“Walaupun oksigen masih belum stabil, ibu kena kuat semangat okey” - Shuib Sepahtu. - Utusan Malaysia

“Walaupun oksigen masih belum stabil, ibu kena kuat semangat okey” – Shuib Sepahtu.

Siti Sarah Raissuddin menerima rawatan di HUKM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak terkenal, Shuib Sepahtu, menitipkan kata-kata semangat buat isteri tercintanya yang juga penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin, yang kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat jangkitan virus Covid-19.

Susulan itu, penyanyi tersebut terpaksa dikejarkan ke hospital petang semalam berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Menerusi entri Instagram, Shuib berkongsi satu tangkap layar menerusi panggilan video bersama isterinya yang dilihat masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Alhamdulillah, semoga ibu makin sihat. Walaupun kadang kala oksigen masih belum stabil, tetapi ibu perlu kuat semangat okey.

“Terima kasih kepada yang mendoakan, semoga kita semua kuat dalam menempuhi ujian Allah. Allah uji kerana sayang,” coretnya ringkas di Instagram.

Menjengah di entri Instagram Sarah pula, dia memohon maaf kerana tidak dapat menyambung hantaran yang dimuat naik di Instastory sebelum ini kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

Kemudian, penyanyi lagu Semakin itu juga meminta semua warganet dan pengikut agar memanjatkan doa buat dirinya dan bayi dalam kandungan.

“Maaf sangat-sangat tidak dapat sambung yang semalam. Keadaan Sarah tak mengizinkan. Cuma minta selitkan doa untuk Sarah dan bayi.

“Selain itu, rindu anak-anak ibu, Ya Allah, lindungilah suamiku, anak-anakku serta keluargku,” katanya menerusi Instastory.

Terdahulu, Siti Sarah dan Shuib serta tiga anak mereka disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan, selepas pembantu rumah mereka positif virus berkenaan, Ahad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×