Tiada kata secantik bahasa, tiada bendera seindah Malaysia. Dalam kemegahan mengibarkan bendera kebanggaan itu, jangan pernah dilupa jasa perekanya, Allahyarham Mohamed Hamzah yang memerah ilham dan keringat mudanya demi sebuah identiti bangsa.
Walaupun beliau bukanlah pahlawan yang berjuang menghunus senjata dalam membebaskan negara tercinta, namun sumbangannya dalam membentuk jati diri bangsa tidak boleh dipandang sepi.
Dua minggu masa diambil oleh arkitek dari Johor itu menyiapkan empat lakaran bendera. Kemudian dihantar menyertai pertandingan mereka bentuk bendera baharu Persekutuan Tanah Melayu pada 1949.
Tuah menyebelahi apabila salah satu rekaan beliau menempah tempat tiga teratas daripada 373 penyertaan ketika itu.
Rekaan berlatarkan jalur biru dan putih dengan kanton merah yang diletakkan bentuk bulan sabit serta bintang pecah tiga berwarna putih.
Ia kemudiannya mendapat undian tertinggi daripada masyarakat apabila Majlis Perundangan Persekutuan menyerahkan keputusan pemilihan kepada orang awam.

Allahyarham Mohamed kemudiannya melalui beberapa sesi perbincangan dengan golongan ternama seperti Menteri Besar Johor pada ketika itu, Datuk Onn Jaafar untuk meminda beberapa elemen pada bendera mengikut kesesuaian.
Antara elemen perubahan dibincangkan adalah penukaran warna jalur biru putih kepada merah putih, kanton merah kepada biru serta penambahan bintang kepada pecah 11 bagi mengelakkan persamaan dengan simbol komunis yang menyerang negara pada waktu itu.
Selain itu, warna putih pada bulan sabit dan bintang juga ditukar kepada warna kuning. Ia atas permintaan pihak di raja untuk melambangkan Raja-Raja Melayu.
Anak muda berusia 29 tahun itu menerima cadangan pindaan tersebut dan satu persidangan Majlis Raja-Raja akhirnya memuktamadkan bendera berkenaan sebagai bendera rasmi.
Ia pertama kali dikibarkan di Istana Selangor pada 16 Mei 1950 sebelum dinaikkan dan dikibarkan secara rasmi semasa detik bersejarah 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor diiringi lagu kebangsaan, Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum.
Setelah berkibar megah hampir 40 tahun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya mengumumkan nama rasmi bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang yang dipakai hingga kini.

Merendah diri
Salah satu sikap terpuji Allahyarham Mohamed yang juga merupakan arkitek terkenal di Jabatan Kerja Raya Negeri Johor adalah merendah diri dan tidak gemar menonjol.
Figura berdarah campuran Cina dan India Muslim itu kekal menjadi misteri dan tanda tanya dalam kalangan masyarakat. Ini kerana beliau meminta ahli keluarganya merahsiakan penglibatan dirinya dalam mereka bentuk jalur gemilang.
Sehinggakan ada akhbar yang membuat siri liputan khas menjejak pereka jalur gemilang bagi mengenali sosok individu yang bertanggungjawab menghasilkan salah satu lambang jati diri bangsa dan negara.
Rahsia itu hanya terbongkar selepas kematiannya pada 1993 di usia 74 tahun menerusi penyelidikan terperinci dan bukti penyertaannya dalam pertandingan mereka cipta bendera serta pendedahan daripada ahli keluarganya sendiri.
Begitulah kisah kecintaan seorang pemuda dalam bidang seni lukis sejak dari kecil yang diabadikan dalam Jalur Gemilang yang dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.











