kisah dan cerita,” katanya lagi.

Tambah Natiman, produk krafnya kini mendapat permintaan dari seluruh negara selepas dia menyertai pelbagai pameran seperti di Hari Kraf.

“Kini, zaman lebih canggih sambil menyertai pameran, orang ramai juga boleh membeli secara dalam talian.

“Kebanyakan yang membeli lembing dan parang adalah penerbit drama serta jabatan dan agensi kerajaan, mereka menggunakan lembing atau parang berkenaan untuk tujuan lakonan dan pameran,” katanya.

Anak bantu buat parang sejak 2002

Dalam pada itu, Mohd. Ezam memberitahu, dia mula membantu bapanya membuat parang sejak tahun 2002.

“Saya bermula dengan sebilah parang, ayah beri upah RM60. Daripada situ saya mula berminat mempelajarinya dengan ayah.
Saya tahu membuat parang bukan mudah, bayangkan sebilah parang mengambil masa berminggu kadang berbulan untuk mendapatkan hasil yang menarik.

“Pelbagai cabaran dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ayah yang perlu saya lalui untuk membuat sebilah parang. Saya kadang kala ikut ‘mood’ juga untuk menyiapkan satu pedang dan parang kerana ia perlu untuk hasil yang menarik ia memerlukan ketelitian terutama yang ditempah pelanggan,” kata anak keempat daripada sembilan beradik ini.

MOHD. Ezam Natiman menunjukkan pedang yang dihasilkan bersama sarung berukiran kayu.

Dia kini memfokuskan penghasilan seni kraf daripada logam berbanding ayahnya yang banyak membuat ukiran kayu.

Sementara itu, Natiman berkata, walaupun tidak ramai pembuat hasil kraf sepertinya, dia berharap ada sebuah pertubuhan yang diiktiraf bagi pewaris-pewaris seni kraftangan di negara ini.

“Saya berharap pihak yang sedia ada wujudkan sebuah badan pewaris kraftangan di negara ini. Pertubuhan ini perlu mempertahankan tradisi turun-temurun agar tidak luput dek zaman, sedih melihat seni ini kurang sambutannya,” katanya.

Natiman menambah, sebelum ini ada golongan yang menyatakan minat untuk belajar namun akhirnya separuh jalan sahaja.

“Tidak ramai yang bersungguh, saya tahu ia bukan boleh dapat untung besar namun ia adalah seni Melayu lama yang perlu dipertahankan,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×