Persekitaran air bersih untuk haiwan di Zoo Negara - Utusan Malaysia

Persekitaran air bersih untuk haiwan di Zoo Negara

Wakil Waterco mengambil sampel air bagi tujuan kajian penyediaan air lebih berkualiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama seperti industri lain, Zoo Negara juga antara entiti yang tidak terlepas daripada kesan berpanjangan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak setahun lalu.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa mereka menutup pintu kepada pengunjung telah menjejaskan beberapa faktor antaranya keperluan dana untuk baik pulih kediaman haiwan agar kekal selesa.

Biarpun Zoo Negara tidak pernah berhenti berusaha untuk menampung perbelanjaan, namun kebanyakan pendapatan yang diperolehi digunakan untuk membiayai kos makanan haiwan.

Prihatin dengan perkara itu, Waterco Sdn. Bhd. tampil menghulurkan inisiatif menyediakan persekitaran air yang bersih dan selamat untuk pusat konservasi berkenaan pada kos yang mampan untuk keselesaan haiwan.

Banyak kajian dan lawatan tapak telah dilakukan untuk menilai keadaan pengairan di Zoo Negara sebelum projek dijalankan.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau, Koo Zao Cheong, jenis tanah di kawasan berkenaan merupakan tanah matang dan banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum kerja baik pulih dimulakan seperti saluran paip, sumber air serta penempatan penapis.

Selain itu, kajian turut dijalankan untuk memahami keperluan persekitaran air yang berbeza bagi setiap jenis haiwan.

Hasil kajian dan perbincangan bersama pihak pengurusan seterusnya memilih kandang Harimau Malaya sebagai titik permulaan pemuliharaan air bukan sahaja kerana ia amat memerlukan pemulihan malah kerana haiwan itu juga merupakan lambang negara.

“Setelah penelitian menyeluruh menggunakan sampel dan kurungan haiwan, kami telah mencapai keputusan mengenai jenis produk yang paling sesuai dan paling berkesan untuk
penjagaan kualiti air khas buat Harimau Malaya.

“Kami telah memilih produk hijau yang berkesan sambil menjimatkan tenaga supaya kos penyelenggaraan secara keseluruhannya tidak akan meningkat. Kami yakin bahawa produk kami mampu meringankan beban Zoo Negara dalam kos penjagaan.

“Usaha kami akan memberikan hasil yang terbaik untuk Harimau Malaya sekali gus memudahkan pengendalian dan penjagaan oleh Zoo Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, proses pemasangan penapis dan pembersihan air dalam kurungan berkenaan memakan masa hampir tiga bulan dan memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan keberkesanan sistem penapisan tanpa menjejaskan persekitaran haiwan tersebut.

Persekitaran air bersih, berkualiti

Kerjasama ini kemudiannya akan menyediakan haiwan dengan persekitaran air bersih dan berkualiti. Ia turut menyasarkan haiwan jenis lain secara berperingkat.

“Ketika PKP, kami telah menyedari kesukaran yang dihadapi oleh Zoo Negara terutamanya apabila mereka meminta bantuan orang ramai untuk sokongan.

Kami bersedia membantu dan ingin memainkan peranan kami untuk memastikan sahabat haiwan kami dibekalkan air yang bersih.

Kami akan berusaha untuk melakukan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin namun kami tidak akan terburu-buru kerana kami ingin menyampaikan hasil kerja yang terbaik untuk
sahabat haiwan dan para penjaga mereka,” tambah Koo lagi.

Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang penyediaan dan penjagaan air serta satu-satunya syarikat yang dianugerahkan sijil Climate Care, Waterco bertekad dapat memberikan komitmen dalam membantu dan menyokong Zoo Negara secara berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×