Monti Keopi tampil konsep ala K-Pop - Utusan Malaysia

Monti Keopi tampil konsep ala K-Pop

Ahmad Iskandar Ahmed (tengah) bersama sebahagian pekerja yang terdiri daripada anak-anak muda yang kreatif dan bersemangat di kafenya di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI pandang kafe Monti Keopi berkonsepkan glass house, tidak ubah gayanya seperti berada di Korea Selatan atau Jepun.

Kaligrafi Korea terpapar pada logo dan nama kedai menyerlahkan lagi keunikan kafe minimalis terletak dalam kampus, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

Dilingkari rimbunan pokok, sambil menikmati kopi memang suatu pengalaman dicari-cari pencinta kopi yang akan lekat bagaikan magnet ke kafe comel itu.

Cipta keunikan

Konsep ditampilkan itu adalah hasil cetusan Pengasas dan Presiden Monti Keopi, Ahmad Iskandar Ahmed, 27.

Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau mengakui konsepkan ala Korea menjadi pilihan lantaran dirinya dirinya memang peminat setia K-Pop.

“Ia juga sebagai suatu strategi pemasaran lebih-lebih lagi ramai anak muda meminati K-Pop.

“Korea ini adalah salah satu fokus sebenarnya untuk menarik anak muda kepada jenama ini. Alhamdulillah, ramai menyangkakan jenama kami dari Korea, sedangkan ia ilham anak muda tempatan,” katanya.

Kafe Monti Keopi berkonsepkan glass house, tidak ubah gayanya seperti berada di Korea Selatan atau Jepun.

Monti Keopi hasil gabungan nama dua bahasa iaitu Monti dalam bahasa Itali, bermaksud gunung yang hijau manakala Keopi adalah kopi dalam bahasa Korea.

Lulusan bidang Kewangan Islam dan Perbankan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini memilih membuka kafe bukan makan gaji di pejabat kerana tidak suka terikat dengan masa. Tambahan pula dirinya juga pencinta kopi.

“Karakter saya di universiti memang sangat aktif. Apabila terkurung bekerja di syarikat, jiwa saya seperti dikunci dan tidak bebas. Jadi, bila terjun ke bidang perniagaan, saya dapat rasakan ia sesuai dengan karakter.

“Kenapa kopi? Sebab saya suka minum kopi. Namun, kami juga akan memperkenalkan pilihan teh seperti rancangan awal tidak lama lagi,” katanya.

Biji kopi Arabica

Ramuan kopi di kafe itu menggunakan 100 peratus biji kopi Arabica yang diperoleh daripada rakan kongsi yang mempunyai ladang kopi di Aceh, Indonesia.

“Kami menghasilkan kopi premium pada harga RM5 sehingga RM19.90 sahaja termasuk minuman coklat dan matcha. Pilihan kopi lain adalah Montibica, caffe latte, cappuccino, latte caramel dan mocha. Selain kopi, pelbagai manisan seperti kek turut kami perkenalkan,” katanya.

Media sosial digunakan sebaik mungkin sebagai medium pemasaran.

Monti Keopi menggunakan kopi import dari Indonesia.

Kata Iskandar, kafe dan jenama itu mulai dikenali selepas tular di Facebook pencinta kopi.

“Kami tidak mempunyai jurugambar profesional namun barista di sini semuanya talented. Gambar dan video yang dikongsikan di media sosial Monti Keopi semuanya diambil sendiri.

“Selain memberi yang terbaik dalam penghasilan minuman kopi, saya turut berpesan kepada barista untuk explore bakat dimiliki. Mereka boleh memilih menjadi barista, berkhidmat dalam bidang pengurusan atau operasi mahupun pemasaran,” katanya.

Operasi kafe ditunjangi 13 kakitangan antaranya di bahagian pengurusan dan strategi serta kreatif.

Suka berniaga

Bekas pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat minyak dan gas ini berkata, dia bukanlah lahir daripada keluarga berada, namun dikelilingi tokoh korporat dan ahli perniagaan, banyak mempengaruhi pola pemikirannya.

“Pekerjaan saya menyebabkan saya selalu berjumpa dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan. Justeru tidak hairanlah kalau saya terpengaruh untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Sehinggalah kemuncaknya apabila saya berjumpa dengan seseorang yang saya gelar ayah. Dia orang pertama menasihatkan saya berhenti kerja dan fokus kepada perniagaan.

“Saya bukan daripada keluarga yang kaya, jadi saya mahu buktikan walaupun tiada kapasiti modal atau pengalaman namun dengan mempunyai guru yang betul dan semangat serta strategi, kita boleh menarik pelabur dengan skala besar,” katanya.

Anak muda ini optimis dan tidak mudah putus asa. Beliau mahu memberi yang terbaik dalam perniagaan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

PKP bukan halangan

Tanggal 7 Oktober 2020 menyaksikan kafe itu dibuka secara rasmi.

Menurut Iskandar, perancangan membuka kafe bermula sejak Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

“Ramai bertanya kenapa kami memilih memulakan perniagaan ketika pandemik dan beroperasi di tempat yang tiada orang. Namun saya mahu membuktikan kemampuan diri.

“Kelebihan lain ialah saya boleh memperkenalkan konsep grab and go. Selain walk in dalam masa sama boleh bertukar mode kepada delivery atau platform digital.

“Ia selaras dengan visi menjadi pilihan pertama kafe grab and go di negara ini, menjelang 2030,” katanya.

Menawarkan kopi premium pada harga antara RM5 hingga RM19.90 secawan.

Kaedah itu dijayakan oleh runner kafe, khusus untuk penghantaran sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Serdang dan Semenyih.

Beliau memberitahu, hingga kini, kafe berkenaan boleh bertahan sungguhpun beberapa fasa perintah kawalan dilakukan.

“Alhamdulillah, dalam keadaan tiada pelajar di kampus tetapi kami berjaya menarik crowd luar kampus,” katanya.

Mampu membuka kafe di lokasi strategik, UKM, Iskandar menyifatkan ia sebagai tuah.

“Saya bersyukur idea membuka kafe dan bertapak di kampus mendapat sokongan daripada Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM yang memberi peluang kepada kami kembangkan perniagaan.

“Sudah pasti dalam perancangan akan datang, saya ingin membuka cawangan di semua institut pengajian tinggi (IPT) dan pusat beli-belah, sesuai dengan sasaran pelanggan kami, iaitu pencinta kopi dan belia,” katanya penuh semangat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN