Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Kalau daerah Kijal, Kemaman, Terengganu tersohor dengan keenakan lemangnya yang berjaya menarik perhatian ramai pelancong untuk menikmatinya, Mukim Keratong, dalam daerah Rompin tidak kurang hebatnya dengan menu lemang Keratong.
Meskipun keenakan lemang Keratong kurang didedahkan kepada pengetahuan umum, penduduk di negeri Pahang dan mereka yang ‘bermusafir’ dari negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu yang melalui jalan Kuantan-Segamat, pasti sudah terbiasa dengan lemang tersebut.
Bertempat di tepi laluan utama Kuantan Segamat menjadikan lokasi Keratong 10 itu, senang disinggahi pengguna jalan raya untuk menikmati lemang berkenaan.
Antara pengusaha tertua lemang Keratong ialah Saadiah Mat Noor, 79 yang membuka Gerai Lemang Mak Ngah.
Saadiah, berkata beliau memulakan perniagaan membakar lemang sejak 1982 lagi menggunakan resipi warisan keluarga.
Wanita yang mesra di panggil Mak Ngah memberitahu, beliau belajar membuat lemang daripada arwah maknya.
“Saya mula meniaga lemang di Telok Intan, Perak sebelum berhijrah ke Keratong dan meneruskan pekerjaan itu di sini. Saya meneruskan legasi Mak. Selepas pemergian arwah suami, saya tidak ada pilihan lain selain terus memperkuatkan azam untuk terus berniaga. Inilah sumber utama saya menyara keluarga,” katanya.
TIDAK CUKUP TANGAN
Memanjat syukur kepada Ilahi, Saadiah gembira kerana menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Sokongan pelanggan mendorong Saadiah berusaha menjaga kualiti lemangnya, supaya sentiasa menambat hati pelanggan yang datang.
Saadiah mampu menjual sebanyak 30 batang lemang sehari. Malah permintaan lemangnya berganda setiap kali hujung minggu dan musim perayaan.
“Alhamdulillah cukup untuk untuk saya menyara kehidupan, malahan pada hujung minggu hasil jualan akan bertambah hingga ke 50 atau 60 batang. Manakala pada musim perayaan memang ‘tak cukup tangan’ melayan tempahan para pelanggan,” katanya. Sebatang lemang dijual pada harga antara RM8 dan RM10.
PANDEMIK
Pelbagai perintah larangan sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara, sudah pasti memberi impak kepada perniagaan Saadiah.
“Ya sudah tentu ada kemerosotan sedikit, tetapi saya nak kata apa, semua perniagaan pun begitu. Semua terkesan dengan wabak penyakit berbahaya ini.
“Tetapi Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan dengan seadanya. Bagi saya, kita jangan terlalu resah dan bersungut dengan keadaan yang sedang dihadapi sekarang, sebaliknya kita hendaknya terus berdoa dan berusaha kuat untuk melakukan yang terbaik,” katanya yang sering ditemani cucu, Azrol Warsi, 15 tahun di gerai lemang diusahakannya.
Nyata Mak Ngah hebat dan lasak. Meskipun sudah dimamah usia semangatnya terus kental.
Menjejaki hayat lebih separuh abad, tuah berpihak pada Saadiah apabila tidak berdepan masalah kesihatan malahan penglihatan dan pendengarannya cukup kuat.
Kelebihan dimiliki itu turut membuatkan para pelanggan tertanya-tanya apa resipi penjagaan kesihatan yang diamalkannya selama ini. Namun Saadiah tidak punyai rahsia.
“Hendak hidup sihat dan bahagia, hati kita mesti bersih dari hasad dengki, sentiasa memaafkan orang lain. Yang pentingnya sentiasa menjaga solat dan memelihara kesihatan tubuh dengan banyak makan sayur-sayuran,” katanya.
Wah, hebat Mak Ngah ini yang asalnya seorang anak perantau dari Perak dan kekal bermaustautin di bumi Darul Makmur, Pahang.
Semoga usaha dan kesungguhan Mak Ngah itu menjadi jejak contoh buat mereka yang ingin berniaga dan menjalani kehidupan yang sihat bahagia.
Bagi mereka yang belum pernah sekalipun datang ke Keratong, Muadzam Shah, Pahang, ayuhlah datang untuk menikmati keenakan Lemang Keratong.
Tetapi buat masa ini kita masih tidak dibenarkan rentas negeri lagi. Insya Allah di masa mendatang, keadaan sudah kembali normal, datang ke sini dan singgahlah di Gerai Lemang Mak Ngah.
—————–
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah.










