'Perfectionist' bukan penyakit – Normairah - Utusan Malaysia

‘Perfectionist’ bukan penyakit – Normairah

KELUARGA kecil Normairah Yuhanis bersama suami, Muhammad Farish dan dua anak lelaki, Muhammad Rizqi dan Muhammad Rayqal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdepan dengan pasangan atau individu yang begitu mementingkan kesempurnaan atau perfectionist kadangkala menimbulkan perasaan kurang senang dan rimas terhadap mereka.

“Kenapa tak buat seperti ini. Tak kemaslah, tak cantik. Susunlah betul-betul. Ia sepatutnya diletakkan di sini bukan di situ”.

Ayat-ayat seperti ini selalu dilontarkan daripada mulut individu sukakan kesempurnaan.

Individu perfectionist amat teliti dalam sesuatu perkara dan seolah-olah mempunyai rosedur operasi standard (SOP) tersendiri, khususnya yang membabitkan susun atur atau duduk sesuatu ruang.

Namun, Normairah Yuhanis Jamaluddin, 34, menafikan tanggapan itu. Sebaliknya menjelaskan tabiat itu menjadikan kehidupan dirinya dan ahli keluarga yang lain lebih ‘teratur’, tidak serabut dan sentiasa berada dalam keadaan kemas.

“Mungkin tahap seseorang yang mementingkan kesempurnaan ini berbeza. Saya lebih suka jika apa yang dilakukan lebih teratur, kemas dan tersusun.

“Saya meletakkan perancangan atau goal untuk dicapai. Apa yang perlu dibuat mesti dilakukan. Kalau tidak, saya memang tak boleh tidur atau akan rasa gelisah, tetapi saya bukanlah menghidap kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) ,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui baru-baru ini.

Sentiasa memastikan keadaan rumah bersih, kemas dan teratur tanpa padat dengan perabot dan barang.

Perfectionist dan OCD tidak sama. OCD adalah sejenis masalah mental serius yang memerlukan rawatan.

Perfectionist merujuk kepada personaliti seseorang yang boleh menimbulkan anxiety sekiranya tidak dilakukan dengan betul atau mengikut kehendak mereka.

Individu sebegini sangat takut akan kegagalan jika tidak mencapai matlamat ditetapkan.

Bagaimanapun, kajian mendedahkan perfectionist memiliki risiko melakukan pelbagai perkara negatif. Antaranya stres, insomnia, menahan lapar, fobia dan tabiat lain semata-mata mahu memastikan semuanya sempurna.

Walaupun ada sesetengah individu seronok digelarkan sebagai perfectionist namun perlu diketahui ia boleh menjurus kepada OCD sekiranya tidak dikawal dan perlu mendapatkan rawatan segera.

Ujarnya, disebabkan mempunyai personaliti perfectionist, ada antara rakan-rakan menganggapnya sebagai penghidap OCD.

“Dulu, kalau pembersih sikit, mesti orang panggil kita OCD. Ramai yang salah faham sedangkan saya hanya mengikut cara tersendiri. Saya tidak melakukan sesuatu perkara berulang-ulang.

“Saya juga tidak menyalahkan dan mencederakan diri. Jadi, lama-kelamaan mereka pun faham dan dapat membezakan. Malah ada juga antara mereka kini menjadi perfectionist seperti saya,” katanya.

Menyingkap detik menjadi terlalu mementingkan kesempurnaan, ibu dua anak ini menceritakan, ia bermula sembilan tahun lalu, selepas bergelar isteri.

“Saya banyak mengawal dan ‘menghidupkan’ peraturan di rumah. Tetapi tidaklah keterlaluan dan menjengkelkan. Saya hanya inginkan yang terbaik untuk kami sekeluarga, itu sahaja.

“Sebenarnya, saya bukan datang daripada keluarga yang perfectionist. Keluarga saya tidak terlalu rigid dalam menyusun barang rumah, pakaian dan sebagainya. Saya hanya sedar menjadi individu perfectionist bila mempunyai keluarga sendiri,” katanya.

KEMAS SEMPURNA

Wanita yang berkerjaya sebagai penjual produk kosmetik dan dandanan diri dalam talian ini menjelaskan, sifat dimiliki itu sesuai dengan kerjayanya yang amat menitikberatkan aspek presentable dan sentiasa bersedia.

