Kepetahan membuat pengucapan awam diselangi kelembutan dalam memberi nasihat menjadikan nama penceramah bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa, 46, sentiasa meniti di bibir masyarakat.
Menyampaikan hujah disulami nas al-Quran dan sunnah ditambah analogi yang mudah difahami menjadikan penonton terpaku apabila Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini membuka bicara.
Baik menonton secara bersemuka atau menonton dalam talian, tidak dinafikan, beliau adalah antara penceramah muslimat yang sentiasa ditunggu-tunggu penampilannya. Tidak hairanlah, Dr. Norhafizah mempunyai 662,000 followers di Facebook Datuk Dr. Norhafizah Musa. Instagram beliau pula mempunyai 923,000 followers.
Pun begitu, di sebalik berada dalam kemasyhuran anak kelahiran Kampung Kuala, Jempol, Negeri Sembilan ini sentiasa merendah diri.
Beliau berkata, Islam benarkan meminati seseorang tetapi perlu ada batasan. Jangan sampai taasub kerana manusia tidak pernah sunyi daripada buat salah dan silap.
“Kita hanya boleh taasub kepada kebenaran yang disampaikan oleh seseorang supaya kita bermotivasi dan rasa ingin melakukan perkara yang sama. Jangan sokong bawa rebah.
“Tetapi sekarang apa yang berlaku kalau taasub, sampai tak boleh ditegur. Jangan bila minat seseorang menjadikan kita tak nampak kebatilan. Sebabnya, tokoh atau figura itu datang dan pergi,” katanya dalam temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.
Ini bertepatan pesan Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: Cintailah seseorang sekadarnya saja, karena boleh jadi suatu hari nanti dia akan menjadi sesuatu yang engkau benci; dan bencilah sesuatu yang tidak engkau sukai sekadarnya saja, kerana boleh jadi suatu hari nanti dia akan menjadi sesuatu yang engkau cintai. (Riwayat at-Tirmidzi).
Dr. Norhafizah turut sedih membaca hantaran-hantaran dalam media sosial yang disertai sumpah seranah akibat taasub mahu mempertahankan orang yang menjadi idola mereka.
“Kadang-kadang ayat yang digunakan itu tak sanggup kita nak baca. Penuh dengan sumpah seranah. Kita bimbang ini menjadi budaya dalam masyarakat kerana ia bukanlah menggambarkan akhlak yang baik.
“Nasihat saya, kalau kita tidak boleh bercakap yang baik-baik, baik diam, tak payah komen,” jelasnya.
Dr. Norhafizah mengakui menjadi popular itu juga adalah cabaran yang besar terutama untuk mengekang bangga diri serta memastikan tidak tergelincir daripada landasan yang betul.
Namun, beliau bersyukur kerana suami, Dr. Azhar Yaakub sentiasa ‘memantau’ selain anak-anak dan adik-beradik yang bebas memberi komen dan mengkritik jika ada yang dilihat tidak kena dari segi penampilan.
“Pada mulanya, memang rasa rimas juga kerana tidak mahu ditanya macam-macam tetapi akhirnya kita tahu ia sebenarnya adalah bentuk penjagaan Allah kepada kita. Kadang-kadang kita tak tahu yang hati kita ni meninggi tetapi apabila ada orang terdekat yang beri nasihat, ia jadi check and balance.
“Memang sakit pada waktu kita dengar teguran itu tetapi selepas beberapa ketika, ia menjadi penawar,” katanya yang mula terlibat sebagai penceramah agama lebih 20 tahun lalu usai menamatkan ijazah pertama dari Universiti Yarmouk, Jordan.
Jangan pendam sendiri
Pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu bukan sahaja mengubah norma hidup tetapi turut meragut banyak nyawa. Setakat 26 Ogos, ia meragut 15,211 nyawa di seluruh negara.
Kematian turut melibatkan para suami yang meninggalkan isteri sedang sarat mengandung dan ada juga meninggalkan balu yang baru melahirkan anak.
Sememangnya, kesedihan mereka sukar digambarkan dengan kata-kata.
Kepada golongan ini, Dr. Norhafizah menasihatkan para ibu tunggal terutamanya agar jangan memendam perasaan sendirian sebaliknya luahkan sebarang masalah dan jangan malu berkongsi dengan orang yang dipercayai.
Katanya, jika banyak simpan, dibimbangi mereka tidak dapat buat keputusan yang baik sebaliknya lebih kepada emosi. Lebih-lebih lagi jika wanita itu hamil ia boleh jadi halusinasi.
“Memanglah sedia apabila kematian suami tetapi lihatlah kepada anak-anak. Kita tidak boleh sedih selama-lamanya kerana anak-anak berada di belakang kita. Kematian itu pasti akan datang cuma kita tak tahu bila.
“Kita hilang suami tetapi bukan hilang segala-galanya. Allah ada bersama kita. Kuatkan pergantungan kepada Allah sambil kekalkan berusaha. Yakinlah ujian itu akan melonjakkan kita untuk berjaya,” katanya.
Bagi pasangan yang diuji dari sudut ekonomi seperti suami dibuang kerja, Dr. Norhafizah mengakui, ia amat berat untuk dilalui kerana duit tidak ada sedangkan komitmen hidup banyak.
Namun, katanya, setiap manusia akan diuji termasuk ujian kelaparan, ketakutan dan kekurangan harta tetapi mesti bersabar menghadapinya sebagaimana disebut dalam ayat 155 surah al-Baqarah.
Firman Allah SWT itu bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Menurut beliau, solusinya juga Allah berikan melalui ayat seterusnya: (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). (al-Baqarah: 156)
“Semua benda yang berlaku datangnya daripada Allah dan apabila kita memahami konsep ini kita tidak akan mati arah. Allah akan berikan jalan keluar kepada setiap masalah,” jelasnya.
Dr. Norhafizah berkata, antara hikmah apabila Allah datangkan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk menjadikan individu itu lebih baik.
“Allah ingin kita keluar dari kepompong biasa. Ini terbahagi kepada tiga aspek iaitu pemicu yang mana ujian itu menjadikan kita lebih baik; rutin- kalau dulu suami yang mengurus hal ehwal keluarga kini isteri yang uruskan iaitu keluar daripada kebiasaan.
“Ketiga dari segi imbalan iaitu apa yang kita akan dapat hasil perubahan yang kita buat,” katanya.yang memperoleh PhD dalam Psikologi Islam dari Universiti Malaya pada 2018.
Selain itu, kata beliau, sistem sokongan dalam masyarakat perlu dipertingkatkan kerana dalam berhadapan pandemik Covid-19, sikap tolong-menolong perlu ditingkatkan.
Dalam kes melibatkan ibu tunggal, jelasnya, wanita terlibat mesti mencari dan masuk dalam circle kumpulan yang sama.
“Mereka perlu masuk dalam circle ibu-ibu tunggal yang berjaya untuk memberi motivasi dan berkongsi pengalaman supaya lebih berjaya. Sekarang ia lebih mudah kerana semuanya boleh diperolehi secara dalam talian,” katanya.









