Letak SPRM di bawah Parlimen - Utusan Malaysia

Letak SPRM di bawah Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi yang terlibat dalam menjalankan siasatan perlu diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan campur tangan pihak tertentu.

Langkah itu sekali gus menjadikan SPRM sebagai badan berkecuali, bebas dan tidak terikat dengan ‘arahan’ pihak berkuasa dalam membuat pertimbangan berkenaan aduan salah laku yang melanggar undang-undang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam berpenga­laman, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, apabila di bawah Parlimen, SPRM akan berfungsi sama dengan jawatankuasa Parlimen lain seperti Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang terdiri daripada anggota berkecuali.

Selain itu, kebertanggungjawaban suruhanjaya itu kepada Parlimen boleh menyerupai Sistem Ombudsman di negara luar yang berperanan menyi­asat aduan masyarakat yang tidak puas hati berkaitan hal ehwal pentadbiran.

“Untuk ke arah negara maju dan dihormati, kita perlu me­lakukan sesuatu di luar kerangka yang ada sekarang. Kita perlukan tindakan drastik jika mahukan perubahan.

“Jadi, dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen, membolehkan ia menjalankan tugasnya dengan telus dan adil tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak.

“Sebab, kalau dapat arahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Perdana Menteri, saya tidak rasa boleh berlaku adil walaupun telah bersumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mior Nor Haidir tidak menolak cakap-cakap tentang SPRM dan pihak berkuasa lain ‘pilih bulu’ atau cenderung kepada parti politik tertentu sekiranya mereka menerima laporan mengenai sesuatu jenayah melibatkan orang politik parti berkenaan.

“Saya berharap agar SPRM lebih telus kerana terdapat pembangkang yang sebelum ini kononnya telah disiasat tetapi tiba-tiba kes itu tidak bergerak selepas beralih soko­ngan kepada kerajaan.

“Apabila kes-kes yang sebegini tiada perkembangan siasatan, ia akan menimbulkan ke­raguan dan percakapan dalam masyarakat,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk mengamalkan sikap berkecuali dalam menyi­asat dakwaan sogokan dan tawaran untuk lompat parti membabitkan wakil rakyat menjelang pembukaan sidang Parlimen, 6 September ini.

Tiga ahli Parlimen dari DAP iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran sudah dipanggil SPRM susulan dakwaan menerima tawaran rasuah wang dan jawatan untuk menyokong PN manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching , Dr. Kelvin Yii Lee Wuen akan dipanggil atas dakwaan sama.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Salehuddin Saidin berkata, tidak munasabah mendakwa pihak berkuasa bersikap tidak adil dalam menjalankan siasatan selagi tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap badan itu bertindak secara profesional.

“Benar atau tidak ada tawaran atau imbuhan daripada kerajaan untuk lompat parti? Kena adil. Jika ada bukti yang menyokong, barulah kita boleh ‘bantai’,” katanya.

Peguam Datuk Jaharbedeen Mohamed Yunoos pula yakin SPRM sudah menjalankan tugas selaras dengan bidang kuasa yang ada dan tidak timbul soal suruhanjaya berkenaan digunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Kita mesti beri peluang kepada siasatan dijalankan terlebih dahulu dan lihat apa sebenarnya yang berlaku. Tunggu hingga selesaikan dan lihat apakah hasilnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN