Belajar khat kufi dalam Fb, YouTube - Utusan Malaysia

Belajar khat kufi dalam Fb, YouTube

MUHAMMAD Hanis bersama antara tulisan khat kufi yang dihasilkannya di Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKALI-kali percubaannya menghasilkan hiasan khat kufi kayu gagal. Namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Muhammad Hanis Nasiruddin, 23, untuk meneruskan kerja-kerja seni tersebut.

Minat yang mendalam mendorong pengawal keselamatan dari Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu itu untuk menceburi bidang berkenaan secara sambilan walaupun tanpa sebarang ilmu di dada.

Berpegang kepada prinsip usaha tangga kejayaan, Muhammad Hanis mula mempelajari teknik pembuatan hiasan berkenaan hanya menerusi video-video di laman Facebook dan YouTube.

Katanya, idea menghasilkan khat kufi kayu tercetus secara spontan ketika video mengenainya melintas di media sosial. Ketika itu dia sudah terlibat membuat replika rumah menggunakan batang aiskrim pada 2017.

Menurut bekas pelajar sekolah sukan itu, niat asalnya sekadar mengisi masa lapang selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tidak sangka aktiviti berkenaan berterusan hingga kini sebagai pendapatan sampingan.

“Penghasilan replika rumah cukup mencabar dan selepas tiga kali mencuba, barulah strukturnya tidak senget sekali gus menambah keyakinan untuk membuat khat kufi.

“Saya tiada sebarang kemahiran khat secara formal, jadi dengan video-video yang ada saya belajar cara memotong kayu dan membuat ukuran yang tepat.

“Seperti dijangka banyak eksperimen saya gagal selain terpaksa berhabis duit,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

MUHAMMAD Hanis mengukur kayu bagi membuat ukuran khas bagi menghasilkan hiasan khat kufi.

Muhammad Hanis berkata, keseluruhan proses itu dilakukan bersendirian.

Pada peringkat awal hanya menggunakan peralatan asas seperti gergaji sudut dan pembaris besi tanpa bantuan mesin khusus seperti sekarang.

Menurutnya, cabaran utama adalah dari segi skil mencantum kayu bagi memastikan setiap struktur khat kufi kemas tanpa senget dan kesukaran itu berjaya diatasi selepas menghasilkan formula ukuran khas.

Dalam pada itu, katanya, penjualan hiasan berkenaan bermula selepas dia memuat naik gambar produk yang telah siap di Facebook dan tidak menyangka menarik minat rakan-rakannya untuk membeli.

“Pada awalnya saya sekadar mahu berkongsi kegembiraan berjaya siapkan bahan eksperimen selepas bertungkus-lumus membuatnya dan saya terkejut apabila ada yang mahu membeli.

“Hingga kini hampir 200 hiasan khat kufi kayu sudah terjual menerusi platform e-dagang, Shopee di samping Instagram dan WhatsApp.

“Ini sekali gus membolehkan saya meraih pendapatan sampingan lebih RM10,000 sejak mengusahakan perniagaan ini tiga tahun lalu,” katanya.

Muhammad Hanis berkata, jualan di Shopee bermula pada Jun 2020 dan sambutannya amat menggalakkan.

Beliau berkata, kira-kira 100 hiasan laris menerusi 23 produk yang dipasarkan di akaun hn.handcrafted di platform berkenaan.

Katanya, hiasan khat itu dihasilkan dalam pelbagai saiz dan rekaan antaranya tulisan Allah, Muhammad, bismillah, zikir la ilaha illallah di samping alhamdulillah dengan harga bermula dari RM50 hingga RM330.

“Harga yang ditawarkan lebih murah bagi disesuaikan dengan kemampuan pelanggan terutama di Terengganu.

“Walaupun saya tahu nilai pasaran produk berkenaan adalah tinggi terutama dalam kalangan pengusaha khat di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Setia bekerja sebagai pengawal keselamatan

WALAUPUN pendapatan sampingannya jauh lebih lumayan berbanding gaji sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Tengkawang di sini, Muhammad Hanis masih belum berhasrat berhenti kerja.

Katanya, tumpuan utama masih pada tugasan hakikinya manakala aktiviti seni pertukangan hanya secara sambilan disebabkan minat.

MINAT Muhammad Hanis dalam bidang seni bermula dengan menghasilkan replika rumah menggunakan batang ais krim.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, tidak timbul rasa malu bergelar pengawal keselamatan pada usia yang masih muda.

Sebaliknya, dia bersyukur kerana mempunyai kerjaya tetap dalam situasi ekonomi yang serba mencabar akibat Covid-19.

“Ayah saya juga bertugas sebagai pengawal keselamatan sekolah dan sebelum ditawarkan jawatan ini saya pernah menjadi buruh binaan sekejap.

“Cita-cita saya sebenarnya bukan ahli sukan walaupun pernah menjadi atlet bola baling, sebaliknya saya mahu terlibat dalam pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera tetapi gagal ujian penglihatan kerana rabun jauh,” katanya.

Muhammad Hanis berkata, peluang bekerja di lokasi berdekatan rumah merupakan satu bonus buatnya terutama kerana tawaran pekerjaan yang sedikit di daerah Hulu Terengganu.

Katanya, berbekalkan wang simpanan gaji dan jualan hiasan khat kufi kayu dia mula membina bengkel mini di belakang rumah bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Menurutnya, besar harapannya agar dapat membuka kedai di kawasan tumpuan ramai di Kuala Terengganu pada masa depan.

Ia bagi mempamerkan produknya sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Mereka yang berminat membeli khat kufi kayu Muhammad Hanis boleh menghubungi talian 011-19986129 atau melayari hn.handicrafted di Instagram dan Shopee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN