Pemakaian tanjak dalam kalangan lelaki Melayu kian popular. Hari ini, mendapatkan tanjak tidak sukar kerana ia mudah didapati. Malah semakin ramai pembuat dan penjual tanjak mudah dicari di media sosial.
Ini diakui pengarang dan penjual tanjak warisan Melayu, Fadzil Azwan Mohamad Nan, 39.
“Walaupun sambutan merdeka hanya diraikan di rumah masing-masing, tempahan dan permintaan untuk tanjak masih ada walaupun agak suram dek Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengasas jenama Tanjak Al-Fateh ini melibatkan diri dalam pembuatan tajak sejak lebih sedekad lalu.
Beliau berkemahiran menghasilkan kira-kira 100 ikatan.

Antara yang mampu dihasilkan Fadzil ialah Tanjak Anderiguru Selebu, Tanjak Ajutan Bingas, Tanjak Lang Menyusur Angin, Tanjak Nakhoda Trong, Tanjak Alang Iskandar, Tanjak Putera Kayangan dan Tanjak Mahkota Alam.
Fadzil menjalankan perniagaan tanjak secara sepenuh masa di kediamannya di Batang Kali, Selangor.
POTONG BENDERA
Bercerita mengenai pembabitannya sebagai pengarang tanjak edisi merdeka, kata Fadzil, ia bermula secara tidak dirancang.
“Sekitar 2016, anak saya memberitahu bahawa dia hendak masuk pertandingan memakai busana merdeka di sekolahnya.
“Ketika itu saya mendapat idea membuat persalinan baju Melayu lengkap dengan tanjak, menggunakan motif Jalur Gemilang.
“Waktu itu, saya memang menggunakan bendera untuk dijadikan bahan utama busana dan tanjak. Saya tidak tahu yang kita tidak boleh memotong bendera untuk dijadikan pakaian.
“Justeru usaha saya itu dipertikaikan. Mereka kata tidak hormat bendera sehingga menjadi isu besar. Saya keliru pada masa itu kerana kurang faham,” katanya.
Bertitik tolak daripada itu beliau mendapatkan maklumat dengan membaca buku Bendera Kita Jalur Gemilang, dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri berkaitan garis panduan penggunaan bendera semasa bulan kemerdekaan.
Pada 2017, Fadzil sekali lagi membuat busana dan tanjak untuk anaknya sempena bulan kemerdekaan. Kali ini beliau menggunakan kain biasa tetapi bermotifkan Jalur Gemilang. Tidak ada lagi bendera yang dipotong-potong untuk dijadikan busana atau tanjak.
Siapa sangka bermula dari situ ada ibu bapa yang suka melihat rekaan tanjak dihasilkannya dan ada yang mahu menempah.
BERGURU TANJAK
Mula berjinak-jinak dalam seni pembuatan tanjak sekitar 2006. Katanya waktu itu, dia hanya tahu melipat kain untuk dijadikan tanjak.
Kaedah pembuatan dan mengarang tanjak pula hanya dipelajari daripada gambar dan video sahaja. Dengan kata lain, beliau tidak memiliki ilmu khusus dalam seni penghasilan ikatan tanjak yang betul.
Hanya pada tahun 2016 beliau berguru dengan pakar pembuatan tanjak, Dr. Johan Iskandar berkaitan pembuatan dan adab mengarang tanjak dengan aturan yang betul.
“Dalam mengarang tanjak warisan, perlu ada kain dasar. Kain dasar adalah kain segi empat sama yang dilipat dua untuk dijadikan segi tiga. Tempoh masa yang diperlukan untuk mengarang satu tanjak itu adalah lebih kurang tiga hingga empat hari mengikut jenis ikatan dan simpulannya,” katanya.
Selain pelanggan tempatan, beliau turut menerima tempahan dari Dubai, Singapura dan Brunei.

PENJAGAAN
Penjagaan betul memastikan ikatan tanjak kekal terletak. Berikut tips dikongsikan Fadzil:
Jangan basuh tanjak dalam mesin basuh. Cukup sekadar sembur dengan produk penghilang bau untuk menghilangkan bau busuk.
Jika ada kekotoran, hanya cuci pada bahagian yang kotor sahaja. Gunakan cucian tangan bagi mengelakkan ikatan atau simpulan tanjak terbuka.
Jangan jemur tanjak secara langsung bawah cahaya matahari. Jemur dengan menggantungnya di dalam rumah sahaja.
Untuk membasuh tanjak boleh juga dibuat oleh mereka yang telah mempelajari kaedah mengarang tanjak warisan. Tanjak yang kotor boleh dirungkai dan dibasuh kainnya sebelum dikarang semula tanjak tersebut.
PANTANG LARANG BUKAN MAINAN
Perkara penting perlu diberi keutamaan dalam pemakaian tanjak adalah tidak boleh memakai bentuk tanjak sama seperti yang dipakai oleh Sultan dan Raja Melayu.
Tanjak bukan boleh dilakukan secara sambil lewa sebaliknya ada adab dan seni penghasilannya.
Begitu juga dengan cara pemakaian tanjak perlulah betul. Tanjak ada simpulan. Kedudukan simpulan ada maksud tertentu.
“Simpulan tanjak perlulah terletak di atas telinga kanan. Jangan suka-suka hati letak tanjak di kepala tanpa tahu maksudnya.
“Pada zaman dahulu, apabila pahlawan keluar untuk berperang mereka memakai tanjak. Kedudukan tanjak itu digunakan sebagai isyarat rahsia,” kata Fadzil.
Simpulan belakang telinga bermakna pemakai dalam keadaan sedia. Simpulan berada di belakang kepala itu bermaksud serang atau perang.
Lantaran itulah, kata Fadzil, dia gemar menunjukkan cara-cara pemakaian tanjak yang betul kepada pelanggannya sebagai salah satu ilmu pengetahuan.
Menyentuh mengenai aspek pantang larang, katanya individu tidak boleh melangkah kain dasar dan membuat tanjak daripada kain kuning zafran.
“Tanjak mirip huruf ‘Ya’ tidak boleh dilakukan kerana itu simbolik kepada kematian,” katanya.











