SUDAH berbulan kami suami isteri mengimpikan sebuah percutian sempena perkahwinan. Kalau dalam bahasa lebih romantis, berbulan madu. Namun larangan rentas negeri yang dikuatkuasa menyekat impian.
Fikir punya fikir, lantas kami sepakat memilih Avani Sepang Goldcoast Resort untuk mengilhamkan juga hasrat berbulan madu. Menempuh perjalanan hampir dua jam dari kediaman, perasaan teruja mula menyelubungi.
Avani Sepang sememangnya menjadi pilihan ramai untuk bercuti khususnya penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang dahagakan destinasi percutian. Maka, Avani Sepang benar-benar melengkapi setiap keperluan selangkah memasuki ruang lobi.
Mungkin di fikiran segelintir, Avani Sepang tidaklah seindah mana. Namun sangkaan kami meleset kerana pemandangan dan struktur reka bentuk keseluruhan resort itu cukup indah dan menarik perhatian.
Jika anda merindui Bali, apa kata buka carian Google dan tempah terus penginapan di Avani Sepang. Ya, mungkin bagi anda seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja namun realitinya, Avani memberi jiwa hampir sama jika anda ke Bali.
Kehadiran kami sedikit istimewa. Kami disambut Pengurus Besar, Yogeswaran Veerasamy dan Ketua Pemasaran, Belinda Xavier yang juga sahabat lama saya. Langkah kanan, percutian kami kali ini menjadi lebih istimewa.
Menuju ke ruang penginapan, mata kami dihidang dengan pemandangan luar biasa cantiknya. Ketika kami sampai, air laut di sekitar Avani Sepang sedang surut. Maka, terlihat dasar dan hidupan laut seperti ketam.
Sejurus ke ruang kamar, kami terpegun melihat kekemasan dan kebersihan bilik. Ini sememangnya menjadi visi dan misi Avani untuk mengutamakan keselesaan dan kebersihan untuk pengunjung terutama di kala pandemik.
Setiap bilik disanitasi terlebih dahulu demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan dipatuhi. Semestinya, itu adalah menjadi rutin atau satu kewajiban untuk mana-mana resort.

Pemandangan laut yang sejauh mata memandang dan bau masin air laut menemani kami ketika bersiar-siar menaiki basikal. Kami acap kali disapa pengunjung lain dan kakitangan Avani Sepang yang mesra.
Jika anda sukakan aktiviti seperti berbasikal, anda boleh menyewa dengan harga bermula RM20. Malah, jika anda seorang yang lasak, boleh sahaja menyertai aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) yang disediakan.
Berbasikal memang menyihatkan tetapi dalam pada masa yang sama, perut juga sudah mula berkeroncong kelaparan. Maka, kami turun sahaja ke restoran Sepoi Sepoi yang menyediakan hidangan dengan harga berpatutan.
Usai menikmati sajian enak, kami menyambung aktiviti berbasikal berkelana mencari lokasi menarik untuk sesi Outfit Of The Day (OOTD). Itu menjadi satu kemestian dalam dunia media sosial.
Selesai itu, kami pulang ke kamar dan bersiap-siap untuk sesi makan malam istimewa. Terima kasih kepada Avani Sepang kerana memberi kami ruang untuk menjamu selesa sempena bulan madu pertama.
Menerima hidangan istimewa oleh cef utama, Cef Pathmanathan Balagangdaram, kami disajikan seleksi makan yang enak.
Antara yang cukup istimewa adalah Sauteed Grain-fed Tenderloin bersama Champignon dan Swiss Roesti.
Malah, kami turut diberi peluang menikmati hidangan pemanis mulut yang menghimpunkan kek, biskut dan makanan tempatan. Itu keitimewaan Avani Sepang yang tetap menyuntik elemen lokaliti.
Untuk menjadikan percutian kami ini lebih menarik, keesokan paginya, kami berkelah di tepi pantai. Sesuatu yang ringkas, santai namun meninggalkan memori yang dalam.
Avani Sepang seharusnya ada dalam senarai destinasi pelancongan wajib untuk dikunjungi.
HOTEL ECO-FRIENDLY
Berkonsepkan gaya hidup tepian pantai, Avani Sepang merupakan salah satu daripada 30 hotel di bawah payung sama.
Resort yang terletak 40 minit jauh dari Lapangan Terbang Antrabangsa (KLIA) ini juga pernah menerima pelbagai anugerah.

Menurut Pengurus Besarnya, Yogeswaran Veerasamy, Avani Sepang merupakan kombinasi sempurna sebuah resort yang menyediakan pelbagai servis dan khidmat bersesuaian untuk mereka yang
bekerja, berehat, menikmati keindahan alam dan reka bentuk dengan sentuhan rasa mewah.
“Di sini, setiap bilik memberi rasa tenang kepada pengunjung tatkala membuka jendela dan menikmati pemandangan laut yang biru.
“Malah, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti.
“Antaranya menyelusuri kawasan paya bakau dengan menaiki bot, aktiviti lasak, spa dan urutan serta berjalan di sekitar perkampungan tempatan. Pemandangan matahari terbenam juga cukup indah.
“Malah, pengunjung bakal terpegun dengan persembahan permainan api dan aktiviti air yang mengujakan setiap orang,” katanya.
Sempena Ramadan, Avani Sepang turut menyediakan pakej istimewa, Citarasa Ramadan yang bermula pada harga RM80 untuk dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak. Malah, sajian sahur juga tersedia sepanjang bulan Ramadan.
“Kami mengharapkan Avani Sepang akan terus menjadi pilihan pengunjung tidak kira dalam dan luar negeri.
“Kami juga akan terus menjadi hotel mesra alam atau eco-friendly dengan kindahan air laut membiru.
“Malah, kami juga akan terus dengan visi dan misi untuk memberi infomasi kepada umum mengenai kepentingan menjaga alam sekitar terutama kawasan paya bakau,” katanya.










