Zakat fitrah pelengkap puasa - Utusan Malaysia

Zakat fitrah pelengkap puasa

Muhammad Adib A.Rashid (kiri) mengaminkan doa selepas membayar zakat fitrah melalui pembantu amil, Muhammad Adeeb Nasharuddin di Masjid Jamek Kuala Lumpur, baru-baru ini.– UTUSAN/FARIS RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam Islam, zakat fitrah mempunyai beberapa elemen yang dekat dengan ibadah puasa. Pertama, zakat fitrah difardukan pada tahun kedua hijrah, seiring dengan kefarduan puasa. Kedua, zakat fitrah mempunyai dua rukun, sama dengan puasa.

Ketiga, zakat fitrah dilaksana demi meringankan nasib si miskin, maka puasa juga mendidik kita menjiwai kelaparan yang sering ditanggung oleh orang miskin.

Abdullah bin ‘Abbas r.a berkata: Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah kepada umat Islam, dengan tujuan menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara lalai dan perkataan keji serta untuk memberi makan kepada orang miskin. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Lalu timbul pertanyaan, sejauh manakah kita yang berpuasa pada hari ini dapat merasakan perkaitan di antara puasa dan zakat fitrah?

Adakah zakat fitrah yang kita tunaikan saban tahun itu hanya sebagai rutin, demi melepaskan kewajipan semata-mata?

Ingatlah, setiap ibadah itu ada objektifnya. Sebagaimana firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana umat terdahulu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Maka, objektif terbesar difardukan puasa adalah melahirkan takwa. Kemudian apabila didatangkan syariat zakat fitrah di hujungnya, sudah pastilah ia berfungsi sebagai pelengkap kepada objektif takwa berkenaan.

Ibarat seorang pelari merentas desa, di hujungnya dia wajib menyeberangi laluan penamat, menyentuh dan memutuskan tali reben.

Jika diibaratkan puasa itu seperti merentas desa, maka zakat fitrah itu adalah tali rebennya. Dengan menunaikan zakat fitrah, maka sempurnalah pakej puasa seseorang. Sempurnalah sudah usahanya untuk mencapai darjat takwa dan seterusnya menjadi manusia yang ‘baharu dari segi iman dan akhlaknya’.

Lazimnya juga, setelah menamatkan larian yang memenatkan itu maka wajarlah seseorang itu mendapat ganjaran yang istimewa.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat kamar yang luarnya dapat dilihat dari dalamnya, dan dalamnya dapat dilihat dari luarnya. (Kemudian) berdirilah seorang Arab badwi lantas bertanya: Kepada siapakah (kamar tersebut disediakan) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Bagi mereka yang berkata baik, memberi makan (termasuklah menunaikan zakat fitrah), rajin berpuasa dan mengerjakan solat kerana Allah di malam hari di saat manusia lain sedang terlena. (Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis di atas, jelas bahawa nabi menyatakan sesungguhnya Allah SWT menyediakan hadiah istimewa khusus bagi mereka yang menjaga amalan zakat fitrah (memberi makan orang miskin) seiring puasa. Demikianlah betapa zakat fitrah hakikatnya berfungsi melengkapkan puasa kita.

Selain itu, harus juga kita sedari kebanyakan permasalahan dunia ini adalah berpunca daripada buruknya lisan dan buruknya akhlak manusia. Berkata dusta, mengumpat, mengadu-domba (batu api), bakhil, tamak dan haloba, adalah antara punca manusia bersengketa. Golongan kuat dan kaya, jika tidak dikawal cenderung menindas yang lemah dan miskin.

BAKHIL

Maka, dengan berpuasa hakikatnya kita memaksa diri merasai serba sedikit kesusahan fakir miskin. Lalu, amat wajar jika latihan amali ini akhirnya disimpulkan dengan satu perbuatan, iaitu saling berkongsi rezeki dengan sedekah dan zakat fitrah.

Apalah maknanya jika sudah merasai jerih perih orang miskin menahan lapar, namun pada akhirnya masih diselaputi rasa bakhil untuk berkongsi rezeki dengan mereka?

Maka, zakat fitrah pun dihadirkan oleh Allah SWT sebagai kayu ukur, adakah kita benar-benar sudah dapat melentur sifat tamak dalam diri dan dapat menundukkan kebakhilan, atau masih bersifat seperti enau di dalam belukar yang hanya melepaskan pucuknya masing-masing?

Dewasa ini, wabak Covid-19 tidak dinafikan telah melahirkan kemiskinan di luar jangka. Cubalah risik ke semua institusi zakat yang menguruskan bantuan, nescaya kita akan terkejut dengan jumlah kemiskinan yang didaftarkan.

Sebagai contoh, di Selangor sahaja sehingga Disember 2020, direkodkan terdapat lebih 60,000 keluarga miskin yang berdaftar dengan rasmi di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Jumlah itu bukanlah sedikit, kerana jika diperinci kepada bilangan individu, maka hakikatnya ia melebihi 300,000 orang.

Di Selangor, dengan zakat fitrah yang ditunaikan itulah, LZS berusaha memastikan mereka ini mendapat bantuan yang cukup bagi menyambut hari raya dengan sempurna.

Tahun 2020 misalnya, lebih RM27 juta diagihkan menjelang hari raya. Setiap individu atau keluarga miskin dipastikan mendapat minimum RM300 dan jumlah ini meningkat mengikut bilangan tanggungan sehingga maksimum RM1,000 sekeluarga.

Berdasarkan wawancara dengan para penerima bantuan ini, mereka amat bersyukur kerana telah dibantu oleh zakat. Jika dahulu, ada yang mengunci pintu kerana malu untuk menyambut hari raya, lantaran anak-anaknya tidak punya baju baharu; namun kini mereka sudah mampu untuk membelikan walaupun sepasang baju saat lebaran menjelma.

Bayangkan betapa gembiranya anak-anak itu dapat berjalan ke sana sini mengunjungi rumah tetangga dengan baju dan seluar baru. Malah mereka dapat makan dengan enak.

Atas dasar itu, maka institusi zakat tidak jemu-jemu menyeru agar semua umat Islam di negara ini menjadikan zakat fitrah sebagai ladang pahala. Malah, LZS mengorak langkah dengan menggalakkan umat Islam agar memilih harga zakat fitrah yang lebih sesuai dengan hidup mereka. Sama ada RM7, RM14 atau RM21 seorang mengikut kemampuan.

Perkara ini menepati apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ibnu ‘Umar r.a berkata: Rasulullah SAW memerintahkan (kami) supaya membayar zakat fitrah segantang kurma atau segantang gandum. Maka orang ramai menyamakan (segantang itu) dengan dua cupak hintah (gandum yang paling baik). (Riwayat Bukhari)

Inilah yang dianjurkan oleh Islam, iaitu berusaha melakukan yang terbaik kala beramal sebagaimana difirmankan Allah SWT: Maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. (al-Baqarah: 148)

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN