Program imunisasi Covid-19 di Malaysia yang sedang berjalan buat masa ini, meninggalkan banyak persoalan dalam kalangan wanita hamil. Sama ada mereka perlu mengambil vaksin atau tidak dan bila tempoh sesuai untuk mengambilnya.
Profesor Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Medical University (IMU), Prof. Dr Nazimah Idris, berkata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendedahkan wanita hamil dijangkiti Covid-19 cenderung mengalami komplikasi pernafasan yang memerlukan rawatan intensif, malah penggunaan ventilator juga adalah tinggi sekiranya dijangkiti, berbanding wanita yang tidak hamil.
Kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan JAMA Paediatrics turut mendapati, mereka juga lebih berisiko untuk meninggal dunia, melahirkan bayi pra-matang dan mengalami preeklampsia.
“Terdapat beberapa artikel penyelidikan serupa yang mendorong para pegawai kesihatan awam sedunia untuk mengesyorkan vaksin Covid-19 kepada wanita hamil bagi melindungi mereka dan bayi yang mereka kandung.
“Wanita merancang untuk hamil, berbelah-bahagi apabila berhadapan dengan persoalan tentang keperluan untuk divaksin. Mereka was-was kerana tidak tahu sama ada vaksin akan mendatangkan sebarang kesan kepada tahap kesuburan, kehamilan dan akhirnya, kepada bayi mereka,” katanya.
Data semasa yang ada daripada vaksin mRNA mengenai vaksinasi Covid-19 ke atas wanita hamil tidak menunjukkan sebarang isu keselamatan kepada wanita yang sudah disuntik vaksin atau bayi mereka.
Vaksin mRNA COVID-19 yang ada di Malaysia adalah vaksin Pfizer.
Dr Nazimah yang juga Pengarah Perubatan IMU Healthcare (IMUH) berkata sekiranya wanita dijangkiti semasa hamil, mereka berkemungkinan akan mengalami jangkitan yang paling serius.
“Laporan menyatakan, jika anda dijangkiti Covid-19 semasa trimester ketiga kandungan, risiko kematian adalah tinggi. Oleh itu, saya sangat mengesyorkan supaya anda mengambil suntikan vaksin semasa hamil, terutamanya jika anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Kumpulan berisiko tinggi termasuklah berusia 35 tahun ke atas, mempunyai masalah berat badan, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Sekiranya bukan dalam kategori tersebut, mereka masih ada pilihan untuk menangguhkan pengambilan vaksin iaitu selepas melahirkan anak dan itu bergantung kepada keputusan perbincangan penilaian risiko bersama doktor.









