Oleh DR RAIHANAH AZAHARI
Ramadan makin menghampiri penghujungnya dan Syawal pula akan menjengah. Kebiasaannya persiapan ke tanah suci sudah pun bermula dengan keberangkatan para bakal haji secara berperingkat-peringkat pada akhir Syawal.
Dengan wajah penuh kegembiraan dan tubuh yang diselimuti pakaian serba putih untuk menuju ke rumah Allah, masing-masing bagaikan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki di sana.
Bukan sahaja persiapan dari segi material, mental dan fizikal, tetapi sebelumnya persiapan rapi dari sudut pengisian ilmu, seperti menghadiri kursus-kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji telah dilakukan.
Ini antara prasyarat menunaikan haji dan ia tidak dapat disangkal bahawa kehadiran ke kursus-kursus ini memberikan maklumat yang berharga kepada semua para bakal jemaah tentang tata cara menunaikan haji dengan sempurna.
Hal ini amat penting agar ibadat haji yang dilakukan penuh dengan keyakinan dan berilmu. Ia juga bagi mengelakkan daripada ibadah yang dilakukan sia-sia, kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar.
Kemuncak kepada kesempurnaan ibadah ini ialah haji yang diterima di sisi Allah SWT dan dikurniakan dengan haji yang mabrur iaitu anugerah teragung dari Yang Maha Kuasa. Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara keduanya dan haji mabrur tiada balasan kecuali syurga”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keazaman untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram Mekah dan Madinah adalah suatu perasaan yang tidak dinafikan ada pada setiap muslim mukmin.
Keinginan untuk menatap Kaabah dengan mata sendiri, merasai nikmatnya bertawaf mengelilingi Kaabah, bersaie antara Safa dan Marwah dan menjiwai bagaimana besarnya pengorbanan wanita bernama
Hajar untuk putera kesayangannya Ismail, merasai sejuknya zamzam menghilangkan dahaga, memanjatkan harapan dalam doa di tempat-tempat mustajab.
Juga mengharapkan Yang Maha Kuasa, Pengasih Penyayang memakbulkan segala doa, jauh di sudut hati mengharap untuk menziarahi makam Rasulullah s.a.w dan para Sahabat Baginda Alaihimussalam, mengucapkan salam kepada Baginda s.a.w, memanjatkan doa di Rawdah Apakah semuanya bakal tertunai? Hanya Allah yang menentukan.
Pada tahun 1441 hijrah ketika pandemik melanda dunia pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah membuat keputusan menangguhkan ibadat haji.
Keputusan ini bertujuan menjaga maslahat rakyat Malaysia khususnya bakal haji pada tahun berkenaan dari mendapat mudarat yang lebih besar jika amalan haji diteruskan juga pada tahun tersebut.
Dalam keadaan darurat di mana suatu penyakit telah menjadi wabak yang mengancam nyawa, maka tindakan pencegahan yang diambil bagi melindungi nyawa adalah dibenarkan oleh Islam. Ini selaras dengan kaedah fiqhiyyah “menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan”. Keputusan ini akhirnya diterima oleh semua secara terbuka kerana keadaan pandemik yang belum reda.
Seiring dengan keputusan ini, sudah barang tentu giliran mereka yang berhak untuk menunaikan haji akan berubah. Ini bermakna mereka yang layak menunaikan haji pada tahun 1441 akan ditangguhkan
gilirannya pada tahun 1442.
Implikasi bakal ditanggung oleh para bakal haji bukan sedikit. Polisi kerajaan Arab Saudi tentang kuota haji bagi setiap negara dan umur bakal jemaah yang layak untuk menunaikan haji antara yang menjadi tanda tanya dan pelbagai persoalan.
Hati mula berdegup kencang, banyak persoalan bersarang dijiwa, yang belum terjawab sampai saat ini.
Paling membimbangkan apabila memikirkan semakin hari semakin tinggi kes Covid-19 menjangkiti masyarakat.
Dalam aspek yang lain, soal kesihatan fizikal dan kemampuan kewangan mula menghantui bakal jemaah. Semakin bertambah tahun semakin umur meningkat, semakin fizikal beransur lemah. Dengan apa yang ada mampukah diri hadir di rumah Allah dan menjalani segala amalan yang difardukan.
Jika sebelum ini kos menunaikan haji hanya sekitar RM10,000, apakah kadar yang sama akan ditetapkan atau kosnya akan meningkat?. Bagi yang masih muda atau bawah usia 50 tahun ia tidaklah menjadi hal merungsingkan, tetapi bagi yang sudah berumur 60 tahun dan ke atas, impian mengunjungi tanah suci Mekah dan Madinah seolah samar-samar.
Selain itu, polisi kerajaan Arab Saudi pada 1441H yang hanya membenarkan rakyat tempatan dan warga asing yang tinggal di negara tersebut berusia 50 tahun ke bawah dan dalam bilangan yang sangat terhad untuk menunaikan haji, maka apa yang berlaku pada tahun ini 1442H bagai sudah boleh dijangka.
Namun hati tidak pernah berhenti mengharap. Jiwa sering meruntun menghadap, menatap Rumah-Mu dengan mata sendiri dan doa tidak pernah kunjung padam di dipanjatkan untuk Allah RabulJalil mengizinkan jiwa-jiwa yang merindui-Nya hadir ke sana. Ya Allah, Kabulkanlah permintaan kami, ungkapkanlah rindu kami…….
——
Penulis ialah Profesor Madya Jabatan Fiqh Dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.









