Hikmah PKP buat Haas - Utusan Malaysia

Hikmah PKP buat Haas

HAAS JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan peniaga dan usahawan bukan saja terpaksa ‘mengikat perut’, malah ada antara mereka gulung tikar akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Namun, situasi berbeza berlaku kepada wanita yang dikurniakan rezeki berlipat ganda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac 2020.

Namun, pada awalnya wanita ini sama seperti peniaga lain yang mengalami kesan akibat pelaksanaan PKP.

Lebih-lebih lagi tiga perniagaannya terpaksa ditutup sementara akibat pandemik.

Namun, Haas Jaafar, 33 tidak pernah berputus asa.

Sebaliknya, dia mahu menjalankan perniagaan yang boleh membantu orang lain khususnya kaum wanita.

Haas berkata, sejak produknya dilancarkan Januari lalu, ia mendapat sambutan yang memberang­sangkan. Ketika ini sudah mempunyai ejen tempatan yang turut sama memasar­kannya.

Bagaimana­pun kejayaan itu bukan datang bergolek. Sebaliknya dijayakan dengan kesungguhan, pengorbanan dan komitmen tinggi. Beliau perlu bijak menggunakan peluang bagi memajukan perniagaannya.

Wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini memulakan perniagaan pertamanya sejak 10 tahun lalu dengan mengusahakan kedai dobi di samping bekerja dan belajar pada waktu yang sama.

“Perniagaan bukan sekadar membabitkan pengiraan untung dan rugi semata-mata kerana perkara lebih utama ialah menghasilkan perkhidmatan atau produk yang mampu memberi kesan baik kepada pengguna.

“Apabila perniagaan saya terpaksa berehat sekejap akibat PKP, saya terfikir keadaan orang lain. Bagaimana kehidupan mereka? Jadi, saya terdetik untuk menjalankan perniagaan yang dapat membantu orang lain.

“Formula bagi produk ini adalah atas kajian oleh pakar dan saya menjadi individu pertama menggunakannya kerana ingin memastikan ia berkesan dan lebih penting ia tidak mengandungi bahan kimia yang boleh memberi kesan buruk pada masa depan.

“Saya memilih bahan yang tidak mengandungi kimia dan hanya menggunakan 100 peratus bahan semula jadi.

“Saya sendiri tidak sangka produk ini mendapat sambutan menggalakkan daripada mereka yang mengalami masalah berat badan dan sembelit yang saya alami sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya sentiasa mengingatkan kepada pengguna bahawa mengamalkan gaya hidup sihat adalah kunci utama untuk memastikan diri kekal sihat terutama bersenam dan menjaga pemakanan,” katanya yang melancarkan BeeTeen – Produk Detox Slimming keluaran EVA Health & Beauty.

Haas Jaafar mahu perniagaan yang boleh membantu orang lain khususnya wanita.

PELANCONGAN

Usahawan ini sebelum ini terlibat dalam perniagaan agensi pelancongan, acara dan perunding majlis namun disebabkan PKP, perniagaannya terjejas teruk hingga terpaksa tutup sementara.

Haas berkata, selepas ‘terjun’ dalam perniagaan kecantikan dan kesihatan, dia bersyukur kerana dapat bangkit semula dalam dunia perniagaan. Lebih manis, rezeki tersebut dikongsi bersama stokis dan ejen.

“Kali ini saya sememangnya memberi fokus dan melakukan pemasaran secara online dan beroperasi di Langkawi, Kedah. Dalam masa sama, saya masih mencari stokis dan ejen di seluruh negara.

“Bisnes memang seronok sebenarnya walaupun cabarannya besar. Namun saya akui, kejayaan yang saya capai sekarang ini adalah disebabkan keluarga khususnya suami dan ibu saya,” katanya.

Bersandarkan pengalaman peribadinya, apabila seseorang itu bergelar usahawan, mereka perlu memiliki sokongan daripada individu di sekelilingnya khususnya keluarga. Haas bertuah apabila bertemu jodoh dengan suami, Yaroslav Popov, 30.

Beliau bukan sahaja dapat bekerjasama dengan baik dalam mengatur strategi perniagaan, malah ringan tulang dan tidak kekok dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga terutamanya menyentuh mengenai aspek penjagaan anak.

“Kami bergilir-gilir menguruskan kedua-dua anak kami iaitu Eva Elizaveta Popova, dan Leon Luth Popov yang berusia empat tahun dan tujuh bulan.

“Tiada rasa janggal untuk bersama-sama menguruskan anak-anak walaupun saya sibuk di pejabat,” katanya.

Haas bersama suami dan permata hatinya.

Mengimbau detik pertemuan antara mereka berdua, Haas bertemu dengan pasangannya di Kuala Lumpur. Kisah mereka sangat unik memandangkan ketika itu Yaroslav tidak boleh berbahasa Inggeris dan Melayu.

Kalau jodoh tidak ke mana. Selepas empat tahun berkenalan dan bercinta kurang dari setahun, Haas dan Yaroslav mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 19 November 2016.

“Suami saya berbangsa Rusia berasal dan menetap di Uzbekistan. Di sana, dia sudah terdedah dengan budaya dan masyarakat Islam.

“Jadi suami sudah memahami Islam. Sebelum berkahwin dia sudah tahu tanggungjawab sebagai orang Islam iaitu solat dan berpuasa.

“Apabila kami berkahwin, saya tidak perlu mengajar dia memandangkan dia sendiri sudah tahu tanggungjawab itu. Walaupun berbeza budaya ia tidak menjadi masalah buat kedua-dua belah keluarga kami,” ujarnya.

Katanya, suaminya juga memahami budaya tempatan khususnya di Langkawi kerana dia perlu menarik kehadiran warga asing terutama Rusia ke Langkawi. Malah, dia juga boleh bertutur dalam dialek utara.

Haas berkata, walaupun berbeza budaya, mereka saling memahami bukan sahaja dalam perhubungan peribadi malah sebagai rakan niaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN