Hadiah suami jadi punca rezeki - Utusan Malaysia

Hadiah suami jadi punca rezeki

PELBAGAI jenis dan bentuk pavlova dihasilkan Nur Hafizzah memenuhi permintaan pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka bermula hanya suka-suka membuat sebiji kek sempena hari kelahiran suami, Mohd Faiz Nasir, 33, akhirnya membuka pintu rezeki buat Nur Hafizzah Talib Ali, 31.

Tidak pernah sekalipun terlintas di fikirannya bakal memiliki perniagaan bakeri sendiri, BakewithAidan.Namun, rezekinya sudah tertulis di situ.

“Saya memang minat kek pavlova. Tambahan pula ketika itu suami bakal menyambut hari kelahirannya jadi saya bercadang untuk membuat sendiri kek pavlova untuknya.

“Selepas berjaya membuatnya saya muatnaik kek berkenaan di laman media sosial. Tak sangka dapat respons positif daripada saudara-mara dan rakan yang berkenan mahu membelinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bermula dari situ, kek jualannya semakin laris dalam kalangan penggemar pemanis mulut itu. Malah, sokongan daripada ahli keluarga yang mahu dia memulakan perniagaan pavlova, pembakar semangat buat dirinya.

Langkah awal turut diambil dengan mewujudkan akaun Instagram rasmi perniagaannya sebagai salah satu platform pemasaran, seterusnya menjadikan ia sebagai kerja sambilan.

Dia juga mengeluarkan modal RM2,000 untuk membeli mesin pengadun bagi memudahkan proses pembuatan pavlova.

BERHENTI KERJA

Selepas empat tahun menjalankan perniagaan kek dan pavlova secara sambilan, Nur Hafizzah membuat keputusan berani dengan melepaskan pekerjaan hakikinya sebagai jurutera awam di sebuah syarikat beroperasi di Damansara, Selangor.

Langkah drastik itu diambil berdasarkan prestasi perniagaannya yang dilihat semakin berkembang maju sehingga tidak menang tangan untuk menyiapkan pesanan.

“Melihatkan kepada permintaan yang semakin tinggi setiap hari membuatkan saya terfikir untuk berhenti kerja dan menjadikan perniagaan ini sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Lebih daripada itu, keuntungan saya dapat daripada hasil jualan juga lebih lumayan daripada gaji saya sebagai jurutera, membuatkan saya dan suami sepakat menumpukan lebih perhatian kepada perniagaan kami,” jelasnya.

Bukan hanya itu, perasaan seronok dan teruja setiap kali dapat menyiapkan pesanan pelanggan turut memberikan kebahagiaan tersendiri menjadikan dia jatuh cinta dengan dunia perniagaan bakeri.

TAK KENAL LELAH

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Apabila sudah jatuh cinta dengan dunia perniagaan bakeri, tiada masalah yang tidak boleh diatasi oleh anak kelahiran Puchong, Selangor ini.

Walaupun perniagaan masih di tahap kecil-kecilan dan beroperasi secara dalam talian dan adakalanya di gerai-gerai kecil, namun dia bersyukur dengan sambutan diterima.

“Sebenarnya nak buat pavlova ni bukan mudah. Prosesnya agak rumit dan memerlukan perhatian seratus peratus kerana jika salah langkah kek tidak akan terbentuk dengan cantik.

“Bukan sekali dua ia berakhir ke tong sampah. Namun saya tidak pernah berhenti belajar hingga akhirnya mendapat resipi sempurna seperti hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN