Tarikh 31 Ogos hari bersejarah buat Malaysia.
Salah satu cara meraikan bulan kemerdekaan adalah dengan menggayakan pakaian atau kostum bertemakan hari kemerdekaan.
Ada yang membuatnya sendiri dan tidak kurang juga menempah daripada pereka yang menawarkan khidmat membuat pakaian atau kostum kemerdekaan.
Pereka fesyen dan Pengarah Geehan Collection, Siti Fauziah Masnan, 34, antara yang aktif melahirkan produk berunsurkan kemerdekaan.
Pembabitannya dalam bidang rekaan dan pembuatan kostum kemerdekaan secara tidak sengaja. Ini apabila tadika sekolah anaknya mahu meraikan hari kemerdekaan.
“Sekitar 2017, tadika anak saya mahu mengadakan sambutan hari kemerdekaan. Dari situ saya mendapat idea untuk membuat kostum bertemakan hari kebangsaan. Selepas siap kostum tersebut, saya muatnaik di Facebook dan Instagram.
“Tidak sangka, pada masa itu saya dapat reaksi positif daripada kawan-kawan. Malah turut menerima tempahan daripada rakan-rakan yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ibu kepada empat cahaya mata ini pada peringkat awal menggunakan bendera sebagai material utama namun selepas merasakan tindakan memotong bendera kurang manis, dia mulai menggunakan cantuman fabrik untuk dijadikan kostum.
Wanita, ibu dan kakitangan kerajaan antara pelanggan setianya yang kerap menempah kostum daripadanya.
TUBUH GEEHAN COLLECTION
Lulusan fesyen dari Universiti Lim Kok Wing ini melibatkan diri dalam bidang jahitan dan fesyen sejak 2009.
Beliau menubuhkan Geehan Collection sekitar 2010 bersama suami, Haniffa Jhonasrol yang bertindak sebagai Pengarah Kreatif.
Pada 2012, beliau membuka sebuah kedai jahit di bawah nama Geehan Collection di bangunan Medan Mara, Kuala Lumpur.

Setelah beberapa tahun beroperasi di sana, beliau mengambil keputusan membuka butik baharu di Taman Aman Siara Selayang, Selangor.
Selain kostum kemerdekaan, syarikat turut menawarkan khidmat jahitan baju korporat dan rasmi.
Antara cabaran menyiapkan kostum ialah tempahan yang diterima pada saat akhir. Namun itulah keistimewaan apabila Siti Fauziah mampu menyiapkan tempahan dalam masa 24 jam.
Namun itu kenangan lalu. Sejak Covid-19 melanda dunia pada 2020, tempahan diterima kian berkurangan kerana tiada acara sambutan hari kemerdekaan diadakan. Kalau ada yang menempah pun hanya untuk dijadikan koleksi peribadi.
PROMOSI VAKSIN
“Disebabkan kurang tempahan, saya mendapat ilham untuk menghasilkan satu rekaan yang berkonsepkan tentang keadaan Covid-19, berupa gaun untuk wanita hamil, bermotifkan jalur gemilang.
“Konsep baju saya itu membawa satu mesej yang ingin disampaikan kepada ibu hamil supaya ambillah vaksin kerana itu juga tanggung jawab terhadap diri kita, bayi yang dikandung dan juga kepada negara,” katanya.
Beliau yang kini hamil empat bulan turut melahirkan rasa terkilan apabila ada wanita hamil meninggal dunia akibat Covid-19. Malah ada yang tidak sempat mengambil vaksin.

RUMIT, KOS TINGGI
“Cabaran dalam menghasilkan kostum merdeka ini adalah sebab saya tidak menggunakan bendera. Jadi kos untuk membuatnya agak tinggi.
“Saya perlu membeli kain kosong. Daripada kain kosong itu saya perlu buat sesuatu rekaan yang bermotifkan Jalur Gemilang,” katanya.
Mengenai idea rekaan kostum, Siti Fauziah sentiasa memastikan rekaannya sentiasa terkini, kreatif dan lain daripada orang lain.
“Saya suka gunakan konsep semasa dalam rekaan saya. Tahun lepas, rekaan saya bertemakan sut PPE.
“Sebab itu baju yang saya hasilkan banyak ada rekaan seperti set pakaian pelindung diri (PPE). Tahun ini saya guna idea ibu hamil,” katanya.










