Pinata punca rezeki Diyana - Utusan Malaysia

Pinata punca rezeki Diyana

Diyana Yang Abdul Razak menghasilkan pelbagai jenis pinata yang diminta oleh pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengetuk pinata antara part paling menyeronokkan pada sambutan ulang tahun.

Selalunya birthday boy dan birthday girl yang akan melakukan ketukan.

Hadiah berupa gula-gula dan manisan yang terkeluar daripada perut pinata itu akan menjadi rebutan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Kemeriahan itu sudah pasti terpahat sebagai kenangan terindah buat tuan rumah dan tetamu yang hadir.

Pengusaha pinata, Diyana Yang Abdul Razak, 39 antara yang cukup teruja dengan pinata. Katanya dia mula menghasilkan pinata bagi meraikan sambutan ulang tahun anaknya sekitar 2014.

Siapa tahu keterujaan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu akhirnya membuahkan hasil. Bermula sekadar mencuba, kini beliau menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

Sebaik dipukul atau ditarik, akan keluarlah barang yang tersembunyi di dalam pinata.

“Waktu itu sukar mendapatkan pinata. Maka saya belajar sendiri bagi menghasilkan pinata secara try and error kerana di Malaysia tidak ada sebarang kelas yang boleh diikuti untuk mempelajarinya.

“Pertama kali saya menunjukkan hasil belajar membuat pinata kepada umum, adalah semasa majlis sambutan hari jadi anak saya, tujuh tahun yang lalu. Saya gembira apabila pinata rekaan saya ini menjadi tumpuan tetamu yang hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini memberitahu pada peringkat awal, menghasilkan seni kraf buatan tangan itu dilakukan sebagai mengisi masa lapang sahaja.

“Saya buat pinata sebagai bahan untuk aktiviti permainan bagi memeriahkan majlis hari lahir anak. Sebaik rakan-rakan melihat, mereka terus mahu menempah pinata daripada saya. Saya kata kepada mereka kalau saya jual sebiji pinata ini harganya agak mahal kerana ia buatan tangan.

“Mereka tidak kisah dan mahukan saya membuatnya juga. Rakan-rakan mula menempah pelbagai jenis bentuk pinata mengikut tema majlis yang mereka adakan. Saya boleh kata, bermula dari situ jugalah hobi saya ini telah mula membuahkan hasil yang tidak disangka kepada saya,” katanya.

Walau hanya belajar dengan menonton tutorial di YouTube, itu bukanlah halangan kepada Diyana untuk membuat seni kraftangan berasal dari Mexico itu.

Kini, mintalah apa sahaja jenis dan bentuk pinata, Diyana mampu membuatnya. Hari ini, beliau antara disegani kerana kemampuan menghasilkan pinata yang cantik, unik dan kreatif.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Kata Diyana, pada 2015, dia mula membuka akaun Instagram @pinatapartykl sebagai platform untuk menjual pinata kepada mereka yang berminat.

Tuah berpihak kepada dirinya apabila tanpa disangka-sangka syarikat IKEA melihat Instagram Diyana sekaligus tertarik hati untuk menempah pinata hasil sentuhannya.

“Pihak pengurusan IKEA berpuas hati dengan hasil kerja saya. Mereka menempah 16 ekor pinata berbentuk kuda untuk dipamerkan sempena pembukaan cawangan terbaharu IKEA di Cheras. Inilah big break saya dalam dunia bisnes membuat pinata,” katanya.

Diyana melahirkan rasa terima kasih kepada syarikat berkenaan. Malah menyifatkan ia sebagai pembuka jalan kepada perniagaannya kian dikenali.

“Sejak itu saya banyak menerima tempahan termasuklah dalam kalangan syarikat korporat, orang kenamaan dan perancang majlis,” katanya.

Buat Dua Jenis Pinata
Apabila tempahan semakin meningkat, sekitar 2017, Diyana mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat korporat demi mengembangkan bisnes membuat dan menjual pinata sepenuh masa.

Bisnes yang dahulunya bermula di rumah kini berpindah ke bengkel kecil. Malah beliau mampu menggunakan khidmat empat orang pembantu untuk menyiapkan tempahan pinata yang diterima dari dalam dan luar negara.

“Saya membuat dua jenis pinata iaitu pinata pukul dan pinata tarik. Kedua-dua pinata jenis ini boleh dibuat dengan menggunakan papier mache dan kadbod.

Setiap pinata yang dibuat itu akan diisi pelbagai barang yang diminta oleh pelanggan,” katanya.

Mengenai cara permainan pinata, katanya pelanggan boleh pilih sama ada menarik atau mengetuk pinata.

“Ada sesetengah orang tidak mahu mengetuk pinata sebab sayang. Jadi mereka pilih untuk menempah pinata jenis tarik.

“Sebaik dipukul atau ditarik, akan keluarlah barang yang tersembunyi di dalam pinata tersebut. Biasanya dalam pinata akan diisi dengan gula-gula. Tetapi setiap pelanggan ada barang tertentu yang mereka mahu sembunyikan dalam pinata tersebut. Saya ikutkan sahaja kemahuan mereka,” katanya.

Selain dijadikan permainan, ada pelanggan yang menempah pinata untuk dijadikan sebagai barang pameran, barang perhiasan dan cenderamata. Tidak kiralah besar atau kecil, Diyana menerima setiap tempahan pelanggan tanpa sebarang masalah.

“Kalau ada yang komen kenapa harga pinata mahal? Apa yang boleh saya katakan, semuanya bergantung pada kualiti dan rupa pinata itu sendiri. Nampak senang tetapi tidak semudah yang disangka untuk membuat pinata ini. Banyak perkara perlu diteliti dalam menghasilkan pinata berkualiti, cantik serta menepati citarasa pelanggan,” katanya.

PERLU TEKUN
“Setiap hobi itu kalau kita minat boleh berjaya jika diubah menjadi bisnes. Susah sebenarnya untuk membuat pinata kerana ia memerlukan ketekunan dan perincian yang sangat teliti. Sebab itu jugalah tidak ramai yang mengusahakan bisnes membuat pinata ini.

“Namun begitu, saya tetap akan membuat pinata selagi ada permintaan. Kegembiraan yang tergambar pada wajah pelanggan setiap kali mereka mengetuk dan menarik pinata itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak lagi pinata unik dan cantik pada masa akan datang,” katanya mengakhiri perbualan.

PINATA MINI:

Pinata mini, sesuai dijadikan sebagai cenderamata.

1)Lukis atau cetak template rekaan pinata di atas kadbod. Potong kadbod mengikut bentuk yang telah dibuat.

2)Lekatkan kadbod bentuk tiga dimensi (3D) menggunakan pita pelekat plastik sehingga pinata itu siap terbentuk.

3)Tampalkan kertas crepe yang telah dipotong berjurai pada pinata mini yang telah siap dibentuk.

4)Hiaskan pinata mini ini sehingga siap mengikut citarasa anda. Setelah siap bolehlah letak pinata ini di dalam kotak yang sesuai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×