KUALA LUMPUR: Pelakon, Janna Nick meluahkan rasa berang berikutan peningkatan kes baharu positif Covid-19 hari ini.
Menurut Janna atau Nurul Jannah Munir, 26, menjelaskan, tiada sebarang perubahan yang berlaku walaupun negara sudah melewati pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak Covid-19.
“Memang sengaja tunggu rakyat mengamuk ke? Rakyat Malaysia pula yang memang sejenis penyabar. Selagi kita terus rakyat tolong rakyat, lagi naik lemaklah yang atas-atas itu. Buat kerja betul-betul boleh tak?
“PKP, PKPB dan PKPP! Kes di Selangor dah naik, PKPD apa? Kereta penuh di jalanraya. Sudah, tidak payahlah kemaskini kes harian, PKP penuh pun sama. Tidak membantu pun pelan itu, buang masa saja. Duit boleh cari, masa yang terbuang ini macam mana nak dapat semula?,” luah Janna menerusi Insta Story Instagram miliknya.
Tambah pelakon drama Marry Me Senorita itu, apakah yang akan berlaku kepada generasi akan datang kerana tidak mempunyai pendidikan formal yang rapi.
“Anak-anak kecil yang tidak dapat pendidikan awal dengan sempurna! Apa akan jadi dengan generasi akan datang? Anda ingat semua orang kaya-raya dan emak ayah mereka itu cikgu sekolah?,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Janna turut meluahkan rasa kebimbangannya terhadap majikan yang mempunyai tanggungan pekerja dan komitmen lain.
“Semua staf nak makan, gaji kena bayar, kos lebihan lagi. Anda ingat kami ini buta perut, boleh tidur lena kalau tidak bayar gaji pekerja?
“Kalau kes makin turun walaupun satu peratus, orang masih boleh bersabar. Tapi makin naik apa cerita?! Berapa lama lagi nak buang masa,” ujar Janna yang mengakui dia sedikit tertekan.










