Tapai Sarimah ke pasaran Arab Saudi - Utusan Malaysia

Tapai Sarimah ke pasaran Arab Saudi

SARIMAH Rashid menunjukkan tapai pulut keluaran kilangnya di Masjid Tanah, Melaka yang amat popular di sekitar Melaka dan Lembah Klang -UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa yang terlepas daripada cengkaman pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kira-kira setahun dunia bergelut dengan wabak berkenaan.

Daripada sekecil-kecil perniagaan, sehinggalah ke taraf syarikat gergasi yang dimiliki para taikun, semuanya tunduk dengan desakan kelembapan ekonomi.

Meskipun besar badai yang datang melanda, tidak sedikitpun menggugat semangat usahawan wanita dari Melaka ini untuk terus mempertahankan perniagaan tapai pulutnya daripada gulung tikar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik jenama Tapai Pulut Sarimah, Sarimah Rashid berkata, walaupun pendapatan syarikatnya merosot lebih 80 peratus ketika ini, empayar yang dibina sejak 1998 itu masih mampu bernafas.

Katanya, pembekal masih dilunaskan bayaran mengikut jadual tanpa gagal, pekerja tidak diberhentikan dan dia bersama suami, Abd. Aziz Jais tetap komited menyiapkan tempahan tapai pulut, walaupun tidak selaris dahulu.

PENJAGAAN kualiti tapai pulut terutamanya aspek pembungkusan produk amat dititik beratkan agar dapat bertahan lama dan tidak mudah rosak.

Ditanya apakah rahsia di sebalik itu semua, Sarimah memberitahu, apa yang membezakan dia dengan usahawan-usahawan lain adalah pengalaman, yang mana perusahaan tapainya itu dibina penuh jerit perih bermula dengan modal hanya RM20.

Baginya, Covid-19 menjadikan dirinya lebih matang dalam dunia perniagaan. Antaranya secara tidak langsung mengajar pengetahuan baharu bahawa tapai boleh disimpan dalam satu tempoh masa yang lama jika dibekukan.

Jelasnya, oleh kerana itu juga, tapai pulutnya akan memasuki pasaran Arab Saudi awal Ogos ini.

“Saya bukan berasal daripada orang yang senang, saya biasa hidup susah. Apabila sesuatu perniagaan itu bermula dengan modal yang besar, tak jumpa susah maka bila berhadapan dengan situasi sebegini mereka akan gelabah.

“Pada awal PKP tahun lalu kita masih ada jualan, masih ada simpanan. Bila dah berlarutan lebih setahun, usahawan kena tampil dengan strategi baru. Impak Covid-19 ini sebenarnya mengajar kita ‘suatu seni’, seni yang kita tidak pernah terfikir.

“Pada masa ini siapa yang bijak, siapa yang pandai membuat pengurusan kewangan dan mampu bertahan. Orang itulah usahawan yang hebat,” katanya ketika ditemui di House of Tapai Pulut Sarimah di Masjid Tanah, Melaka.

Mengenai pentingnya pendidikan formal kepada usahawan, Sarimah berkata, meskipun sijil, diploma ataupun segulung ijazah itu bukanlah tiket kejayaan sesuatu perniagaan, namun taraf akademik itu sangat diperlukan terutamanya bila bergelar ‘bos’.

Justeru itu, jelasnya, usah malu untuk melanjutkan pelajaran walaupun sudah memiliki empayar sebesar ‘Ali Baba’, kerana hanya dengan pengetahuan dan pengalaman dapat menjadikan seseorang itu lebih berfikiran positif dan lebih kaliber serta berinovasi.

“Pada mulanya saya hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan apabila dipanggil untuk memberi ceramah, berkongsi pengalaman dan sebagainya timbul rasa rendah diri yang mana kita berhadapan dengan individu yang berpendidikan tinggi.

“Saya menyambung pelajaran dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan kepujian di sebuah universiti di Melaka ketika mengandung anak keempat.

“Ia bukanlah halangan untuk kita mendapatkan sesuatu yang terbaik untuk diri.

“Membina jati diri dan kekuatan mental serta fizikal memerlukan sebuah pengorbanan yang besar,” tegasnya.

MESKIPUN berdepan kekurangan tempahan, para pekerja tidak diberhentikan kerana rata-rata yang berkhidmat di kilang Tapai Pulut Sarimah adalah tenaga kerja terlatih dan berpengalaman
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini