Popia basah antara menu kegemaran ramai. Cuti umum ini bolehlah luangkan lebih masa di dapur menyediakan menu popia basah.
Menu ini tidak terlalu ‘berat’ menyebabkan kita seakan rasa tidak bersalah walaupun makan dalam kuantiti yang banyak.
Perkongsian Rozmaliza Omar ini boleh kita ikuti. Ia lengkap dari A hingga Z. Bermula dari membuat kulit sehinggalah membuat sos dan inti, pasti hati puas kerana dapat makan hasil buatan sendiri. Selamat mencuba.
Bahan-bahan untuk kulit popia:
220 gram (g) tepung gandum
300 mililiter (ml) air + 20 ml jika perlu
1 sudu besar tepung jagung (untuk elak kulit cepat koyak)
1 sudu besar cuka
1 sudu besar minyak
1 biji putih telur
½ sudu kecil garam
Cara penyediaan:
1-Campurkan garam dan tepung gandum hingga rata. Tuangkan air dan masukkan putih telur, cuka dan minyak. Kacau hingga sebati.
2-Kisar adunan untuk elakkan adunan berbintil.
3-Sediakan kuali tidak melekat (non stick pan) dan berus kecil.
4-Panaskan kuali dengan api perlahan dan sapu adunan cepat-cepat atas kuali,hingga rata dan menutupi permukaan kuali.
5-Kecilkan api, masak kulit hingga nampak kering. Terbalikkan permukaan sebelah lagi. Masak sebentar. Ketepikan.
6-Bersihkan kuali dengan kain lembab tiap kali ulangi proses memasak sehingga semua adunan habis.
Bahan-bahan sos:
4 sudu besar cili kering – dikisar
10 – 12 biji buah kurma dibuang biji dikisar lumat
1 mangkuk bawang goreng
1 senduk kecil sos labu thai
Gula secukup manis
Asam jawa dan garam secukup rasa
Cara penyediaan:
1-Cili kering kisar dimasak bersama gula.
2-Masukkan buah kurma yang telah dikisar, asam jawa, sos labu thai dan juga bawang goreng yg diramas. Masak sampai pekat dan berkilat.
Bahan-bahan inti
1 biji sengkuang**
1 batang lobak merah **
3 ulas bawang putih – ditumbuk lumat
1 keping isi dada ayam – dicincang kasar
Cara penyediaan:
1-Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan isi ayam.
2-Masak hingga air ayam kering dan masukkan bahan-bahan (**) yang sudah disagat. Masukkan sedikit serbuk kunyit, gula, garam dan secukup rasa. Gaul rata.
Bahan-bahan telur untuk tabur:
2 biji telur
1 sudu teh maggi cukup rasa
1 sudu teh udang kering – ditumbuk
Cara penyediaan:
1-Pukul telur hingga rata dan masukkan maggi secukup rasa dan udang kering.
2-Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tuang telur dan kacau rata-rata hingga jadi scrambled egg dan masak hingga garing.
Cara menggulung popia basah
1-Sediakan kulit. Sapukan sos pada kulit dan letakkan inti.
2-Gulung kemas-kemas. Letakkan dalam pinggan dan sapukan sos sekali lagi di atasnya.
3-Taburkan bawang goreng, kacang goreng tumbuk dan telur tabur. Siap dan boleh dimakan.
Terima kasih: Rozmaliza Omar
Facebook: Rozmaliza Omar / https://www.facebook.com/rozmaliza.omar









