Buka sekolah secara berperingkat, buat saringan RTK kepada pelajar - Utusan Malaysia

Buka sekolah secara berperingkat, buat saringan RTK kepada pelajar

Saranan buka semula sekolah elak masalah mental dalam kalangan pelajar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesi persekolahan perlu dibuka secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan terlebih dahulu.

Malah, pembukaan sesi persekolahan wajar dibuat dengan garis ketetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan terperinci terutama membabitkan SOP pengambilan serta penghantaran pelajar melibatkan sekolah dalam dan luar bandar, waktu rehat, sesi persekolahan serta perkhidmatan bas sekolah.

Selain itu, ujian saringan RTK wajar dilaksanakan di sekolah terutama membabitkan kawasan yang mencatatkan kes tinggi atau zon merah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua langkah ini penting bagi memastikan tidak timbul isu berkaitan SOP dan penularan Covid-19 sekali gus mengekang kewujudan kluster baharu di sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dan memutuskan SOP dengan dipersetujui semua pihak.

Selain itu katanya, pelan kontingensi perlu dibincang dan diputuskan jawatankuasa berkenaan sekiranya sesuatu perkara berlaku di luar jangkaan sewaktu sesi persekolahan bermula termasuk berhubung pelaksanan ujian saringan RTK.

“Ramai ibu bapa takut dan masih tertanya-tanya apakah garis panduan yang akan diguna pakai nanti. Bagaimana dengan ujian RTK? Siapa bertanggungjawab dan adakah semua yang terlibat?

“Itu semua perlu dibincangkan jawatankuasa berkenaan. Kita tidak mahu apabila sekolah bermula, ada terpinga-pinga sehingga langgar SOP dan muncul kluster baru pula.

“Apabila diputuskan nanti, ibu bapa seterusnya perlu diberi penerangan jelas agar tiada lagi perkara berbangkit sebaik sahaja sesi persekolahan bermula. Kita mahu kali ini sesi berjalan lancar,” katanya di sini semalam.

Kementerian Pendidikan menetapkan sekolah dijadual dibuka secara berperingkat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Ketetapan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian.

Namun, beberapa pihak terutama ibu bapa dan waris pelajar pada masa sama merayu kerajaan menangguhkan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah berikutan kebimbangan kes harian penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi.

Dalam pada itu, Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pembukaan sesi persekolahan perlu dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan diberikan di sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid di samping sekolah yang berada di kawasan hijau.

“Kaedah penggiliran murid ke sekolah perlu dilakukan dengan mengikut keutamaan murid. Murid-murid prasekolah dan tahap satu perlu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan menulis, membaca dan mengira (3M).

“Malah kuasa autonomi kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu diberikan dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya menunggu penetapan SOP kementerian sebelum dapat memberi cadangan lanjut.

Beliau berkata, sehingga kini NUTP masih menunggu untuk mengadakan perjumpaan bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin bagi membincangkan pelbagai isu lebih lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×