Laksa Johor berkuah ikan ‘kayangan’ - Utusan Malaysia

Laksa Johor berkuah ikan ‘kayangan’

Laksa Johor menggunakan 'ikan kayangan' ternyata lebih sedap dan terasa manis kuah laksa yang dimasak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH suatu ketika kecoh mengenai ikan yang digunakan dalam kuah Laksa Johor sehingga timbul perbalahan di media sosial.

Tidak seperti negeri lain kebanyakannya laksa adalah daripada tepung beras. Lain pula dengan Laksa Johor yang menggunakan spageti (mi yang berasal dari Itali) untuk hidangan ini.

Malah ikan yang digunakan untuk membuat kuah laksa juga agak mewah kerana menggunakan ikan ‘kayangan’ seperti tenggiri atau parang.

Resipi Laksa Johor kali ini dikongsikan oleh Pensyarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, Kedah yang juga Pengasas Jelytta Glutavite, Norrihan Arshad.

NORRIHAN ARSHAD

Beliau membuat sedikit kelainan dengan mencampurkan tiga jenis ikan iaitu kembung, selayang (sardin) dan tenggiri untuk membuat kuah Laksa Johor.

Ujar Norrihan, menggunakan ikan ‘kayangan’ ternyata ia lebih sedap dan terasa manis kuah laksa yang dimasak. Resipi ini sesuai untuk tiga hingga empat orang makan. Selamat mencuba!.

 

Resipi Laksa Johor
Bahan-bahan isi ikan
2 ekor ikan kembung
2 ekor ikan selayang
2 ekor ikan tenggiri
5 ekor udang
2 sudu besar udang kering yang direndam air

Cara penyediaan isi ikan
Rebuskan ikan dan udang. Asingkan isi dan tulang ikan serta kulit udang. Simpan air rebusan.
Kisar isi ikan dan udang serta udang kering menggunakan air rebusan. Ketepikan.

Bahan-bahan stok
Tulang ikan
Kulit udang
Air rebusan yang disimpan

Cara penyediaan stok
Kisar tulang ikan dan kulit udang dengan air rebusan untuk dijadikan stok. Ia akan dicampurkan semasa masak kuah laksa.

Bahan-bahan A (dikisar)
2 ulas bawang putih
6 biji bawang merah
2 inci kunyit
1 1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 batang serai

Bahan-bahan B
2 sudu besar cili mesin
3/4 bungkus rempah atau serbuk kari
2 keping asam gelugur (asam keping)
1 ikat daun kesum
1 batang (kuntum) bunga kantan dipotong
1/2 kotak kecil santan
1 sudu besar kerisik
Sedikit air

SIAP untuk dihidangkan.

Cara penyediaan kuah
Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar (bahan-bahan A).
Apabila bahan tumisan naik bau atau wangi, masukkan cili mesin.
Setelah cili masak, masukkan serbuk kari dan sedikit air.
Tumiskan seketika dan masak sehingga pecah minyak.
Setelah betul-betul masak, masukkan isi ikan dan udang yang sudah dikisar. Kacau sebati.
Kemudian, masukkan asam keping.
Masukkan stok (tulang ikan dan kulit udang yang dikisar).
Apabila menggelegak, masukkan bunga kantan yang dipotong dan daun kesum. Kacau seketika.

Masukkan santan dan kacau sebati. Renehkan dengan api perlahan.
Masukkan kerisik dan biarkan mendidih seketika. Perasakan dengan gula, garam dan perisa cukup rasa.
Kacau dan biarkan masak seketika. Tutup api apabila kuah laksa siap dimasak.

Bahan-bahan merebus spageti
1/2 bungkus spageti
Sedikit minyak
Sedikit garam
Air secukupnya

Cara penyediaan spageti
Masukkan spageti ke dalam air yang mendidih. Rebus spageti sehingga masak. Boleh direbus bersama sedikit minyak dan garam. Setelah masak, tos dan ketepikan.

Bahan-bahan sambal belacan
5 tangkai cili kering (boleh direndam air panas atau rebus terlebih dahulu)
4 tangkai cili padi
1 biji bawang merah
1 sudu kecil udang kering
1/2 sudu kecil asam jawa
1 inci belacan dibakar

Cara penyediaan sambal belacan
Tumbuk atau kisar kesemua bahan sehingga lumat. Perasakan dengan garam dan gula ikut cita rasa.

Bahan ulam-ulaman
(sukatan ikut cita rasa)
Daun kesum
Bunga kantan
Bawang besar
Kacang panjang
Timun dibuang kulit dan biji
Taugeh
Limau kasturi
Daun selasih

Cara penyediaan ulam-ulaman
Hiris daun kesum, bunga kantan, bawang besar dan kacang panjang secara nipis.
Potong timun secara bulat atau keliling kemudian gulung dan hiris nipis.
Taugeh tidak perlu dicelur dan potong limau kasturi mengikut cita rasa.
Letakkan ulam-ulaman pada pinggan berasingan.

Cara menghidang
Letakkan spageti secara gulung atau ‘chap’ di dalam pinggan bersama ulam-ulaman.
Sendukkan kuah ke atas spageti dan letakkan sedikit sambal belacan.
Perahkan limau kasturi, gaul mesra dan sedia untuk dimakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×