Pandemik Covid-19 di Malaysia sehingga ke saat ini masih lagi pada angka yang membimbangkan. Pelbagai usaha sama ada secara fizikal atau spiritual telah dilakukan dalam membendung wabak yang semakin menggila ini. Doa telah dipanjatkan kepada Allah. Solat hajat telah didirikan dengan penuh pengharapan.
Ruwaq Jawi sendiri mengadakan majlis bacaan Sahih al-Bukhari setiap hari sejak Februari 2021 sehingga ke saat ini dengan niat semoga Allah menghilangkan wabak ini. Namun sehingga ke hari ini, pemohonan dan doa daripada umat Islam masih belum nampak keberhasilannya.
Adakah ini satu petanda bahawa doa kita semua sudah tidak diterima lagi oleh Allah Yang Maha Berkuasa?
TANDA KITA HAMBA
Doa adalah satu pengabdian diri daripada seorang hamba kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Menerusi doa, seorang hamba sebenarnya membuktikan betapa lemahnya dirinya dalam menghadapi ujian sehingga sekalipun mempunyai pelbagai idea dan kepakaran, dia tetap memerlukan Allah yang memiliki kuasa tidak terbatas.
Rasulullah SAW sendiri selaku kekasih yang paling dicintai oleh Allah tetap berdoa dan memohon kepada Allah sepanjang hidup Baginda.
Ramai menyangka apabila memanjatkan doa kepada Allah lalu dia tidak memperolehi apa yang dimintanya, itu tanda doanya ditolak oleh Allah. Persepsi ini berpunca kerana dia sangka bahawa doa hanya akan diterima sekiranya apa yang dimintanya diperolehi pada waktu sesegera mungkin.
Hakikatnya apabila seseorang berdoa, Allah akan menerima doanya dengan pelbagai cara. Adakalanya Allah menerima doanya dengan memberikan kepadanya apa yang diminta dengan segera.
Adakalanya Allah terima doa seseorang dengan menganugerahkannya apa yang dimintanya tetapi setelah berlalu zaman yang panjang.
Ada juga orang yang meminta sesuatu lalu Allah tidak memberikan kepadanya apa yang dimintanya. Sebaliknya Allah memberikan sesuatu yang lebih baik daripada yang dimintanya. Ada juga yang meminta sesuatu namun sehingga ke akhir hayatnya dia tidak dapat apa yang dimintanya. Sebaliknya Allah memberikannya ganjaran yang sangat istimewa di syurga kelak.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang paling sesuai bagi seseorang hamba sedangkan sang hamba kadang-kadang meminta sesuatu yang rupa-rupanya akan membahayakan kehidupannya di dunia dan di akhirat.
DOA TERTOLAK?
Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang direkodkan dalam Sahih Muslim: Sesungguhnya Allah (telah tinggilah Dia) adalah baik. Dia tidak akan menerima melainkan [perkara] yang baik. Sesungguhnya Allah (telah perkasalah Dia dan telah gahlah Dia) telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) apa yang Dia telah memerintahkan para Rasul untuk (melakukannya). Maka Dia -telah tinggilah Dia- telah berfirman: Wahai para Rasul! Anda semua makanlah (apa sahaja makanan) daripada (makanan-makanan) yang baik-baik dan anda semua lakukanlah amal soleh (al-Mu’minun: 51)
Dia -telah tinggilah Dia- telah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman. Anda semua makanlah [apa sahaja yang anda semua mahu] daripada [makanan-makanan] yang baik-baik yang Kami telah merezekikan anda semua” (al-Baqarah: 172)
Saidina Abu Hurairah berkata: Kemudian Baginda telah menyebut (perihal) seorang lelaki yang jauh bermusafir, yang kusut rambutnya, yang berdebu (tubuhnya dan) yang menadahkan kedua-dua tangannya ke langit (seraya berdoa): “Wahai Tuhanku. (Berikan daku begian-begian). Wahai Tuhanku. (Jauhkan daku daripada begian-begian) walhal makanannya adalah haram, minumannya adalah haram, pakaiannya adalah haram dan dia tumbuh membesar dengan (makanan) yang haram. Maka bagaimana hajat (orang) itu akan ditunaikan?!
Menurut bekas Mufti Mesir, Prof. Dr. Aliyy Jum‘ah, hadis ini menerangkan kepentingan doa dalam kehidupan muslim. Ia turut menjelaskan antara syarat utama bagi penerimaan doa adalah makan sumber yang halal, memakai pakaian yang halal dan melakukan perbuatan yang halal.
Beliau menyatakan, seseorang muslim perlu memastikan rezeki yang diperolehinya adalah halal. Maka dia tidak boleh menerima rasuah, tidak boleh merampas harta orang lain, tidak boleh mencuri, tidak boleh mengambil upah sebagai seorang tukang tilik, tidak boleh mendapatkan wang kerana menjual anjing, tidak boleh menerima upah kerana menjual kehormatannya, tidak boleh mendapatkan rezeki dengan cara menipu orang lain, tidak boleh makan harta anak yatim, tidak boleh terlibat dengan perniagaan yang diharamkan oleh Islam. Dia juga tidak boleh menerima rezeki yang diperolehi dengan cara yang dimurkai Allah SWT.
Setelah rezeki yang diperolehinya adalah hanya dengan cara yang halal, seseorang muslim hendaklah memastikan makanan yang dibeli dengan harta yang halal itu juga adalah makanan yang halal.
Maka dia hendaklah menjauhkan diri daripada arak, babi, bangkai dan sebarang makanan yang diharamkan oleh Islam. Setelah semua ini dipatuhi, doanya akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
Namun jika dia masih berada di dalam lingkungan perkara-perkara yang haram, maka sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy: makanan dan pakaian yang haram kebiasaannya akan menghalang doa seseorang dimakbulkan sekalipun dia telah melakukan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada penerimaan doa.
Menurut guru kami, Dr. Yusri bin Ruhsdi al-Hasaniyy pula, setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah yang paling layak untuknya manakala setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang halal, maka pemiliknya adalah orang yang hampir dengan Allah. Doanya mustajab dan amalannya diterima oleh Allah.
PULANGKAN HARTA YANG DIPEROLEH SECARA ZALIM
Oleh kerana penghalang penerimaan doa adalah apabila sang pendoa bergelumang dengan harta yang diperolehi secara haram, maka setiap yang pernah menzalimi seseorang dengan merampas hartanya tanpa hak perlu memulangkan semula harta itu kepada empunya supaya doa yang dipanjatkan selepas itu didengari oleh Allah SWT.
Sekiranya yang menzalimi sudah tidak dapat menjejaki yang dizalimi, maka sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Aliyy Jum‘ah; orang yang menzalimi diwajibkan untuk membebaskan dirinya daripada harta tersebut dengan cara memberikannya kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan bantuan.
Walau bagaimanapun pemberian harta yang haram kepada golongan yang memerlukan bukanlah dengan niat sedekah. Sebaliknya dengan niat ingin membebaskan diri daripada memiliki harta yang haram kerana Allah hanya akan menerima sedekah jika ia daripada sumber yang halal.
Maka pahala pemberian harta yang haram itu kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan akan diperolehi oleh pemilik asal harta tersebut dan bukannya diperolehi oleh orang yang memperolehi harta secara haram.
Walaupun begitu tindakannya yang membebaskan diri daripada bergelumang dengan harta yang haram adalah satu pemberitahuan bahawa dia telah bertaubat atas dosa tersebut dengan cara yang haram dengan harapan semoga dia tidak akan dihukum di akhirat kelak atas dosa tersebut.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










