TAHUN ini, kita sekali lagi menyambut kedatangan 1 Syawal dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, prosedur operasi standard (SOP) sambutan hari raya kali ini lebih ketat berbanding tahun lepas. Dalam usaha untuk melandaikan lengkungan kes Covid-19, aktiviti kunjung-mengunjung tidak dibenarkan sama sekali.
Sejak ketiadaan ayah, kami hanya beraya di rumah. Jadi, kami tidak berasa kekurangan apabila terpaksa beraya dalam suasana sekarang. Malah, pada tahun ini saya amat bersyukur kerana mendapat jemputan untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di surau kawasan perumahan kami.
Biarpun kita tidak dapat menyambut hari raya seperti dahulu, sebagai umat Islam kita mesti sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala kurniaan-Nya. Hasil daripada kemajuan teknologi, setidak-tidaknya kita masih dapat berkumpul bersama keluarga walaupun hanya secara maya.
Begitu juga suasana beraya bersama jiran tetangga. Meskipun tidak dapat ziarah-menziarahi, mereka bertegur sapa serta saling menghulurkan juadah dari pagar rumah masing-masing.
Namun begitu, sudah tentu kita semua sangat merindui saat-saat indah menyambut hari raya seperti dahulu. Apa lagi ramai yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman. Kita tentu akan terbayang-bayang suasana indah tatkala berkumpul bersama sanak saudara.
Bagi kami sekeluarga, saat yang sangat kami nanti-nantikan setiap kali menyambut hari raya di ibu kota adalah beraya di rumah Nek We.
YUNAN
Kalau lazimnya, hidangan tradisi pada hari raya ialah ketupat, lemang dan rendang, namun di rumah Nek We, hidangan yang dicari-cari oleh tetamu ialah spageti. Memang lazat sekali spageti air tangan Nek We.
Kunjungan ke rumah Nek We tidak akan lengkap tanpa melawat taman batu kebanggaan Atuk Din sambil mendengar pelbagai cerita menarik daripadanya.
Nek We adalah nenek saudara kami dari sebelah ibu. Ibu saya lahir daripada dua keluarga besar yang amat berbeza latar belakang budaya serta adat resam.
Atuk saya berasal daripada susur-galur keturunan Johor-Riau dengan catatan salasilah dan sejarah keluarga yang amat panjang. Leluhur saya daripada sebelah nenek pula berasal dari Yunan, China.
Walaupun mereka mengasimilasikan diri dengan budaya dan cara hidup orang Melayu, namun pada masa sama tidak pernah melupakan warisan budaya sendiri.
Semangat ini terus dibawa oleh ahli keluarga kami setelah dua abad berlalu. Zaman mungkin berubah, namun asal usul diri kita tetap kekal sama. Kami dididik untuk mengenali susur-galur serta aturan budaya keluarga sejak turun-temurun agar identiti diri tetap terpelihara.
Membesar dalam dua aturan budaya berbeza banyak membantu kami bukan sahaja untuk mengadaptasi diri, tetapi menghormati budaya kehidupan serta adat resam lain.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