“Bagi orang lain, jika tidak bekerja di luar atau pejabat, mereka akan mengenakan pakaian yang biasa atau baju kelawar malah tanpa solekan di rumah. Tetapi lain pula dengan saya.

“Bagaimana penampilan saya di luar, begitu juga di rumah. Saya akan bersiap, memakai pakaian yang cantik dan make up. Mood automatik akan bertukar jika saya tampil cantik.

“Kerja saya yang memerlukan selalu membuat live bersama pelanggan dan rakan kerja lain, mendorong saya sentiasa bersiap dan menjaga penampilan.

“Begitu juga ruangan tempat saya bekerja di rumah, saya mempunyai ruang khas melakukan kerja dan dihias ringkas serta tersusun,” katanya.

Normairah tidak boleh melihat ahli keluarga memakai baju tidak bergosok, walaupun hanya pakai di dalam rumah.

Tidak setakat dirinya, seluruh ahli keluarga termasuk suami dan anak-anak juga perlu sentiasa rapi termasuk memakai baju bergosok walaupun di rumah.

“Orang lain tidak akan menggosok baju T anak-anak tetapi saya buat. Saya tidak boleh melihat baju-baju yang berkedut tanpa digosok sebelum memakainya,” katanya.

HADKAN BARANG DALAM RUMAH

Kongsi Normairah Yuhanis lagi, bagi memastikan rumah sentiasa bersih, kemas dan tersusun, hanya perkakas dan perabot perlu sahaja ada di dalam rumah. Yang tidak perlu, boleh jual atau buang.

“Saya tidak akan menyimpan barang-barang yang jarang diguna kerana ia akan menjadi bersepah, berhabuk dan tidak kemas.

“Bilik tidur saya pun hanya ada katil dan meja untuk meletak barang keperluan sahaja. Almari pakaian wajib diletak di bilik berasingan.

“Sebelum ini saya ada dua almari penuh pakaian lama dan tidak dipakai, jadi saya jual pakaian tersebut kepada kawan-kawan yang berminat.

“Baju yang selalu dipakai dan masih diperlukan sahaja akan saya letakkan dalam almari,” katanya.

Ujar Normairah Yuhanis, dia juga memastikan suami dan anak-anak meletakkan semua barang di rumah diletakkan di tempat yang sepatutnya.

“Saya selalu berpesan kepada mereka untuk meletakkan kembali apa sahaja barang yang digunakan ke tempat asal.

“Secara tidak langsung, ia mengajar anak-anak supaya memastikan rumah dalam keadaan bersih dan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab,” katanya.

Namun satu tabiat Normairah Yuhanis, yang kekal ialah dia akan periksa keadaan rumah sempurna sebelum masuk tidur. Amalan itu membantu dirinya untuk tidak terfikir-fikir atau rasa gelisah.

PENERIMAAN PASANGAN YANG PERFECTIONIST

Sementara itu suami Normairah Yuhanis, Muhammad Farish Ismail, 33, mengakui terlalu mementingkan kesempurnaan turut mempengaruhi hubungan suami isteri, termasuklah pertengkaran.

Beliau berkata, pada awalnya dia sukar untuk memahami isteri yang perfectionist namun lama-kelamaan menerima seadanya apabila kerap berbincang.

“Ketika baharu berkahwin, saya agak pelik kerana dia cenderung memastikan semuanya perlu tampak sempurna menyebabkan sedikit salah faham. Daripada susun atur rumah, kebersihan, pakaian dan sebagainya semua dia akan tentukan. Ketika itu saya sangka dia cerewet. Jadi, kami berbincang dengan baik dan baharulah sedar bahawa isteri seorang yang agak perfectionist.

“Dia tidak boleh melihat sesuatu yang mengusutkan fikirannya. Kalau boleh semua hanya yang indah-indah, cantik, kemas dan tersusun rapi sahaja di depan mata. Tapi saya tidak salahkan dia.

“Setiap pasangan pasti ada kekurangan dan kelebihan masing-masing untuk saling melengkapi. Sejak itu, kami banyak berkomunikasi untuk lebih memahami antara satu sama lain agar tidak timbul banyak masalah lain.

“Saya juga bersyukur, isteri tidak terlalu ekstrem dalam perfectionist dan masih boleh dikawal. Saya sebenarnya lagi suka dia begini kerana kehidupan kami sekeluarga lebih teratur dan tersusun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×