Apabila mendengar dendangan ayat-ayat di dalam Bahasa Arab mahupun ayat suci yang jarang menjadi halwa telinga mudah untuk kita melabelkan ia sebagai bukan budaya kita.
Lebih mendukacitakan ada yang pantas melabelkannya sebagai bidaah sebab tidak pernah menjadi amalan Rasullullah SAW.
Menurut Presiden Maulid Ad-Dibaei, Mohd. Nazir Yazid, dendangan maulid yang dilagukan kumpulannya bukanlah perkara baharu atau budaya asing.
“Dendangan maulid atau selawat yang kumpulan kami alunkan adalah lagu puji-pujian terhadap Nabi Muhammad SAW sejak zaman dahulu lagi.
“Cuma lagu maulid tersebut sudah dilupakan oleh masyarakat hari ini kerana mereka memilih dendangan maulid yang lazim kita dengar.
“Dendangan maulid tersebut tidak sama seperti dendangan marhaban, qasidah yang dialunkan semasa majlis keagamaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini.

Mohd. Nazir berkata, nazam kumpulannya sudah wujud sejak 1922 dan dianggap pupus, sebenarnya masih ada dan cuma sudah lama tidak didendangkan.
Beliau berkata, kumpulannya telah diwujudkan sedekad lalu dengan jumlah anggota 10 hingga 15 orang.
“Kini ahli di Kapar, Hulu Perak dan Kemaman Terengganu telah melebihi 60 orang.
“Maulid dendangan kumpulan kami semakin lama makin berkembang hingga ke luar Selangor. Ini apabila saudara-mara mengajak kami bermaulid ke luar daerah hingga Bagan Serai, Teluk Intan, Pantai Remis, Melaka dan Johor,” katanya.
Menurut Mohd. Nazir, alunan maulid oleh kumpulan Maulid Ad-Dibaei semakin dikenali dan menjadi tular melalui media sosial hingga jemputan ke majlis keagamaan bertambah dari semasa ke semasa.
Setelah sedekad bergerak ke seluruh negara kumpulan tersebut secara rasmi didaftarkan sebagai persatuan, Februari lalu.
“Kumpulan maulid kami sering dijemput untuk majlis malam sebelum kenduri, bertahnik dan lain-lain acara. Ada antara majlis dihadiri pihak berkuasa agama. Ini membuktikan maulid kami bukanlah bidaah seperti tanggapan sesetengah pihak.
“Fokus kita untuk mengagungkan baginda Rasulullah SAW dengan alunan puji-pujian,” katanya.
Oleh sebab itu, kumpulan ini biasanya mengalunkan maulid pada Ahad malam iaitu hari Rasullullah SAW diputerakan.
Kumpulan Maulid Ad- Dibaei ujarnya, sering ke Hulu Perak sekadar untuk bermaulid iaitu di Baitul Maulid yang menjadi pusat pertubuhan tersebut.
Mengenai program kebajikan pertubuhannya, Setiausahanya, Ahmad Ridzwan Yahya berkata, selain bermaulid, Maulid Ad-Dibaei aktif melakukan kerja kebajikan seperti membantu Pusat Tahfiz Sungai Udang Klang hasil infak ahli-ahli Maulid Ad-Dibaei.
“Setiap tempat bermaulid kita akan menyantuni masyarakat setempat yang memerlukan bantuan sama ada makanan mahupun perkongsian ilmu bermaulid.
“Baru-baru ini kita bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain pertubuhan untuk menyampaikan kotak Infaq Rezeki kepada golongan terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Ahmad Ridzwan berkata, pihaknya turut merancang menjadikan maulid dendangan kumpulan tersebut sebagai sebahagian sukatan pelajaran.
Katanya, Pusat Tahfiz Umairah Kapar dan Pusat Tahfiz Muhammadiah Hulu Reni, Batang Kali akan terlibat merealisasikan pendidikan maulid secara formal itu.










