Sebuah bukit batu kapur terletak bersebelahan Gua Kota Gelanggi berdekatan Kampung Pulau Tawar, Jerantut menjadi tarikan baharu sektor pelancongan negeri ini menerusi kegiatan sukan ekstrem perkhemahan, mendaki batu, eksplorasi gua dan zipline.
Kawasan lokasi yang baharu itu ialah Via Ferrata Tasik Hati, antara kemudahan pendaki memanjat laluan via ferrata sehingga ke puncak setinggi 220 meter.
Ia bagi menikmati senario pemandangan kawasan kampung tradisional pesisir Sungai Pahang, bandar Jerantut, Felda Gelanggi, gua batu kapur Taman Warisan Kota Gelanggi dan Gunung Senyum.
Dalam bahasa Itali, via ferrata bermaksud, ‘laluan besi’ melibatkan lereng bukit yang mempunyai anak tangga besi (stempel), rel dan kabel yang melekap pada permukaan batu dan menuruni cerun dengan tali (abseiling).
Ketinggian bukit batu kapur Via Ferrata Tasik Hati antara laluan yang mencabar selepas Gunung Kinabalu dan beberapa puncak gua batu kapur seperti di Kampung Paya Gunung (Jerantut), Merapoh (Lipis) dan Gunung Keriang (Kedah).

Pembukaan baharu lokasi sukan ekstrem itu yang mencapai ketinggian 220 meter dari aras laut sudah tentu antara lokasi tersenarai dalam 300 puncak tanah tinggi di seluruh dunia menjadi tumpuan penggemar kegiatan ekstrem, selain puncak tertinggi di negara ini, iaitu Gunung Kinabalu, Sabah.
Pengendalian kegiatan riadah di lokasi berkenaan adalah di bawah pengawasan dan jurulatih mendaki, Wan Ruhaiza Wan Daud, 48.
Beliau diiktiraf pensijilan Persekutuan Mendaki Asia Tenggara (SEACF) merintis pembukaan via ferrata tersebut dengan menyediakan kemudahan peralatan kepada peminat sukan ekstrem, iaitu bagi aktiviti mendaki, zipline, perkhemahan, berkayak dan bereksplorasi di kawasan gua berdekatan.

TASIK BENTUK HATI
Lebih menarik serta mengujakan terdapat sebuah tasik yang berbentuk ‘hati’ seluas 50 meter persegi sedalam enam meter yang airnya nampak hijau dan jernih. Ia menambat hati pengunjung untuk melakukan aktiviti berkayak dan berenang serta kegiatan memancing yang di bawah kawalan keselamatan petugas di situ.
Selaku pengurus via ferrata tersebut, Wan Ruhaiza yang terlibat dengan aktiviti ekstrem mendaki selama 10 tahun berkata, lokasi itu yang dibuka sejak dua tahun lalu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pendaki pada sebelah petang dan cuti hujung minggu untuk beriadah.
“Kita mempunyai kemudahan peralatan mendaki dan zipline untuk pengunjung di samping menitikberatkan keselamatan peserta aktiviti yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar, belia dan penuntut pusat pengajian tinggi dari seluruh negara.
“Laluan via ferrata menjadi popular dan dikenali ramai malahan sebagai lokasi latihan kemahiran mendaki bukit batu kapur dan zipline bagi peserta yang baharu selain kawasan rekreasi Tasik Hati untuk keluarga berkelah,” katanya.
Wan Ruhaiza dibantu oleh petugas teknikal, Roszaman Ismail, 51, manakala ketua peralatan, Zuhairan Mohd Daud, 50, dibantu oleh enam orang yang terlatih.
Peminat sukan ekstrem dari bandar Jerantut, Rafidah Mohd. Jamil, 30, berkata, bukit yang dibina laluan Via Ferrata Tasik Hati antara lokasi yang unik bagi kegiatan riadah untuk mereka yang mencintai kegiatan lasak.
“Lokasi ini amat sesuai bagi saya memenuhi hobi lasak seperti mendaki dan melihat keindahan alam sekitar selepas penat jerih bekerja di samping mengekalkan kesihatan tubuh badan.
“Pertama kali saya menyertai aktiviti zipline menimbulkan perasaan gayat apabila meluncur dengan tali dari ketinggian lebih 200 meter, tetapi kawalan keselamatan dan tunjuk ajar teknikal daripada jurulatih di sini timbul berani pula untuk mengulangi aktiviti ini,” katanya.

Peminat sukan ekstrem dari Karak, Pahang, Kiow Kim Moi, 42, pula mengajak keluarganya yang turut disertai anak perempuan, Liew Jia Qin berusia 13 tahun apabila lokasi via ferrata tersebut mula beroperasi selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Aktiviti mendaki dan zipline menggunakan tali, ‘carabinar’, topi keselamatan dan sebagainya ketika mendaki dan menuruni cerun di laluan bertingkat batu kapur sungguh menakutkan tetapi saya bersama keluarga berjaya menyempurnakan pendakian menerusi bantuan jurulatih yang berpengalaman,” katanya.










