Rasulullah SAW menasihati sahabat, Mu’adz bin Jabal bahawa kunci untuk meraih segala kebaikan dan selamat daripada segala keburukan di dunia dan akhirat adalah dengan menjaga lisan.
Lidah adalah anggota badan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia. Ia juga menjadi penentu akan nasibnya di akhirat. Islam meletakkan kedudukan menjaga lisan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata yang baik atau diam” (Riwayat Bukhari).
Walau bagaimanapun lisan hanyalah alat untuk mengungkapkan sesuatu yang ada dalam fikiran kita melalui apa yang kita lihat, dengar, rasa atau lintasan dalam hati. Namun begitu, Islam meletakkan lisan sebagai bertanggung jawab ke atas perbuatan itu sendiri.
Sahabat Mu’adz bertanya “Ya Rasulullah! Adakah kami akan dihitungkan ke atas apa saja yang kami lafazkan?” Rasulullah SAW menjawab “Tidakkah manusia itu akan dilemparkan pada kepalanya atau hidungnya dalam api neraka melainkan dikeranakan perbuatan lisan mereka”. (Riwayat Tirmidzi)
Amat banyak dosa yang dilakukan oleh lisan sehingga Rasulullah SAW memberi jaminan syurga kepada mereka yang mampu menjaga lisannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa yang dapat memberi jaminan padaku untuk menjaga di antara dua tulang janggutnya (lisan) dan di antara dua pahanya (kemaluan) aku jamin ia masuk syurga,” (Riwayat Ahmad).
AL-QURAN PEDOMAN
Al-Quran sebagai pedoman umat sangat menekankan pentingnya menjaga lisan dengan berkata yang baik. Waima terhadap mereka yang menyakiti kita dengan lisannya.
Ini dicontohkan di dalam al-Quran, antaranya pada saat kaum musyrikin mencerca nabi SAW dengan kata-kata yang kesat, Allah menasihati nabi dalam firman-Nya: Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. (al- Muzzammil: 10)
Walau sudah dijelaskan oleh Islam dalam hal menjaga lisan, namun masih ada umat Islam yang lalai atau tidak peduli. Sehinggakan mudah bagi mereka mengeluarkan makian atau kata-kata kesat dan tidak bermoral, baik secara langsung atau tidak langsung. Ia seperti melalui tulisan di whatsapp atau di ruang komen facebook dan lain-lain.
Ketika sahabat nabi bernama Nu’aiman berkali-kali minum arak dan dihukum berulang kali, ada sahabat yang mencercanya dengan berkata: “Laknatlah dia (Nu’aiman) sesungguhnya telah berulang kali perbuatannya ini. Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu melaknatnya, demi Allah! Sesungguhnya ia cintakan Allah dan Rasul-Nya”. (Riwayat Bukhari)
Dalam peristiwa lain yang serupa dengan kejadian ini, nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu menolong syaitan terhadap saudaramu (yakni dengan mencaci padanya) tetapi katakanlah, Ya Allah! Ampunilah dia, Ya Allah! Berilah rahmat padanya”. (Riwayat Abu Daud).
Jika ini adalah contoh menjaga lisan pada orang yang melakukan maksiat dan dosa besar apatah lagi jika perbuatan itu dilakukan kepada mereka yang berbuat taat dan termasuk dalam kalangan orang soleh.
Di antara adab menjaga lisan ialah menilai atau menuduh dan menghukum orang lain tanpa ada keperluan yang dibenarkan oleh syariat untuk ia berbuat demikian.
Sebahagian orang mudah menuduh orang lain hanya berdasarkan dengan apa yang dilihat. Sebahagian lagi menghukum orang lain hanya dengan mendengar khabar angin.
Sikap ini tidak menepati syariat Islam yang bersih lagi suci. Di saat nabi SAW berada di rumah Itban bin Malik, baginda bertanya khabar sahabat bernama Malik, lalu dijawab oleh salah seorang yang hadir “Dia adalah orang munafik yang tidak cintakan Allah dan Rasul-Nya”.
Nabi SAW menegurnya “Kamu tidak boleh berkata begitu, bukanlah dia itu telah beriman bahawa tiada Tuhan selain Allah dengan sebenar-benar ucapan? Lelaki tadi berkata “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Adapun bagi kami, demi Allah, kami hanya melihat ia suka bersama dan berbicara dengan golongan munafik”. (Riwayat Bukhari).
SEGERA MENGHUKUM
Seseorang juga tidak boleh menghukum orang lain dengan hanya mendengar berita yang tidak jelas, sehingga tergesa-gesa menghukum kepadanya.
Ketika kota Madinah heboh dengan berita tuduhan palsu terhadap Siti Aisyah r.ha, terdapat sebahagian sahabat tergesa-gesa membenarkan khabar itu dan menuduh Siti Aisyah hanya bersandarkan khabar tersebut.
Akhirnya apabila terbukti tuduhan itu tidak benar, mereka yang menuduh tadi dihukum oleh Nabi SAW. Dalam masa sama, terdapat sahabat nabi SAW bernama Abu Ayyub Al Anshari r.a yang mengambil sikap diam dan memilih berbaik sangka.
Maka Allah memuji sikapnya itu dalam firman-Nya: Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. Dan berkata “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (an-Nur: 13 dan 15).










