PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan kesedihan dengan nasib rakan artis yang bertarung nyawa, berdepan jangkitan Covid-19.
Nora menerusi Instagramnya mengajak semua rakan dan ahli keluarga agar mendoakan kesembuhan rakan-rakan artis tersebut.
“Asalamualaikum. Kebelakangan ini terlalu banyak khabar duka kita dengar akibat Covid-19 yang melanda negara kita. Rakan-rakan artis juga turut menerima ujian dengan wabak Covid-19 ini. Antaranya Siti Sarah Raisuddin dan Shuib sekeluarga, Fadzli Zainal, Aeril Zafrel serta seluruh sahabat-sahabat kita.
“Khususnya buat Siti Sarah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), semoga Allah SWT melindungi mereka dan memberi kesembuhan segera.
“Dengan rendah hati, Nora ingin menjemput rakan-rakan dan keluarga untuk bersama-sama memanjatkan doa buat mereka yang dilanda ujian ini,” tulisnya.
Selain Nora, penyanyi, Nourul Wahab Deep turut tampil mendoakan Siti Sarah yang kini sedang bertarung nyawa akibat wabak tersebut.
“Doa sekuatnya buat adik Siti Sarah Raisuddin. Ya Allah sembuhkanlah dia, sihatkan tubuhnya, selamatkan anaknya dan ibunya. Amin amin ya rabbal alamin.
“Awak seorang wanita yang kuat. Saya tahu awak seorang pejuang. Mohon doakan adik yang seorang ini. Sabar dan terus kuat buat Shuib Sepahtu,” tulisnya di Instagram.










